Tag: tolak vaksin

  • Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksin, dipujuk buat pertimbangan wajar

    Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksin, dipujuk buat pertimbangan wajar

    MOHD LAZIM ENDUT

    LEBIH 100 orang guru di Terengganu yang bertindak menolak daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 terus dipujuk agar membuat pertimbangan wajar.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, jumlah tersebut sebenarnya mewakili peratusan yang kecil berbanding keseluruhan guru yang ada di negeri ini.

    Beliau berkata, memang ada isu guru yang tolak dan enggan divaksin, malah di tempat lain pun ada.

    Cuma katanya, beliau ingin menyarankan kepada golongan tersebut agar dapat mempertimbang semula keputusan merek demi kemaslahan dan kebaikan semua pihak.

    “Apa yang saya difahamkan jumlah berkenaan tidak statik kerana ada juga guru yang menerima vaksin setelah dipujuk, manakala selebihnya mereka yang ‘hardcore’ atau tegar.

    “Bagi penjawat awam negeri pula, setakat ini kita belum menerima laporan. Kita tidak tahu punca mereka (menolak) sama ada sebab penyakit atau sebaliknya,” katanya ketika kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Dr. Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tiada peraturan atau undang-undang yang membolehkan tindakan dikenakan ke atas penjawat awam termasuk guru yang menolak untuk divaksin.

    “Pendekatan yang kita ambil ketika ini ialah dengan cara memujuk bagi memastikan guru-guru terbabit alkhir bersetuju menerima suntikan vaksin,”ujar beliau.

    Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, ujian saringan Covid-19 secara berkala selepas pembelajaran bersemuka bermula antara pilihan lain akan dikenakan sekiranya golongan berkenaan masih enggan divaksin.

    “Itu mungkin salah satu cara. Jika mereka sanggup hendak ‘hadap’ ujian dua minggu sekali, itu terserahlah kepada mereka” jelas beliau.

  • 26 orang guru di Perlis masih tolak vaksin

    26 orang guru di Perlis masih tolak vaksin

    MASIH terdapat 26 orang guru daripada 4,710 orang guru di Perlis menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Exco Pendidikan negeri Rozieana Ahmad.

    Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memujuk guru-guru tersebut sebelum sesi persekolahan dibuka nanti bagi memastikan bahawa sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar dan selamat, untuk semua.

    Roziena yang ditemui pemberita di luar dewan Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perlis di Kompleks DUN Perlis hari ini berkata, guru dan kakitangan sekolah perlu menerima vaksin dan masih terdapat segelintir yang masih belum bersedia untuk divaksin atas sebab-sebab tertentu antaranya kerana menghidap penyakit kronik.

    “Saya merayu agar mereka (guru) mengutamakan kepentingan pelajar daripada kepentingan diri sendiri, kerana kita tidak mahu pelajar terus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

    Rozieana berkata pembelajaran secara bersemuka amat penting bagi pelajar, kerana itulah satu-satu cara bagi memastikan pelajar tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

    Beliau berkata, sebelum ini terdapat 91 guru di negeri ini yang menolak untuk menerima suntikan vaksin namun hasil perbincangan yang dilakukan seramai 65 orang guru, akhirnya berjaya dipujuk.

    Katanya sehingga kini, seramai 206 orang guru masih belum divaksin dan seramai 4,504 orang guru telah menerima vaksin di negeri ini.- BERNAMA