Tag: umrah

  • Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    Arab Saudi kurangkan insurans premium haji, umrah

    ARAB Saudi telah mengurangkan insurans premium jemaah haji daripada 109 Riyal (RM127) kepada 29 Riyal (RM34), iaitu penurunan sebanyak 73 peratus.

    Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut mengumumkan pengurangan premium insurans komprehensif untuk menunaikan umrah daripada 235 Riyal (RM274) kepada 88 Riyal (RM103).

    Berucap pada majlis perasmian persidangan dan pameran ‘Ekspo Haji 2023’ pada Selasa, menteri itu berkata tempoh visa umrah juga akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada 90 hari.

    “Seperti pemegang visa Umrah yang kini boleh melancong di seluruh pelusuk negeri, pemegang visa lain juga dibenarkan menunaikan umrah,” menurut kenyataan itu.

    Al-Rabiah juga menjelaskan bahawa mulai tahun ini, semua pengelola jemaah haji boleh membuat kontrak dengan mana-mana syarikat berlesen di Arab Saudi dan tidak hanya membabitkan beberapa syarikat terpilih seperti sebelum ini.

    “Beliau menekankan peranan kementerian dalam meningkatkan daya saing dengan memberi peluang kepada pengelola jemaah haji untuk menjalin kontrak dengan beberapa syarikat dan bukannya satu syarikat seperti sebelum ini,” kata kenyataan itu.

    ‘Ekspo Haji 2023’, anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dari 9-12 Jan, 2023, adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk membina ekosistem perkhidmatan dan penyelesaian inovatif dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji sambil meningkatkan pengalaman beribadah dan budaya tempatan.- BERNAMA

  • 2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    SEKURANG-kurangnya dua jemaah umrah Oman maut, manakala 18 lagi cedera dalam kemalangan sebuah bas berhampiran Taif di Arab Saudi ketika dalam perjalanan ke Mekah.

    Saudi Gazette melaporkan, bas membawa jemaah umrah itu bertembung dengan sebuah lori di Lebuhraya Riyadh-Taif pada petang Rabu.

    Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi di Mekah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kemalangan di lebuh raya Riyadh-Taif selepas Jambatan Nasayef menghala ke Taif.

    Bertindak atas laporan itu katanya, 11 anggota pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian dengan ambulans dan menjalankan misi menyelamat.

    “Dua jemaah meninggal dunia di tempat kejadian manakala jemaah yang cedera dibawa ke hospital,” katanya.

    Dalam pada itu, kedutaan Kesultanan Oman di Riyadh mengesahkan penyelarasan sedang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Oman di Jeddah dan pihak berkuasa Saudi yang berkaitan untuk segera menyelesaikan prosedur penghantaran pulang jenazah ke negara itu.

    Pada masa sama, pihak kedutaan akan memastikan rawatan dan perubatan terbaik untuk mangsa cedera.

    Pihak Kedutaan Oman dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga jemaah yang meninggal dunia dan berharap mangsa yang cedera segera pulih.

  • Pengkid didakwa tunai umrah pakai ihram

    Pengkid didakwa tunai umrah pakai ihram

    TULAR satu bebenang ciapan mendakwa seorang wanita tanpa silu mengerjakan ibadah umrah dengan berpakaian ihram seperti seorang lelaki.

    Memetik laporan UtusanTV, perkara tersebut didedahkan menerusi satu ciapan yang ditulis oleh seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Aliya Mansor.

    Difahamkan, Aliya Mansor merupakan “bekas teman wanita” kepada pengkid tersebut.

    “Berita tergempar, pengkid pergi umrah pakai ihram. Mampus kau lah sana semoga kena panah petir tak pun lumpuh sebelum balik.

    “Main-main dengan hukum Allah,” ciap wanita itu.

    Malah, wanita terbabit mendakwa dia bertindak membongkar kegiatan pengkid terbabit kerana sudah tidak tahan melihat kemungkaran yang dilakukan dan mengharapkan agar “bekas kekasihnya” insaf.

    “Kau tak insaf Nur Syazwani Mohamad Resad. Kau tak pernah insaf malah kau makin buat gila.

    Bukan itu sahaja, menerusi tangkap layar perbualan yang dikongsikan, wanita terbabit juga pernah mengajak Aliya berkahwin.

    Malah, Aliya juga berkongsi sebuah video yang memaparkan wanita terbabit berpakaian ihram mengerjakan umrah dengan dikelilingi jemaah lain.

    Berani eh. Sesak nafas rasa. Aku harap kau bertaubah la Nur Syazwani. Berapa ramai lelaki batal wuduk,” katanya.

    Mengulas lanjut, Aliya mula meragui status jantina “bekas kekasih” apabila diberitahu oleh orang ramai.

    “Mulanya saya 50-5 bila ramai beritahu boyfriend kau tu perempuan.

    “Sebenarnya ada banyak lagi saksi tampil dari TikTok dan sebagainya.

    “Memang dia bukan lelaki dan data dia pun terang-terang perempuan. Dia tipu saya dengan bagi nombor kad pengenalan lain.

    “Tapi kad pengenalan rupanya nombor genap dan ya gambar dia,” katanya.

    Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet turut berang akan tindakan pengkid terbabit yang seakan-akan mencabar Allah.

    “Meremang bulu roma aku , rumah Allah boleh bawa main. dia pakai ihram. aurat dia tak cover bagai , kalau ada yg bersentuh dgn dia auto batal air wuduk,” tulis @ezallafrizal.

    “Harap orang macamni Allah bagi balasan setimpal. Tengoklah sajat sekarang. Sejak balik dari Mekah pakai telekung, hidup dia bala memanjang. Dari rumah agam sekarang duduk apartment je. Hidup tak tenang hutang keliling pinggang sampai kena lari luar negara,” komen @appl3bloom.

  • Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi semalam mengumumkan, umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini dibenarkan menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu.

    Lapor Saudi Gazette, kementerian itu memaklumkan, kemudahan itu tersedia untuk warganegara dari 49 negara di seluruh dunia.

    Untuk itu katanya, mereka boleh mendapatkan visa secara dalam talian menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

    Kementerian itu menyatakan bahawa keputusan itu telah diambil untuk memudahkan seramai mungkin orang menunaikan umrah.

    Menurutnya, pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam turut layak menunaikan umrah.

    Ia bersempena Tahun Baru 1444 Hijrah yang bertujuan untuk membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara berkenaan.

    Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan tanpa perlu membuat permohonan awal.

    Menerusinya, pemegang pas pelancong boleh melawat bandar dan semua wilayah di negara berkenaan.

    Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.

    Sementara itu, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna melalui saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform atau Platform Visa Bersepadu Nasional.

    Untuk menunaikan umrah, pelawat beragama Islam dikehendaki antaranya mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19; kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan.

  • Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    PENGADANG yang melindungi kawasan sekeliling Kaabah di Masjidilharam dialihkan selepas dua tahun.

    Saudi Gazette melaporkan, arahan itu dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam menerusi satu dekri Diraja selaras permulaan musim umrah baharu.

    Mengumumkan perkara itu, Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat.

    Ini didorong oleh peningkatan kehadiran umat Islam sempena musim baharu umrah.

    “Pihak kami sedang bekerjasama dengan kesemua sektor beroperasi di Masjidilharam untuk menerima kedatangan jemaah dan menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan,” katanya.

    Pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020 selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

    Larangan itu menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah, tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.

    Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan, insurans bagi menampung kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19, masih menjadi antara syarat kemasukan jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah.

    Tambahnya, tempoh tinggal bagi mereka yang datang dengan visa umrah adalah 90 hari sahaja dan mereka boleh melakukan pergerakan dan perjalanan antara Mekah dengan Madinah serta semua bandar lain di Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan.

  • Mahkamah kembalikan pasport Zahid untuk umrah

    Mahkamah kembalikan pasport Zahid untuk umrah

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini boleh mengerjakan ibadah umrah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan permohonannya agar pasportnya dikembalikan.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak menerima arahan bagi membantah permohonan itu.

    Beliau seterusnya berkata, memandangkan tarikh Ahmad Zahid menunaikan umrah bertembung dengan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 April, maka hari yang dilapangkan itu perlu diganti dengan tarikh baharu.

    Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihak pembelaan berharap pasport anak guamnya itu akan dikeluarkan hari ini kerana dia memerlukannya untuk permohonan visanya.

    “Anak guam saya akan berlepas dari 21 April hingga 30 April dan berjanji bahawa pasport akan dikembalikan sebelum 5 Mei,” katanya.

    Hakim Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April serta 1 Julai sebagai tarikh ganti untuk perbicaraan.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23-26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 dan 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt, serta 1-3 Nov, 7-10 Nov untuk perbicaraan.

    Pada 13 April, Ahmad Zahid akan memberi keterangan dalam perbicaraan pembelaannya terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan tahun ini, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan pemulangan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menerima rawatan perubatan untuk sakit belakang dan leher daripada pakar terkemuka di Munich, Jerman. – BERNAMA

  • Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    PEMBAYARAN sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Feb ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    Pembayaran sagu hati itu dikreditkan hanya menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah bagi memudahkan urusan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kerajaan Malaysia akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Jan lepas,” katanya.

    Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan wabak COVID-19 varian Omicron.

    Ibadah tersebut bagaimanapun dibenarkan semula pada 8 Feb lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya jemaah umrah diwajibkan menerima dos penggalak.

    Individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

    Menurut Idris, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

    “Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Feb,” katanya.

    Idris berkata, jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik, atau hadir terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran jika mempunyai kesukaran mendaftar secara dalam talian.

    “Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,” katanya. – BERNAMA

  • SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    JEMAAH umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

    “Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

    Selain itu, mereka yang dipertanggungjawabkan dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA (pintu masuk antarabangsa) Malaysia,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb terikat dengan SOP sedia ada namun apabila pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan.

    Pada 26 Jan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan Kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb (hari ini).

    Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Jan lepas berikutan penularan jangkitan varian Omicron. – BERNAMA

  • Tangguh umrah bertujuan perlahankan Omicron – Khairy

    Tangguh umrah bertujuan perlahankan Omicron – Khairy

    PENANGGUHAN sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron COVID-19 dalam negara kerana berdasarkan data hampir 78 peratus ‘presumptive’ (jangkaan) Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi catatan di akaun Twitter beliau berkata, mengikut Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), ‘presumptive’ Omicron, telah 100 peratus disahkan Omicron melalui jujukan genom penuh.

    “Penilaian risiko akan terus dilakukan. Buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih dari itu kita (KKM) kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul. Yang penting respons kita (KKM) ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respons yang evidence-based,” katanya.

    Semalam, Khairy mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

    Penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

    Khairy berkata kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta dan jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) lebih tinggi, dan KKM mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian ini, melalui strategi memperlahankan penularannya.

    Beliau turut tidak menolak kemungkinan gelombang besar Omicron akan bermula di Malaysia seperti mana di negara-negara lain.

    Beliau berkata, justeru liputan dos penggalak yang luas; pemakaian pelitup muka; pengudaraan yang baik; TRIIS atau ‘Test, Report, Isolate, Inform, Seek’; MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa, merupakan antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 berdasarkan jangkaan mengikut kes seharian pada 1 Jan untuk seluruh negara adalah 0.99. – BERNAMA

  • Agensi pelancongan minta kerajaan timbang semula keputusan tangguh umrah

    Agensi pelancongan minta kerajaan timbang semula keputusan tangguh umrah

    BEBERAPA persatuan agensi pelancongan meminta kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusannya menangguhkan perjalanan rakyat negara ini untuk mengerjakan ibadah umrah.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, penangguhan itu akan menyebabkan bakal jemaah umrah yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan menanggung kerugian kewangan besar.

    “Sebelum dapat visa umrah, agensi perlu membuat pembayaran melalui sistem e-wallet yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, selepas bayar untuk kos pengangkutan bas dan hotel barulah keluar visa umrah.

    “Kalau ada berlaku penundaan di pihak Malaysia maka amaun yang telah dibayar tidak akan dikembalikan, serta agensi pelancongan tidak boleh membuat pembayaran semula kepada jemaah. Jadi diharap apa sahaja kerugian ditanggung oleh jemaah dan agensi wajar diambil kira,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ab Rahman Mohd Ali dan Naib Presiden Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak.

    Sementara itu, Ab Rahman berkata, anggaran kos kerugian yang perlu ditanggung jemaah yang telah berdaftar ekoran penundaan itu dianggarkan sebanyak RM210 juta.

    Menurutnya, agensi pelancongan juga bakal berhadapan dengan tuntutan tribunal ataupun mahkamah sivil daripada bakal jemaah umrah, bagi menuntut bayaran yang telah dibuat akibat penangguhan perjalanan umrah terbabit.

    “Untuk makluman, tuntutan bayaran balik untuk penangguhan umrah pada 18 Mac 2020 masih ada yang belum dapat diselesaikan, jadi penundaan yang baru diumumkan bakal memberi impak besar kepada agensi-agensi pelancongan,” katanya.

    Sementara itu, Razali turut mencadangkan agar para jemaah umrah diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak, sekiranya pihak kerajaan menarik semula keputusan penangguhan perjalanan jemaah umrah berkenaan.

    “Kami juga memohon agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kaunter ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sewaktu ketibaan jemaah dan menambah bilangan kakitangan KKM yang bertugas agar proses dipercepatkan,” katanya.

    Semalam, kerajaan memaklumkan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan varian Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman. – BERNAMA