PENDAKWAAN terbaharu terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘tuduhan terpilih’, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dakwa beliau, tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu juga adalah bagi menutup isu berlaku dalam UMNO yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah pertuduhan terpilih.

“Kita harap Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah. Kita akan adalah solat hajat malam ini di markas Pas Taman Melewar (Gombak).

“Ia sebagai kenyataan sokongan kita dan satu lagi himpunan akan diadakan di Rusila, Terengganu malam ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada hari ini.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di luar ibu pejabat SPRM, di sini, sekitar pukul 11.15 pagi.

Ketibaan Muhyiddin diiringi ratusan penyokong beliau serta beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin PN.

Antara pemimpin PN yang turut hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin; Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here