Tag: undi Melayu

  • Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    PENGANALISIS dan pemerhati politik menafikan dakwaan daripada sesetengah pihak daripada UMNO bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu menarik semula sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi kelebihan kepada kedudukan kerajaan campuran hari ini.

    Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International menjadi buah mulut orang ramai apabila UMNO memperbaharui usahanya untuk membebaskan bekas presiden mereka itu dengan mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Beliau sebelum ini dikatakan mempunyai potensi membalikkan undi Melayu kepada BN yang menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata peralihan undi Melayu pada edisi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah kerana mereka menolak rasuah.

    “Saya kira orang UMNO sahaja yang masih keliru.

    “Majoriti Melayu bersama Perikatan Nasional (PN) bukan kerana Najib, tetapi menolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Zahid merupakan antara pemimpin “kluster mahkamah” UMNO, iaitu senarai pemimpin parti yang didakwa atas kes salah guna kuasa dan rasuah.

    Ketika ini, beliau dalam percubaan menggugurkan puluhan dakwaan dalam kes Yayasan Akal Budi.

    Zahid dilepaskan oleh mahkamah dalam kes Visa Luar Negara.

    Populariti beliau turut merudum di kawasannya sendiri apabila hanya menang dengan majoriti lebih 300 undi di kerusi tradisinya di Bagan Datuk.

    Pada PRU15 lepas, berlaku peralihan undi orang Melayu kepada PN sehingga menumbangkan beberapa kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH).

    PN menjadi blok kedua terbesar selepas PH dengan 74 kerusi.

    BN pula kalah teruk dengan hanya 30 kerusi, iaitu kekalahan paling teruk dalam sejarah gabungan itu.

    Berikutan itu, beberapa pihak menyalahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menunggu selepas pemenjaraan Najib untuk membubarkan Parlimen.

    Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan hilang jawatan perdana menteri sekiranya gagal membantu pembebasan Najib.

    Anwar mengakui berada dalam Lembaga Pengampunan, iaitu lembaga yang bertanggungjawab membebaskan beliau sejurus kemenangan PH pada 2018.

    Sokongan Melayu menjadi duri dalam daging untuk kerajaan campuran PH-BN yang masih belum berupaya memenangi hati pengundi kaum itu.

    Anwar yang menyedari hakikat itu mencuba kempen optik pada awal pentadbirannya dalam usaha memikat hati pengundi Melayu.

    Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerusi pengampunan diraja hanya akan memberi kelebihan kepada PN.

    “Pembebasan Najib Razak melalui pengampunan hanya akan menggembirakan penyokong-penyokong Najib dalam UMNO.

    “Jika orang-orang Melayu melihat pemenjaraan Najib adalah satu kezaliman, UMNO telah menang besar pada PRU15,” katanya.

    Najib yang tewas pada PRU14 mula disiasat dan didakwa dalam beberapa kes, termasuk kes 1MDB yang sedang dibicarakan.

    Selepas kejatuhannya, beliau cuba membangunkan imej baru menerusi kempen “Malu Apa Bosku” yang menyasarkan golongan muda dan orang Melayu.

    UMNO turut mengkreditkan kejayaan mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil kepada pengaruh Najib.

    Namun menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang, ini adalah pemerhatian yang kurang tepat.

    “Kejayaan UMNO-BN pada beberapa PRK selepas PRU14 adalah lebih kerana kekecewaan rakyat terhadap kerajaan PH pada masa itu,” katanya merujuk kepada pentadbiran 22 bulan PH.

  • PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    ANALISIS pasukan data saintis diwujudkan Pakatan Harapan (PH) mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah daripada orang Melayu.

    Analisis sama juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU-15.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

    “Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

    “Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU-15.

    “Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, Penang, dan Negeri Sembilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga Perdana Menteri menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbirannya.

    “Kalau dikumpul kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU-15.

    “Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU-15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” katanya.

  • Sokongan pengundi Melayu merosot, BN sudah hilang taring

    Sokongan pengundi Melayu merosot, BN sudah hilang taring

    BARISAN Nasional (BN) yang dahulunya dominan sudah “hilang taring” susulan sokongan majoriti pengundi Melayu terhadap gabungan itu yang semakin merosot sejak tiga pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Pas menerusi satu kenyataan berkata, BN hanya mampu meraih 33 peratus undi Melayu pada PRU-15, menurun berbanding 62 peratus pada PRU-13 dan 43 peratus pada PRU-14.

    “Bukti apa lagi yang BN mahu lihat betapa perjuangan mereka hari ini tidak ada tempat di hati rakyat, terutama orang Melayu.

    “BN sudah hilang taring mereka yang mungkin sudah sekian lama tumpul kerana masalah moral pimpinan dan hala tuju perjuangan parti.

    “Makin terhina apabila saat jatuh tersungkur menghulur tangan mengharapkan ihsan dan simpati namun saat diberi peluang hidung meninggi rasa diangkat lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pas berkata, PRU-15 menjadi gelombang tsunami Melayu berpaling kepada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 54 peratus undi golongan itu berbanding 11 peratus undi yang diperolehi Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, BN sepatutnya menggunakan keputusan PRU-15, di mana ia memenangi 30 daripada 221 kerusi Parlimen, untuk bermuhasabah dan memperbaiki gabungan itu.

    Namun dakwanya, gabungan itu semakin terserlah “mabuk kuasa” dan pentingkan diri.

    “Rakyat tidak akan menghinakan diri bersama pimpinan dan parti penuh keladak yang hidup segan, mati tak mahu ini.

    “Jika UMNO dan BN tetap tidak berubah, BN hanya mampu menjadi laksana melukut di tepi gantang PH. Masuk tak penuh, keluar tak kurang.”

    PRU-15 pada bulan lalu berakhir dengan Parlimen tergantung buat julung kali dalam sejarah negara, dengan PH memenangi 82 kerusi dan PN menguasai 73 kerusi.