PEMIMPIN UMNO di dalam barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional wajar memberi tumpuan untuk melaksanakan mandat tanggungjawab mentadbir negara seperti diamanahkan kepada mereka.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, mereka seharusnya bersama-sama kerajaan hari ini dalam membantu menguruskan cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi yang disifatkan amat membimbangkan.
Jelas beliau, keutamaan pemimpin berkenaan buat masa ini adalah bersama-sama membantu menambah baik usaha kerajaan dalam mendepani cabaran pengurusan Covid-19 tersebut.
“Sesiapa pun yang diamanahkan oleh rakyat terutamanya yang telah diberi mandat untuk mentadbir urus kerajaan, saya galakkan dan nasihatkan bersama-samalah dengan kerajaan.
“Apabila telah diberikan amanah, maka fokus kepada perkara itu, kurangkan dan tolak ke tepi soal berpolitik. Bila menjelang pilihan raya umum nanti, barulah kita cakap pasal politik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Pemerkasaan Komuniti dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.
Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menambah, beliau memahami pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang memilih untuk mentaati keputusan serta pemimpin parti itu dan meninggalkan kerajaan PN.
“Jika mereka ini mementingkan diri sendiri atas sebab untuk mereka lebih mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, maka saya tidak dapat komen banyaklah,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen DAP kononnya ditawarkan imbuhan untuk menyertai PN, Mohd. Redzuan berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan seperti itu.
Jelasnya, perkara itu juga terpulang kepada jati diri individu yang berkecimpung di dalam politik yang mana mereka tidak seharusnya menggadaikan atau ‘berniaga’ semata-mata untuk kepentingan diri.
“Apa yang penting kami akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan kerajaan sedia ada dan kita tunggulah seperti apa yang ditetapkan kerajaan untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen dibuka nanti,” katanya.
Awal hari ini, Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong PN dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menjadi menteri.