Tag: Tommy Thomas

  • Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib

    Kerajaan tubuh JK khas siasat kematian Adib

    KABINET memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

    Menurut beliau, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    “Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Muhammad Adib mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

    Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

    Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, dalam bukunya yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’..

    Beliau menambah, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urus setia.

    “Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah
    kerahsiaan,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kabinet juga bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan berhubung kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

    Menurut beliau, pasukan berkenaan akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

    “Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/ Pulau Batu
    Puteh.

    “Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, Kabinet juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘Tort of Misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Beliau turut menyatakan, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Kabinet itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

  • Kait penjawat awam dengan politik, pandangan Tommy jelik

    Kait penjawat awam dengan politik, pandangan Tommy jelik

    KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengaitkan penjawat awam dengan parti politik sebagai jelik.

    Presidennya, Adnan Mat berkata, Tommy sepatutnya tidak perlu mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik atau ideologi kerana prinsip yang didukung oleh penjawat awam adalah neutral dan profesional dalam perkhidmatan masing-masing.

    Menurut beliau, penjawat awam sentiasa mendukung mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan kerajaan.

    “Sebagai jentera kerajaan, fokus penjawat awam adalah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat selaras dengan dasar kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Adnan Mat Cuepacs
    ADNAN MAT

    Baru-baru ini, Tommy telah mengaitkan penjawat awam melalui ucapannya dalam sebuah webinar yang bertajuk ‘UMNO Redux: What Next For Malaysia?

    Adnan menambah, Tommy dilihat telah membuat kesimpulan mengenai pemikiran politik penjawat awam tanpa dapatan atau kajian yang kukuh bagi membuktikan apa yang didakwa oleh beliau.

    Beliau memberitahu, Tommy mendakwa bahawa penguasaan sebuah parti politik ketika ini begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin bahawa parti tersebut sinonim dengan Malaysia.

    “Sebagaimana larangan penjawat awam untuk tidak menyentuh atau mengeluarkan pendapat mengenai isu politik, CUEPACS berharap perkara tersebut turut dihormati oleh pemimpin politik dengan tidak mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana pertikaian politik.

    :Penjawat awam juga rakyat Malaysia dan mempunyai kecenderungan politik tetapi mereka semua tetap profesional dan neutral dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

    Adnan berkata, tindakan mengaitkan penjawat awam dengan mana-mana parti politik hanya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

    “Pada masa yang sama, CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam untuk kekal fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.

  • Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    PEMIMPIN pembangkang dan peguam mempersoalkan apakah motif di sebalik desakan Umno agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung campur tangan politik dalam isu kehakiman.

    Mereka turut mempersoalkan apakah ia merupakan helah Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kluster mahkamah parti itu untuk melepaskan diri dari perbicaraan mahkamah.

    Memetik portal MalaysiaNow, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata permohonan Zahid yang kononnya dibuat atas nama reformasi institusi kehakiman dilihat sebagai tidak jujur.

    “Kenapa hanya pendedahan Tommy? Apakah Zahid nak selamatkan diri sendiri? Kalau dia berpegang kepada justice for all, mohonlah siasat semua kes.

    “Kalau Zahid jujur nak tubuhkan RCI, patutnya tubuh juga RCI untuk siasat semua kes berprofil tinggi bukan hanya pendedahan Tommy Thomas semata-mata,”kata ahli Parlimen Pulai itu hari ini.

    Selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Jumaat, Zahid mengeluarkan kenyataan yang antaranya mengatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Thomas dalam melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

    “Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dari PKR pula menyatakan Zahid sebenarnya tidak memahami pendedahan Thomas.

    Katanya, permohonan Zahid dan Umno itu tidak perlu dilayan sama sekali.

    “Sekiranya ada RCI yang akan dibentuk, ia mesti  dilakukan terhadap reformasi institusi yang mempengaruhi kita dari segi ekonomi, sosial terutama kesihatan dan politik yang melibatkan ketiga-tiga cabang pemerintahan.

    “Dan sekiranya ia berlaku, cadangan tersebut mesti didedah, dibahas dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

    Pengamal undang-undang Haniff Khatri Abdulla pula berpandangan “ada udang disebalik batu” di sebalik kenyataan Zahid.

    Menurutnya jika benar ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu membuat reformasi institusi kehakiman, mengapa tidak dimasukkan sekali pendedahan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Becker.

    Katanya, perkara itu pernah disebut Dr Mahathir Mohamad pada 21 Februari 2019.

    “Jika permohonan dia ada asas, ia boleh diteruskan. Persoalannya sekarang kenapa Tommy Thomas saja? Kenapa tidak termasuk pendedahan Hamid Sultan?”

    “Apakah Zahid ada udang disebalik batu?Tapi kalau Perdana Menteri Ismail Sabri  setuju dengan permohonan Zahid, saya minta mestilah dibuat dengan pendedahan Hamid Sultan untuk membuktikan kerajaan baru benar-benar ada integriti. Teruskan apa yang Mahathir mahu lakukan dulu,” katanya merujuk kepada pendedahan Hamid berhubung campur tangan dalam badan kehakiman.

    Zahid baru-baru ini dikritik hebat pengguna media sosial selepas masuk ke hospital, beberapa hari sebelum perbicaraan kes rasuahnya yang sudah ditangguhkan beberapa kali.

    Beliau merupakan individu yang giat berkempen untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sehingga bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan.

    Zahid, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.