Tag: United Kingdom

  • Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    SEMAKIN banyak negara melaksanakan sekatan COVID-19 ke atas pelancong dari China dengan United Kingdom menjadi negara terbaharu pada Jumaat yang mewajibkan ujian COVID-19 sebelum berlepas.

    “Mulai 5 Jan, pelancong dari China ke England diminta mengambil ujian pra-pelepasan,” lapor Agensi Anadolu, memetik Jabatan Kesihatan.

    Di samping itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK melancarkan pengawasan dengan mengambil sampel dari penumpang yang tiba dari China mulai 8 Jan.

    Perancis juga mewajibkan pelancong dari China mempamerkan ujian negatif COVID-19 dan ujian secara rawak akan dijalankan ke atas penumpang semasa ketibaan, menurut laporan media.

    China baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan.

    Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, Jepun, Itali dan Sepanyol yang menguatkuasakan langkah pencegahan COVID-19 membabitkan pelancong dari China, termasuk mempamerkan keputusan ujian negatif COVID-19. – BERNAMA

  • Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    BEKAS Menteri Kewangan United Kingdom (UK), Rishi Sunak dan Setiausaha Luar, Liz Truss akan bersaing merebut jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Boris Johnson selepas kedua-dua calon mendahului di pusingan akhir, lapor beberapa media tempatan pada Rabu.

    Truss menewaskan Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt, dengan kemenangan tipis iaitu 113 undi berbanding 105, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

    Beliau bakal berdepan Sunak, yang menerima 137 undi dalam kalangan Ahli Parlimen Tory.

    Pemenang akan ditentukan menerusi undian dalam kalangan anggota parti Konservatif, menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Boris Johnson letak jawatan dalam parti, kekal PM Britain

    Boris Johnson letak jawatan dalam parti, kekal PM Britain

    PERDANA MENTERI Britain, Boris Johnson dilaporkan akan meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif hari ini.

    Memetik laporan BBC, beliau mengambil tindakan itu berikutan peletakan jawatan beberapa menteri Kabinetnya pagi tadi.

    Namun, beliau kekal menjadi Perdana Menteri sehingga musim luruh ini bagi membolehkan pemimpin Tory mengambil alih selepas pemilihan parti selesai musim panas depan.

    Beberapa Ahli Parlimen Tory mendesak Johnson meletak jawatan serta-merta selepas lebih 50 menteri dan pembantu mereka meletak jawatan.

    Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer mengalu-alukan perkara tersebut sambil berkata, Parti Konservatif telah mencetuskan huru-hara di Britain semasa krisis kos sara hidup.

    Setiausaha Luar Britain, Liz Truss memendekkan program lawatannya ke luar negara dan dalam perjalanan pulang ke London.

    Canselor Kewangan Britain, Nadhim Zahawi pula meminta Johnson “berundur sekarang”, dua hari selepas dilantik menyandang jawatan tersebut.

    Setiuasaha Pendidikan Baharu, Michelle Donela dan Setiausaha Ireland Utara, Brandon Lewis telah meletak jawatan masing-masing dalam Kabinet.

  • Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    SEORANG bekas komando berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendapati dia bersalah membunuh pasangan suami isteri yang juga jirannya.

    Memetik laporan Mirror, Collin Reeves, 35, dibicarakan di Mahkamah Diraja Bristol atas tuduhan membunuh Jennifer dan Stephen Chappel dengan menggunakan pisau istiadat pada 21 November tahun lalu.

    Kejadian tersebut berlaku di Norton Fitzwarren dekat Taunton di Somerset, United Kingdom.

    Rakaman CCTV menunjukkan Reeves mengeluarkan pisau tersebut dari bingkainya sebelum dia memanjat pagar dan menceroboh rumah jirannya.

    ex-commando Colin Reeves
    COLIN REEVES

    Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia menikam Jennifer, 33, dan Stephen, 36, sehingga mati.

    Semasa kejadian berlaku, anak-anak lelaki pasangan berkenaan yang ketika itu masih kecil sedang tidur.

    Reeves dikatakan pernah bertengkar dengan pasangan Chapple mengenai tempat letak kereta pada Mei 2021.

    Bekas komando yang pernah berkhidmat dengan Kor Jurutera Diraja UK di Afghanistan itu mengaku dia menikam Jennifer dan Steven.

    Walau bagaimanapun, dia tidak mengaku melakukan pembunuhan dan mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian.

    Pisau istiadat yang digunakan untuk membunuh pasangan Chapple diterima oleh Reeves semasa dia meninggalkan perkhidmatan tentera.

    Juri diberitahu bahawa Reeves berdepan masalah dalam perkahwinannya dan kira-kira 40 minit sebelum pembunuhan berlaku, isterinya, Kayley, meminta cerai.

    Pakar psikiatri forensik, Dr Lucy Bacon menyatakan bahawa Reeves mengalami kemurungan tahap sederhana ketika itu.

    Walau bagaimanapun, beliay mengesahkan Reeves tidak mengalami simptom stres pascatrauma (PTSD).

    Reeves menyertai perkhidmatan tentera pada 2006 dan berjaya melengkapkan latihan komando.

    Dia berkhidmat selama 11 tahun dan isterinya memberitahu, sikapnya berubah sejak dia pulang dari Afghanistan.

    Mahkamah akan menentukan hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Reeves pada Selasa depan.

  • Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    VIRUS cacar monyet dikhuatiri boleh menular melalui hubungan seks, menurut pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK).

    Sehubungan itu, agensi-agensi kesihatan di negara berkenaan menasihatkan mereka yang dijangkiti virus tersebut agar tidak melakukan hubungan seks.

    Memetik laporan Mirror, nasihat itu terkandung dalam panduan terkini yang disedakan empat agensi kesihatan awam iaitu Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

    Mereka turut menasihatkan agar pesakit cacar monyet yang telah sembuh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

    “Pesakit mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks pada peringkat awal simptom dikesan dan mengelakkan sentuhan dengan cacar.

    “Walaupun tiada bukti yang menunjukkan cacar monyet boleh disebarkan melalui sperma, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan memakai kondom dalam masa lapan minggu selepas dijangkiti,” jelasnya.

    Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa cacar monyet disebarkan melalui sentuhan fizikal, khususnya menerusi cacar dan kudis pesakit.

    “Pesakit cacar monyet perlu mengelakkan sentuhan dengan orang lain sehingga cacar mereka sembuh dan kudis menjadi kering.

    “Mereka boleh mengurangkan risiko penularan virus dengan mematuhi kaedah pembersihan dan nyahjangkitan standard serta mencuci pakaian dan alas tilam dengan sabun secara berasingan,” tambahnya.

    Pihak berkuasa kesihatan UK turut menasihatkan pesakit cacar monyet agar mengasingkan diri di rumah sehingga mereka sembuh.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mungkin lebih tinggi kerana dipercayai banyak kes yang tidak dilaporkan.

  • [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    PEREMPUAN yang sudah berumah tangga seharusnya berhati-hati sebelum menerima pelarian wanita dari Ukraine terutamanya mereka yang masih muda serta mempunyai wajah cantik dan menarik.

    Terdapat kemungkinan suami mereka lari mengikut wanita Ukraine yang menumpang di rumah mereka sekali gus menyebabkan rumah tangga yang dibina musnah.

    Pengalaman yang perit lagi pedih itu dialami Lorna Garrett, 28, dari Bradford, West Yorks, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

    Mirror yang memetik The Sun melaporkan, teman lelakinya, Tony, 29, meninggalkannya dan anak-anak dalam masa 10 hari selepas pelarian Ukraine, Sofiia Karkadym, 22, tiba di rumah mereka.

    Tony yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menawarkan diri untuk menumpangkan Sofiia di rumahnya seminggu selepas wanita itu melarikan diri dari Lviv yang diserang tentera Rusia.

    “Segala-galanya bermula apabila saya berhasrat untuk melakukan perkara yang betul dengan memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, lelaki atau perempuan.

    “Sabtu lalu, dia memaki hamun Sofiia dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkannya menangis.

    “Sofiia kata dia tidak dapat tinggal di rumah kami lagi dan sesuatu berdetik dalam diri saya.

    “Kami meminta maaf atas kesukaran yang ditimbulkan tetapi saya merasai sesuatu dengan Sofiia dan saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini,” kata Tony.

    Sofiia pula menambah, “Perkara sebegini memang berlaku.”

    Lorna pula mula berasa bosan dengan hubungan antara Tony dan Sofiia yang dilihatnya semakin intim.

    Mereka dikatakan sering ke gimnasium bersama-sama dan dilihat duduk berbual-bual selama berjam-jam di tempat letak kereta.

    https://youtu.be/zGMRs–0PNU

    Akhirnya, Lorna mengusir Sofiia dari rumahnya namun dia terkejut besar apabila Tony juga ingin keluar dari situ.

    Kini, Tony membawa Sofiia menumpang di rumah orang tuanya dan mereka sedang mencari rumah baharu.

  • Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun di Carr Lane, Milnrow dekat Rochdale, United Kingdom mati dipercayai akibat serangan anjing liar.

    Memetik laporan Mirror, polis Rochdale sedang menyiasat insiden yang berlaku semalam itu.

    Mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital namun dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.

    Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis sedang mengesan punca sebenar kematian.

    Jurucakap polis, Detektif Superintendan Jamie Daniels menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tragik dan pihaknya turut bersimpati dengan keluarga mangsa.

    “Kami sedang menyiasat insiden ini dan yang sebelumnya melibatkan anjing di lokasi yang sama.

    “Walaupun siasatan kami masih lagi dalam peringkat awal, kami mengesyaki kanak-kanak kecil ini mengalami kecederaan akibat serangan anjing.

    “Saya faham bahawa semua yang terbabit tertekan akibat insiden yang menggemparkan masyarakat ini.

    “Saya memberi jaminan bahawa kami akan bekerja keras untuk menyiasat punca kejadian dan siasatan pada masa ini menjurus kepada kes jenayah.

    “Anggota polis akan ditempatkan di kawasan ini untuk menjalankan siasatan serta menangani isu yang dibangkitkan oleh penduduk,” katanya.

    Beberapa bulan lalu, seorang nenek diserang oleh tiga ekor anjing jenis Stafforrdshire Bull Terrier di jalan berhampiran lokasi kanak-kanak tiga tahun itu diserang.

    Namun, pada masa ini, tiada petunjuk yang mengaitkan dua insiden tersebut.

    Wanita berumur 69 tahun itu mendakwa dia diserang oleh anjing-anjing liar terbabit ketika dia dan cucunya membawa anjing mereka bersiar-siar.

    Dua ekor anjing telah menggigitnya namun dia berjaya melepaskan diri.

  • [VIDEO] Pengotor… Harry minum air kencing kerana mahu awet muda

    [VIDEO] Pengotor… Harry minum air kencing kerana mahu awet muda

    Seorang lelaki, Harry Matadeen, 34, mendakwa perbuatan meminum air kencing sendiri adalah kunci untuk kesihatan dan awet muda.

    Dia yang berasal dari Hampshire, United Kingdom (UK) percaya amalan yang menjijikkan itu membuatkannya kelihatan 10 tahun lebih muda.

    Memetik laporan Mirror, dia telah meminum air kencingnya sejak 2016 dan dikatakan sembuh daripada masalah mental yang dihidapinya.

    Kata Harry, kesan meminum air kencing memang ‘luar biasa’ dan ia telah mengaktifkan otaknya serta menghilangkan kemurungan.

    “Saya rasa damai, tenang dan bersemangat. Saya fikir ‘wow saya boleh menghasilkannya sendiri secara percuma dan sentiasa kekal dalam keadaan gembira’,” katanya.

    Menurut Harry, air kencingnya adalah ‘sangat bersih’ dan kini ‘menikmati’ 200 mililiter cecair najis itu setiap hari.

    Lebih menjijikkan, kebanyakan air kencing yang diminumnya telah disimpan selama sebulan.

    “Sekarang, saya menyukai bau dan rasa air kencing yang diperam,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, Harry dikecam keras oleh keluarganya ekoran perbuatannya meminum air kencing sendiri.

    “Keluarga saya tidak bersetuju dengannya dan dari mula mereka berpandangan ia menjijikkan.

    “Kakak saya tidak mahu bercakap dengan saya dan salah satu sebabnya adalah terapi air kencing yang saya jalani.

    “Saya pula memastikan kawan-kawan saya juga meminum air kencing atau sekurang-kurangnya tidak mengecam perbuatan itu,” katanya.

    Harry bukan sahaja minum, malah dia turut melumurkan air kencing pada mukanya sebagai kaedah penjagaan kulit.

    “Air kencing menjadikan saya kelihatan lebih muda. Minum air kencing yang diperam telah menyegarkan semula wajah saya seperti usia belia dahulu dan apabila saya melumurkannya ke muka, perbezaannya adalah pantas dan ketara,” katanya.

    Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Dr Jeff Foster menyangkal dakwaan Harry.

    “Air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi kira-kira 90 peratus air. Selebihnya adalah ammonia, garam, bakteria dan bahan buangan lain.

    “Tiada manfaat kesihatan pernah dilaporkan tentang meminum atau melumurkan air kencing pada tubuh.

    “Ia boleh menjadikan keadaan kesihatan lebih buruk kerana ia akan mempercepatkan proses dehidrasi dan menyebabkan jangkitan bakteria,” jelasnya.

    Orang ramai dinasihatkan agar tidak meniru perbuatan Harry kerana air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi pelbagai kotoran yang dikeluarkan dari tubuh.

    Malah, Islam mengkategorikan air kencing manusia sebagai najis mutawassitah.