Tag: UMNO

  • UMNO, BN pening lihat Pas guna logo PN di Kedah

    UMNO, BN pening lihat Pas guna logo PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kalangan pemimpin UMNO dan BN dikatakan menjadi ‘pening’ apabila melihat Pas memilih untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) berbanding bertanding menggunakan logo ‘bulan’ di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sakit pening itu timbul kerana UMNO amat mengharapkan supaya Pas menggunakan logo bulan di Kedah.

    Sebaliknya kata beliau, Pas pada akhirnya memilih untuk menggunakan logo PN walaupun sebelum ini pernah membuat pengumuman akan menggunakan logo ‘bulan’.

    “Kita fikir di Kedah ini kaum bukan Melayu ada kira-kira 25 peratus iaitu jumlah lebih ramai daripada yang ada di Kelantan dan Terengganu iaitu cuma lima peratus. Jadi apabila kita buat kajian dan penilaian, kita dapati pengundi akan lebih minat dengan satu logo yang gambarkan banyak parti sebab nak tubuhkan kerajaan di Malaysia ini perlu bergabung banyak parti.

    “Mula-mula kita umum akan guna logo bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, depa seronok dan anggap Pas dah ‘terkena’. Tiba-tiba kita pakai logo PN, depa pening. Ingat kita tak cerdik macam depa?

    “Pas Kedah ini cerdik dan memerintah tiga tahun dah. Depa goncang tetapi kerajaan ini sedikit pun tak goyang,” katanya dalam Ceramah Umum PRU-15 PN di Dataran Pak Su Mat Yeh, Padang Sera dekat Jerlun, malam tadi.

    Isu tersebut menjadi hangat apabila calon BN bagi Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu siri ceramahnya baru-baru ini menggelarkan Muhammad Sanusi sebagai cap ayam dan tidak mampu menyamai taraf Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

    Menerusi klip video yang tular di media sosial, Abdul Azeez mendakwa Ahmad Samsuri dan Ahmad Yakob memiliki pegangan serta perjuangan tulen kerana dalam PRU kali ini, kedua-dua negeri itu menggunakan lambang bulan.

    Mengulas lanjut Muhammad sanusi berkata, beliau hairan bagaimana Abdul Azeez boleh mengaitkan ‘cap ayam’ dengan isu logo dibangkitkannya itu.

    “Beliau kata Sanusi cap ayam dan tak boleh dibandingkan dengan Menteri Besar Terengganu serta kelantan. Rupa-rupanya beliau marah sebab Kedah guna logo PN.

    “Sangkut macam mana cap ayam dengan logo? Jangan kata orang lain, saya pun hairan,” katanya.

  • ‘Parti sudah sesat, saya reformis UMNO’, kata Khairy

    ‘Parti sudah sesat, saya reformis UMNO’, kata Khairy

    CALON Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menggelar dirinya sebagai “reformis UMNO”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

    Katanya, justeru beliau mahu mengembalikan UMNO menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.

    Beliau berkata, sehubungan itu, perkara pertama perlu dilakukan adalah memenangi Sungai Buloh dan seterusnya memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi perdana menteri.

    “Cuma UMNO (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena ‘fix’ (perbaiki) balik UMNO ni lagi, perbetulkan UMNO. Dan saya bukan ‘yes man’.

    “Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi perdana menteri, selepas itu kita bersihkan balik Umno dan BN, kita cuci balik.

    “Saya seorang reformis dalam UMNO, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya menurut Astro Awani.

    Menteri kesihatan itu mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya, selain menyatakan beliau bukan seperti pemimpin lain dalam UMNO yang hanya berani memilih bertanding di kawasan selamat.

    “Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

    “Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

    “Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

  • UMNO gugur keahlian empat pemimpin termasuk Shahidan,Ismail

    UMNO gugur keahlian empat pemimpin termasuk Shahidan,Ismail

    UMNO menggugurkan keahlian empat pemimpinnya selepas bertanding mewakili parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengguguran itu melibatkan Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Datuk Dr Azhar Ahmad.

    Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pengguguran keahlian empat pemimpin terbabit selaras Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.

    Katanya, fasal itu dengan jelas menyebut “seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya”.

    Katanya lagi, dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh timbalan ketua UmNO Bahagian yang berkenaan.

    “UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

  • Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    KIRA-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti serta-merta, sekali gus membubarkan cawangan tersebut pada Ahad.

    Ketua cawangannya, Razali Ismail mendakwa Bahagian UMNO Balik Pulau yang dipimpin Datuk Shah Headan Ayoob Shah sudah lumpuh dan menjangkakan akan ada lagi cawangan yang akan mengikut jejak mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Beliau menyatakan hilang kepercayaan terhadap Shah Headan yang juga Ketua Bahagian UMNO itu kerana tidak mengambil peduli kewujudan cawangan serta kebajikan ahli sejak setahun lalu.

    “Tiada sebarang keistimewaan kepada ahli atau aktiviti dilakukan di cawangan ini.

    “Malah sumbangan 300 telefon pintar yang diberikan pada setiap tahun kepada penduduk di sini adalah hasil sumbangan sesama ahli, UMNO tidak ambil peduli langsung,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

    Mengulas lanjut Razali turut menyatakan kekecewaan dengan Shah Headan yang tidak mengunjunginya atau bertanya khabar tentang dirinya setelah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia hilang upaya kekal tangan kanan.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara daripada semua ahli dan bukan keputusan peribadi saya,” tambahnya lagi lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Razali turut menyatakan beralih sokongan kepada calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang juga anak jati Balik Pulau.

    “Beliaulah (Sabaruddin) yang menolong saya dan ahli-ahli yang lain sejak berpuluh tahun,” ujarnya lagi.

    Shah Headan bakal berdepan dengan persaingan enam penjuru dengan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Seri Johnny c’Hng Ewe Gee (Bebas), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Sabaruddin (Bebas) dan Ahmad Fazli Mohamad dari PEJUANG pada PRU-15 ini.

  • Akar umbi UMNO, BN Gerik berang pencalonan Asyraf Wajdi

    Akar umbi UMNO, BN Gerik berang pencalonan Asyraf Wajdi

    PENCALONAN Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bagi kerusi Parlimen Gerik, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 didakwa mengakibatkan ramai akar umbi UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) bahagian itu berang.

    Mereka mempersoalkan apa kurangnya jika pucuk pimpinan parti memilih anak tempatan untuk mewakili tempat mereka sendiri berbanding menampilkan orang luar atau ‘calon payung terjun’.

    Asyraf Wajdi beralih ke kerusi Parlimen Gerik di Perak yang dianggap sebagai kubu kuat BN selepas tewas pada PRU-14 ketika bertanding di Parlimen Pasir Puteh kepada calon Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh.

    Untuk rekod, kerusi Gerik kosong sejak November 2020 berikutan penyandangnya sebelum ini Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Kekecewaan dan kemarahan itu diluahkan menerusi satu klip video tular yang memperlihatkan akar umbi UMNO Gerik bersama kain rentang tertulis ‘menolak calon luar’ di samping menzahirkan rasa ketidakpuasan hati dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

    Seorang individu dalam video itu yang mendakwa sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian itu berkata, beliau langsung tidak dihubungi oleh mana-mana pimpinan teratas mengenai calon yang dipilih (Asyraf Wajdi) biarpun bahagian itu dikatakan menamakan 13 calon untuk dipilih sebagai calon.

    “Saya Naib Ketua UMNO Bahagian langsung tidak dihubungi macam mana saya hendak menjawab dengan ahli-ahli UMNO yang lain. Saya bukan hendak menghasut tetapi ini adalah ketetapan kita, nak ingatkan (supaya) tolak calon luar.

    “Mengapa tidak pilih (kalangan) kita, apa kurangnya kita (calon tempatan)? Ini tempat kita, ini budaya kita, ini calon kita, betul?.

    “Bukan nak menghasut tetapi penat dengan permainan ini. Kami tak sanggup dijadikan sebagai ‘tikus makmal walaupun dalam pilihan raya sebelum ini sekali pun kami di Gerik tidak pernah gagal, ” katanya dalam video itu, lapor Agenda Daily.

    Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa tiada calon payung terjun BN di Perak termasuk dengan menafikan Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan diletakkan di kerusi Parlimen Gerik.

  • Khairuddin tidak tersenarai calon BN Kuala Nerus

    Khairuddin tidak tersenarai calon BN Kuala Nerus

    BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus.

    Hanya dua nama yang disenaraikan oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus iaitu Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Apli Yusoff dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

    Jurucakap UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, sebagai ahli baharu UMNO, sudah tentunya tidak adil jika Mohd Khairuddin dicalonkan mewakili BN untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

    Katanya, jika Mohd Khairuddin tersenarai sebagai calon, jentera pilihan raya parti akan menjalankan tugas dalam keadaan malap untuk berkempen.

    “Kita di peringkat bahagian menyerahkan keputusan mengenai calon mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Top-5.

    “Setakat ini hanya Apli yang juga Ketua UMNO bahagian dan Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tersenarai sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus,” katanya.

    Pada pertandingan tiga penjuru PRU-14, Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi dengan majoriti 8,447 undi selepas memperolehi undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperolehi 29,527 undi dan calon PKR, Abdullah Muhamad yang hanya memperolehi 4,604 undi.

    Mengulas desas desus Mohd Khairuddin tersenarai sebagai calon BN, jurucakap itu mengakui pembabitan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus dalam beberapa program dianjurkan UMNO dan menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dianjurkan UMNO menjadi punca namanya dikaitkan.

    Katanya, Mohd Khairuddin hanya bertanggungjawab membantu BN memenangi kerusi termasuk diundang sebagai penceramah.

    “Mohd Khairuddin turut diundang membantu kempen di Parlimen Jerai, Kedah bersama Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,” katanya.

    Jurucakap itu menambah, Mohd Khairuddin juga turut diundang untuk menyampaikan ceramah bagi membantu calon BN di beberapa negeri.

    “Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu bersetuju untuk ke setiap pelusuk tanah air membantu calon BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Zahid didakwa sedang siapkan diri jadi calon PM

    Zahid didakwa sedang siapkan diri jadi calon PM

    KETIKA spekulasi mendakwa penyandang kerusi Parlimen UMNO yang rapat dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan daripada menjadi calon parti pada pilihan raya umum (PRU-15), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan sedang mempersiapkan dirinya sebagai calon perdana menteri.

    Portal The Vibes.com yang memetik sumber melaporkan, calon pengganti yang telah diberi watikah pelantikan calon atau “watikah” juga diminta menandatangani surat menyokong Zahid dengan memberinya mandat untuk membentuk kabinet seterusnya jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.

    Ini termasuk menyokong Zahid untuk berunding dengan parti politik lain dan melantik Ahli Parlimen pilihannya sebagai anggota Kabinet, sekali gus meletakkannya sebagai calon perdana menteri, menurut orang dalam parti.

    Jika BN menang kerusi terbanyak pada PRU15, Zahid sebagai ketua gabungan politik itu boleh dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan seterusnya, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Beliau akan pergi ke negeri demi negeri menyampaikan surat watikah.

    “Bagaimanapun, menerima surat watikah adalah bersyarat kepada mereka (calon yang akan dinamakan) dengan menandatangani ikrar taat setia kepada Presiden dan memberinya mandat untuk membentuk kerajaan, jika UMNO-BN memenangi pilihan raya,” kata sumber itu. .

    The Vibes sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pemimpin lama UMNO yang tidak sehaluan dengan Zahid tidak akan tersenarai sebagai calon parti bertanding PRU-15.

    Ini termasuk Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan penyandang seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

    Difahamkan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan diletakkan di Kota Tinggi, manakala Ketua Pemuda UMNO Tenggara Manndzri Nasib, akan bertanding di Tenggara.

    Nama lain tidak tersenarai adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), and Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), sumber memberitahu The Vibes.

    Sumber itu juga berkata senarai calon UMNO boleh melalui perubahan selanjutnya sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

    Ismail Sabri, penyandang kerusi Bera dan Naib Presiden UMNO menerima tekanan hebat daripada parti itu dan Zahid untuk membubarkan Parlimen selain mengadakan pilihan raya awal tahun ini.

    Beliau membubarkan Parlimen pada 10 Oktober. Pengundian pula ditetapkan SPR akan diadakan pada 19 November.

    Gesaan UMNO untuk membubarkan Parlimen menjadi lebih agresif berikutan berakhirnya pilihan raya DUN Johor pada Mac, menyaksikan BN mencatatkan kemenangan besar, walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

    Zahid juga menghadapi pertuduhan rasuah, dengan satu kes melibatkan dana daripada yayasan amal Yayasan Akalbudi sedang berjalan, dan satu lagi melibatkan syarikat yang mengendalikan visa yang sedang menunggu rayuan oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasannya.

    UMNO berulang kali menegaskan bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon perdana menteri BN dan menolak spekulasi bahawa Zahid sedang berusaha untuk jawatan tertinggi.

  • Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    PAS beri bayangan kerjasama dengan UMNO tidak akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ini kerana UMNO mendakwa parti itu tidak ada pendirian tetap.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu sebaliknya tetap dengan pendirian tidak akan tinggalkan Bersatu demi untuk bekerjasama dengan UMNO.

    UMNO, tegas beliau, sepatutnya melihat kerjasama itu dalam kerangka yang lebih besar.

    Kata beliau, hampir tiga tahun Pas berusaha supaya berlaku penyatuan antara UMNO, Pas dan Bersatu bagi membentuk sebuah gagasan yang kuat bagi menghadapi PRU15 namun kini tidak kesampaian.

    “Pas ni kita setia dengan rakan kita walaupun UMNO letak syarat macam tu.

    “Bagi kami tak boleh letak syarat demikian. Kalau kita nak penyatuan, kita melihat pada kerangka besar.

    “Sebagaimana yang kita tahu, Pas tegas bersama Bersatu, bersama dengan gerakan untuk menghadapi Pilihan Raya ke-15 atas slogan Perikatan Nasional,” kata Tuan Ibrahim dalam laporan Astro Awani.

    Tuan Ibrahim juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan UMNO pascakeputusan pilihan raya umum itu nanti.

  • Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat andaian sama berhubung dakwaan ramai ahli dan pemimpin parti itu akan menyertai UMNO jika kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurutnya, amalan melompat daripada satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin mana-mana parti politik adalah perkara biasa sejak lama dahulu.

    Beliau menjelaskan, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak, bukan satu parti sahaja.

    “Kalau BN tidak berjaya dalam PRU-15 ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (Bersatu).

    “Jadi sama sahaja… akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau Bersatu,” katanya menurut Sinar Harian.

    Demikian reaksi ringkas beliau ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan menyertai UMNO atau Pas selepas PRU-15.

    Hamzah sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

    Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada PRU-15 akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai PAS.

    15 Oktober lalu media melaporkan 338 ahli UMNO Bachok menyertai Bersatu dan akan membantu kemenangan parti itu pada PRU-15.

    Mereka menghantar borang permohonan keahlian diketuai Ketua Cawangan UMNO Senok Tok Pakeh, Che Ramli Haron ketika Program Selamat Tinggal UMNO di Pantai Senok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, Bersatu menganggarkan lebih 5,000 lagi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

    Bagaimanapun, bagi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menang kerusi masing-masing mungkin menghadapi masalah untuk melompat parti kerana undang-undang antilompat bakal dikuatkuasakan.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen lompat parti diwartakan pada 6 September lalu setelah Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, namun tarikh penguatkuasaannya belum ditetapkan lagi.

  • UMNO akan cari tempat sesuai untuk KJ – Tok Mat

    UMNO akan cari tempat sesuai untuk KJ – Tok Mat

    UMNO akan mencari tempat sesuai untuk penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Khairy yang juga Menteri Kesihatan merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu UMNO tidak mahu beliau ‘hilang’ begitu sahaja.

    “Kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau untuk bertanding di PRU15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Seremban hari ini.

    Terdahulu, pada mesyuarat sama, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dalam ucapan penggulungannya berkata beliau memberi laluan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad pada PRU15.

    “Itu semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulil     lah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi,” kata Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau.

    Mengenai mesyuarat perwakilan hari ini, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti itu perlu memberi tumpuan di beberapa kawasan yang mengalami kekalahan tipis pada PRU14.

    “Kita tidak cakap tentang sasaran kerusi,  sasaran kita nak menang jadi mesti melepasi 112 kerusi supaya dapat tubuhkan kerajaan pada PRU15 ini.

    “Kalau boleh menang banyak, lagi baik dan kawasan dulu yang kalah tipis perlu diberikan tumpuan yang lebih oleh pimpinan di kawasan tersebut,” katanya.- BERNAMA