Tag: tumpas

  • Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

    Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

    “Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Sindiket edar dadah RM3.8j ke luar negara tumpas

    Sindiket edar dadah RM3.8j ke luar negara tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki syabu dan pil ekstasi ke luar negara membabitkan rampasan lebih RM3.8 juta dalam serbuan di sekitar Melaka dan Selangor pada Rabu lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata turut ditahan lapan suspek tempatan berumur antara 25 hingga 48 tahun iaitu enam lelaki dan dua wanita termasuk dua pasangan suami isteri dalam empat serbuan berasingan.

    “Serbuan pertama pukul 3 petang di Serkam, Jasin ke atas suspek dua lelaki dan seorang wanita di dalam kereta di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut di rumah itu polis turut menahan seorang lelaki dan wanita.

    “Hasil pemeriksaan di rumah itu juga menemukan dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 82.64 kilogram (kg) bernilai RM2.975 juta dan 16.62 kg pil ekstasi (RM831,000),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Zainol berkata kesemua dadah syabu itu ditemukan di dalam karung guni dan peket bungkusan teh seberat satu kilogram manakala pil ekstasi berwarna ungu keperangan di dalam plastik lutsinar dengan setiap satu bungkusan dianggarkan mempunyai 5,000 pil.

    Beliau berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman membuat tiga lagi serbuan pada hari yang sama dan menahan tiga lagi suspek masing-masing di Permatang Serai dan Kampung Pulai di Merlimau serta Kota Damansara, Petaling Jaya di Selangor.

    “Hasil risikan juga mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2022 dan ada antara mereka yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan suri rumah.

    “Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan yang sama,” katanya.

    Beliau berkata pada serbuan itu juga polis turut merampas tiga motosikal, empat kereta, barangan kemas, wang tunai dan beberapa keping wang kertas mata wang asing milik sindiket dengan jumlah keseluruhan anggaran RM283,770.

    Katanya, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

    polis, dadah, sindiket, pengedaran, syabu, ekstasi

  • Geng Patah, Geng Ajib aktif curi motosikal tumpas

    Geng Patah, Geng Ajib aktif curi motosikal tumpas

    DUA geng curi motosikal tumpas selepas polis menahan lapan lelaki menerusi Op Lejang hasil serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang sejak 25 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. GAMBAR: Warta Rakyat

    Berita Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun dipercayai anggota kepada Geng Patah dan Geng Ajib.

    Katanya, empat anggota Geng Patah yang dipercayai aktif sejak tahun lalu ditahan dalam serbuan di sekitar Gombak dan Sentul bermula 25 Februari lalu.

    Dalam serbuan itu, polis merampas tiga motosikal membabitkan dua Honda EX5 dan sebuah Yamaha LC135 bersama satu rangka motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini, selain pelbagai komponen motosikal.

    Mengenai satu lagi kumpulan, Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan empat anggota Geng Ajib berusia antara 24 hingga 34 tahun menerusi dua serbuan Op Lejang Gombak, selain di Rantau dan Linggi, Negeri Sembilan.

    Dalam pada itu, seorang penganggur yang terdesak mencari wang mudah untuk membeli dadah dan menyara hidup dengan menyamun kedai-kedai serbaneka, akhirnya ditangkap polis dalam serbuan di Pandan Jaya.

    Mohamad Farouk berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam Khamis lalu, kira-kira 12 jam selepas dia menyamun sebuah kedai serbaneka di Pandan Perdana.

    Katanya, siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam empat lagi kes samun menggunakan modus operandi sama di Ampang Jaya dan tiga kes serupa di daerah Cheras.

    Katanya lagi, semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

  • ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.

    “Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.

    “Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

    Sebahagian daripada senjata serta hasil samun kedai emas yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.

    “Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.

    Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.

    Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Sindiket tawar seks berselindung di sebalik kedai salon rambut tumpas

    Sindiket tawar seks berselindung di sebalik kedai salon rambut tumpas

    DI depan kedai salon rambut, tetapi di belakang ruang tawarkan khidmat perkhidmatan seks.

    Itu taktik satu sindiket persundalan di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan salon rambut.

    Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang menyerbu salon rambut itu pukul 4.30 petang semalam.

    Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, premis itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tetap dan beroperasi melalui pintu belakang bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

    Menurutnya, pelanggan tetap ini akan menghubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp dan membuat tempahan bagi mendapatkan perkhidmatan sebelum datang ke premis itu.

    Sindiket persundalan di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan salon rambut.

    “Sewaktu serbuan dijalankan oleh pihak polis, seramai tiga wanita warga asing yang berumur antara 22 tahun hingga 25 tahun sedang leka melayan tiga pelanggan yang berumur antara 43 tahun hingga 48 tahun yang berada di dalam premis itu.

    “Dalam serbuan itu, pihak polis turut menahan seorang perempuan tempatan yang berusia 48 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

    Ujarnya, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.