Tag: UMNO

  • Keputusan tarik sokongan PN beri kesan terhadap UMNO

    Keputusan tarik sokongan PN beri kesan terhadap UMNO

    KEPUTUSAN UMNO menarik sokongan dan keluar dari Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja memberi kesan langsung kepada kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, malah turut memberi pelbagai cabaran kepada UMNO.

    Perkara itu diakui oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Beliau berkata, keputusan sebesar dan sepenting itu pasti mempunyai risiko dan geloranya.

    “Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut.

    “Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohamed Khaled menambah, UMNO mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati serta bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.

    Lebih-lebih lagi, kata beliau, dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa Perdana Menteri dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada.

    “Maka, UMNO mesti kembali bersatu hati. Kepada semua Ahli Parlimen UMNO di dalam PN, ruang dan tempat kalian dalam parti tidak pernah hilang.

    “Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,” jelasnya.

    Mohamed Khaled turut mengingatkan, PN itu tidak lebih dari sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara dan parti itu dahulu menyokongnya apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara.

    “Namun, UMNO tidak hidup hanya untuk hari ini. UMNO melihat masa depan. Atas dasar itu, insya-Allah UMNO akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting.

    “Buat masa sekarang, keutamaan UMNO adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

    Beliau memberitahu, untuk melakukan perkara itu, UMNO mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli-ahli Parlimen.

    “Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” jelasnya.

  • Pemimpin UMNO dalam kerajaan wajar laksana mandat tadbir negara

    Pemimpin UMNO dalam kerajaan wajar laksana mandat tadbir negara

    PEMIMPIN UMNO di dalam barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional wajar memberi tumpuan untuk melaksanakan mandat tanggungjawab mentadbir negara seperti diamanahkan kepada mereka.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, mereka seharusnya bersama-sama kerajaan hari ini dalam membantu menguruskan cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi yang disifatkan amat membimbangkan.

    Jelas beliau, keutamaan pemimpin berkenaan buat masa ini adalah bersama-sama membantu menambah baik usaha kerajaan dalam mendepani cabaran pengurusan Covid-19 tersebut.

    “Sesiapa pun yang diamanahkan oleh rakyat terutamanya yang telah diberi mandat untuk mentadbir urus kerajaan, saya galakkan dan nasihatkan bersama-samalah dengan kerajaan.

    “Apabila telah diberikan amanah, maka fokus kepada perkara itu, kurangkan dan tolak ke tepi soal berpolitik. Bila menjelang pilihan raya umum nanti, barulah kita cakap pasal politik,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Pemerkasaan Komuniti dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang di sini hari ini. 

    Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. 

    Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menambah, beliau memahami pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang memilih untuk mentaati keputusan serta pemimpin parti itu dan meninggalkan kerajaan PN. 

    “Jika mereka ini mementingkan diri sendiri atas sebab untuk mereka lebih mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, maka saya tidak dapat komen banyaklah,” katanya. 

    Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen DAP kononnya ditawarkan imbuhan untuk menyertai PN, Mohd. Redzuan berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan seperti itu.

    Jelasnya, perkara itu juga terpulang kepada jati diri individu yang berkecimpung di dalam politik yang mana mereka tidak seharusnya menggadaikan atau ‘berniaga’ semata-mata untuk kepentingan diri. 

    “Apa yang penting kami akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan kerajaan sedia ada dan kita tunggulah seperti apa yang ditetapkan kerajaan untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen dibuka nanti,” katanya.

    Awal hari ini, Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong PN dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menjadi menteri.

  • Janggal bagi UMNO tinggalkan PN sekarang – Penganalisis

    Janggal bagi UMNO tinggalkan PN sekarang – Penganalisis

    ADALAH “amat janggal” bagi UMNO menasihatkan ahli parlimennya dan menteri serta timbalan menteri daripada parti itu untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional, menurut seorang penganalisis.

    Penganalisis Politik dan Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata ini adalah kerana sebilangan menteri UMNO memegang portfolio penting dan penarikan sokongan mereka boleh menjejaskan program pemvaksinan kebangsaan, dan beliau memberi contoh seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    “Apa yang saya bimbangkan jika mereka berdua menarik sokongan, ia akan mewujudkan satu ketidakseimbangan dalam pelaksanaan vaksinasi kita yang berada pada peringkat yang amat penting sekarang, “ katanya dalam program “Mid-Day Update” Bernama TV berjudul “Current Political Climate and Mandate on Vaccination” (Iklim Politik Semasa dan Mandat ke atas Pemvaksinan) hari ini.

    Azmi berkata rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan menumpukan 100 peratus pada situasi semasa, menstabilkan ekonomi dan memerangi peningkatan kes-kes COVID-19.

    “Pada masa ini, kami sebagai rakyat tidak berada di dalam keadaan yang terbaik, kami mahukan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya mengendalikan isu ini,” kata beliau.

    “Bagaimanapun dengan tekanan politik semasa daripada pembangkang, saya rasa kerajaan akan mendapati adalah sukar untuk menumpukan kepada kehendak rakyat, maka oleh itu semua polemik politik perlu dihentikan,” katanya.

    Beliau juga berkata keputusan untuk membentangkan usul undi percaya ke atas perdana menteri dalam sidang Dewan Rakyat bulan hadapan adalah kaedah terbaik untuk meredakan kemelut politik di dalam negara.

    “Usul itu merupakan langkah terbaik, membenarkan Parlimen membuat keputusan adalah langkah ke hadapan terbaik,” katanya.

    Walaupun ada pihak mempersoalkan kenapa ia perlu dibawa pada bulan hadapan dan bukan sekarang, apa yang penting pembentangan usul itu merupakan langkah ke hadapan terbaik,” katanya lagi. – BERNAMA