Oleh RAHIMI MOHAMAD
KETERANGAN dua individu melibatkan seorang wanita yang didakwa bergelar Datuk Seri dan seorang lelaki yang merupakan peguam telah selesai dirakamkan oleh polis berhubung kes pemalsuan dokumen menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes itu.
“Keterangan mereka sudah diambil, siasatan sekarang masih berjalan dan apabila cukup (bukti) baru kita bawa ke Pejabat Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.
Jumaat lalu, polis menerima laporan berkenaan satu dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit Malaysia (RM) membabitkan nilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.
Dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri yang mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebat dan denda.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, siasatan masih dijalankan sama ada kes itu turut melibatkan individu berkaitan politik dan menasihati semua untuk tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan di media sosial.