Tag: tokan dadah

  • Pegawai kastam lepas tembakan kereta dilanggar ‘tokan’ dadah

    Pegawai kastam lepas tembakan kereta dilanggar ‘tokan’ dadah

    SEPASUKAN pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melepaskan beberapa das tembakan selepas sebuah kereta dinaiki dua lelaki disyaki pengedar dadah melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa terbabit ketika cuba melarikan diri daripada kepungan.

    Insiden dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, di Lahad Datu itu turut disaksikan orang awam di sekitar tempat kejadian dan mereka sempat mengambil gambar sebelum ia tular di media sosial.

    Lapor Harian Metro, difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang semalam, selepas sepasukan pegawai JKDM Sabah menahan sebuah kereta Proton Saga kerana disyaki membawa dadah.

    Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga bertindak agresif melarikan diri dan melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa JKDM.

    Dalam keadaan mempertahankan diri, pegawai penguat kuasa terbabit bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang bagi memberhentikan kereta suspek.

    Namun suspek terus bertindak agresif meloloskan diri menuju ke arah Kampung Layung, di sini, menyebabkan pegawai penguat kuasa mengejarnya.

    Kereta suspek ditahan selepas masuk ke jalan mati di kawasan kampung berkenaan dan kedua-dua suspek berjaya diberkas.

    Pegawai penguat kuasa turut menemui sebuah bungkusan disyaki berisi dadah syabu.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan ia berkaitan operasi JKDM mengenai aktiviti pengedaran dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    CUBAAN sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan polis gagal apabila berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Baiduri di Tumpat, semalam.

    Kedua-dua suspek berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi dan hasil serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan pegawai bersama anggota Narkotik Tumpat dan Balai Tumpat membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini.

    Katanya, semasa serbuan seorang lelaki dan seorang wanita berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan

    “Hasil pemeriksaan menjumpai 13 biji pil kuda, 29 gram (g) heroin dan 14g ganja yang keseluruhan bernilai RM14,330,” katanya dalam
    satu kenyataan hari ini.

    Amran berkata, polis juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal
    jenis Honda Vario 150.

    “Turut dirampas ialah dua gelang tangan dan dua bentuk cincin keemasan dan perak serta sebentuk cincin warna keemasan.

    “Hasil ujian urin suspek lelaki dapati positif dadah jenis opiate dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik manakala wanita tersebut negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Amran berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Dua wanita tokan dadah ditahan

    Dua wanita tokan dadah ditahan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    POLIS menahan dua wanita yang aktif mengedar dadah selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

    Serbuan pada pukul 7.50 pagi dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM43,750.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, turut dirampas 1,480 paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat tiga kilogram serta 250 paket plastik berisi ganja (0.3 kg) selain wang tunai RM250.

    Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 31 dan 35 tahun mempunyai rekod dadah serta jenayah positif ganja.

    “Jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 1,730 pengguna dan pasaran dadah itu fokus di kawasan Lembah Klang.

    “Seorang suspek disyaki terbabit aktiviti itu sejak setahun lalu, manakala seorang lagi kira-kira 10 tahun lalu. Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket lain dan sumber bekalan diperoleh.

    “Hasil tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek direman selama enam hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG nenek berusia 64 tahun dan cucu lelakinya antara tiga suspek yang dicekup polis baru-baru ini selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM86,000, di Taman Seri Bayu di Alor Gajah.

    Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
    (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membuat serbuan di sebuah rumah di taman perumahan itu kira-kira pukul 6 pagi.

    Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas bersama 18 peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 2.2 kilogram dan enam peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 533 gram.

    “Susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek dipercayai rakan sindiket yang
    merupakan seorang wanita warga emas dan cucu lelakinya yang berusia 21 tahun di kawasan sama kira-kira 45 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Zulkiflee, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di kawasan tempatan dan boleh menampung kegunaan kira-kira 6,200 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

    Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek pertama didapati
    positif dadah jenis methamphetamin, selain turut mempunyai dua rekod lampau berkait kes
    jenayah serta dadah.

    Manakawal warga emas itu turut memiliki dua rekod berkaitan dadah, sementara cucunya mempunyai masing-masing satu rekod jenayah dan dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas barang kemas dan sebuah kereta serta motosikal
    berjumlah keseluruhan RM24,782.11 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran
    dadah ini,” jelasnya.

    Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan
    mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati
    mandatori jika sabit kesalahan.

    habis