KETIKA spekulasi mendakwa penyandang kerusi Parlimen UMNO yang rapat dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan daripada menjadi calon parti pada pilihan raya umum (PRU-15), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan sedang mempersiapkan dirinya sebagai calon perdana menteri.

Portal The Vibes.com yang memetik sumber melaporkan, calon pengganti yang telah diberi watikah pelantikan calon atau “watikah” juga diminta menandatangani surat menyokong Zahid dengan memberinya mandat untuk membentuk kabinet seterusnya jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.

Ini termasuk menyokong Zahid untuk berunding dengan parti politik lain dan melantik Ahli Parlimen pilihannya sebagai anggota Kabinet, sekali gus meletakkannya sebagai calon perdana menteri, menurut orang dalam parti.

Jika BN menang kerusi terbanyak pada PRU15, Zahid sebagai ketua gabungan politik itu boleh dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan seterusnya, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau akan pergi ke negeri demi negeri menyampaikan surat watikah.

“Bagaimanapun, menerima surat watikah adalah bersyarat kepada mereka (calon yang akan dinamakan) dengan menandatangani ikrar taat setia kepada Presiden dan memberinya mandat untuk membentuk kerajaan, jika UMNO-BN memenangi pilihan raya,” kata sumber itu. .

The Vibes sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pemimpin lama UMNO yang tidak sehaluan dengan Zahid tidak akan tersenarai sebagai calon parti bertanding PRU-15.

Ini termasuk Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan penyandang seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Difahamkan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan diletakkan di Kota Tinggi, manakala Ketua Pemuda UMNO Tenggara Manndzri Nasib, akan bertanding di Tenggara.

Nama lain tidak tersenarai adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), and Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), sumber memberitahu The Vibes.

Sumber itu juga berkata senarai calon UMNO boleh melalui perubahan selanjutnya sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

Ismail Sabri, penyandang kerusi Bera dan Naib Presiden UMNO menerima tekanan hebat daripada parti itu dan Zahid untuk membubarkan Parlimen selain mengadakan pilihan raya awal tahun ini.

Beliau membubarkan Parlimen pada 10 Oktober. Pengundian pula ditetapkan SPR akan diadakan pada 19 November.

Gesaan UMNO untuk membubarkan Parlimen menjadi lebih agresif berikutan berakhirnya pilihan raya DUN Johor pada Mac, menyaksikan BN mencatatkan kemenangan besar, walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Zahid juga menghadapi pertuduhan rasuah, dengan satu kes melibatkan dana daripada yayasan amal Yayasan Akalbudi sedang berjalan, dan satu lagi melibatkan syarikat yang mengendalikan visa yang sedang menunggu rayuan oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasannya.

UMNO berulang kali menegaskan bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon perdana menteri BN dan menolak spekulasi bahawa Zahid sedang berusaha untuk jawatan tertinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here