Tag: TMJ

  • Covid-19:Johor sedia beralih fasa endemik-TMJ

    Covid-19:Johor sedia beralih fasa endemik-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan keyakinan ‘Special Task Force Covid-19’ di peringkat negeri yang ditubuhkan pada September lalu, akan menyumbang kepada penurunan kes Covid-19 di Johor.

    Menurut Tunku Mahkota Johor, ini kerana jawatankuasa itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pakar-pakar universiti, swasta, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dapat melawan wabak tersebut dengan lebih berkesan.

    “‘Special Task Force Covid-19’ ini dipilih secara inklusif. Kita yakin kes positif akan mula menurun melalui langkah kesihatan awam yang efektif dan penggunaan teknologi terkini,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Ismail berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

    Tunku Ismail mengadakan perjumpaan pertama Special Task Force Covid-19 di Royal Polo Club, Johor Bahru, hari ini

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Pada 9 September lalu, Tunku Mahkota Johor mengumumkan penubuhan Special Task Force Covid-19 berkenaan melibatkan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan kerajaan negeri.

    Jawatankuasa khas tersebut diketuai Tunku Ismail sendiri bertujuan memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.

    Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, perjumpaan pertama jawatankuasa tersebut diadakan di Royal Polo Club, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor; Datuk Dr. Aman Rabu.

    Menurut Tunku Ismail, Special Task Force Covid-19 dipilih secara inklusif melibatkan pelbagai pihak

    Tunku Ismail berkata, jawatankuasa itu berperanan memantau dan memperbaiki proses yang digunakan bagi sistem menyaring, mengasingkan, mengawasi dan merawat pesakit Covid-19 agar keadaan wabak adalah sentiasa dalam kawalan.

    “Pengesanan kontak perlu dipercepatkan supaya ia dilakukan dalam jangka masa 24 hingga 48 jam, dan kadar vaksinasi juga perlu dipertingkatkan.

    “Johor perlu bersedia untuk transisi daripada dari situasi pandemik kepada endemik,” ujar Tunku Ismail.

  • Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Tubuh jawatankuasa khas Covid-19 di peringkat negeri-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu satu ‘Special Task Force Covid-19’ ditubuhkan di peringkat negeri.

    Tunku Ismail akan mengetuai sendiri jawatankuasa khas tersebut bagi memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.

    “Jawatankuasa khas ini akan terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), kerajaan negeri, pakar-pakar profesional,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru, hari ini yang turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Menurut Tunku Ismail, penubuhan itu adalah selepas mengadakan pertemuan Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Dr. Dhesi Baha Raja di Royal Polo Club, Johor Bahru, hari ini.

    “Hasil daripada perjumpaan ini, saya telah menitahkan agar ditubuhkan jawatankuasa khas berkenaan,” ujar Tunku Ismail. – SB

  • The Pocket Rocketman terharu terima kurniaan TMJ

    The Pocket Rocketman terharu terima kurniaan TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terharu menerima kurniaan ganjaran secara peribadi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan kejayaan di Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.

    Menerusi hantaran dalam Facebook rasmi milik Tunku Ismail, penganugerahan tersebut diberikan selepas beliau menerima mengadap pelumba basikal trek profesional itu, semalam.

    Penganugerahan tersebut diberikan oleh Tunku Mahkota Johor itu atas pencapaian atlet yang mendapat jolokan ‘The Pocket Rocketman’ yang menuai pingat perak di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.

    “Tunku Ismail terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini (semalam) di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    “Ia bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status berkenaan.

    Sementara itu menerusi hantaran dalam Facebook Azizulhasni, beliau berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

    “Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor di atas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di ibu pejabat JDT.

    “Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini.

    “Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor,” tulis jaguh berbasikal negara itu.

    Tulis Azizulhasni lagi, beliau berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di negeri Johor.

    Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail ketika mengadap Tunku Mahkota Johor itu.

    “Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” katanya.

  • Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini-TMJ

    Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan, Johor akan menerima 70,000 dos vaksin Khamis ini.

    Tunku Ismail berkata, dos berkenaan akan diperoleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity iaitu di bawah program Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 dan dikawal selia oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Tunku Mahkota Johor berkata, dos berkenaan susulan pertemuan Tunku Ismail dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu yang menghadapnya hari ini.

    “Saya telah berjumpa Datuk Hasni, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd Noh Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Dr. Aman dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman pada hari ini.

    “Pertemuan ini bertujuan untuk mendapat laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin dan pembatalan temu janji untuk vaksinasi serta isu PPV Educity dan program vaksinasi pekerja kilang,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Tunku Ismail berkata, Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.

    Jelas Tunku Mahkota Johor, ini untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

    “Kerajaan negeri telah menyediakan khemah yang lebih besar untuk Covid-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

    “JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan CAC secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing.

    “Adalah hasrat saya perjumpaan ini dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat mungkin,” kata Tunku Ismail.

  • TMJ adakan pertemuan dengan guru di Johor yang tolak vaksin

    TMJ adakan pertemuan dengan guru di Johor yang tolak vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan guru di negeri ini yang menolak untuk mengambil vaksin di di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini.

    Tunku Mahkota Johor mendengar ulasan mengenai isu-isu yang mereka sedang hadapi.

    “Daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

    “Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

    “Sebilangan guru telah kini bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

    Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

    Menerusi perjumpaan itu Tunku Ismail berkongsi maklumat mengenai program vaksinasi dan situasi terkini pandemik Covid-19 di Johor.

    “Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa ketengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik,” ujar Tunku Mahkota Johor.

    Tunku Ismail berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

    Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

  • Guru enggan terima vaksin, ‘saya akan jumpa mereka’ – TMJ

    Guru enggan terima vaksin, ‘saya akan jumpa mereka’ – TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan negeri dan guru-guru berhubung isu 779 warga pendidik di Johor yang dikatakan enggan menerima vaksin.

    Pertemuan tersebut dikatakan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

    “Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat.

    “Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Insha-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah Tunku Mahkota Johor dalam Twitter @hrhcrownprinceofjohor hari ini.

    Tunku Ismail bertitah demikian sebagai respon terhadap perkongsian daripada pengikut baginda dalam Twitter mengenai seramai 779 guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

    Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.

    Malah, Mazlan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga akan membantu meyakinkan guru-guru terlibat untuk menerima suntikan vaksin mereka.

  • TMJ antara paling awal ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    TMJ antara paling awal ucap tahniah kepada Ismail Sabri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Ismail Sultan Ibrahim merupakan antara yang terawal mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.

    Tunku Mahkota Johor mengucapkan tahniah dalam facebook miliknya, HRH Crown Prince of Johor, kira-kira pukul 5.40 petang tadi.

    “Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9,” katanya ringkas.

    Hari ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.

    Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat.