Tag: tipu

  • 2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    DUA penuntut universiti di Kepala Batas, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM27,545 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan menerusi platform e-dagang popular.

    Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu mula terjerat dalam penipuan sindiket tersebut selepas melihat iklan yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka telah menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.

    Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu mangsa telah diberi penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian online.

    Jelasnya, mereka diminta melakukan tugas membeli barang yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan itu yang mana pembayarannya akan dibuat terus ke akaun bank sindiket.

    “Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

    “Pada peringkat awal, mangsa menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong mereka membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
      
    Jelas Noorzainy, kedua-dua mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas mereka tidak lagi menerima wang keuntungan yang dijanjikan.

    Jelasnya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket,” katanya.

    Menurut Noorzainy, sepanjang tahun ini sebanyak lima kes penipuan dengan modus operandi sama direkodkan di SPU dengan jumlah keseluruhan kerugian  RM59,328.

  • Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    SEORANG suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun ‘Suhair Rahman’ pada 26 Julai lalu.

    “Setelah berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita berkenaan telah memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.

    Ujarnya, wanita itu telah berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan semasa kucing berkenaan berada di kastam dan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing tersebut.

    “Suspek memberitahu kesemua wang tersebut akan dipulangkan semula kepada wanita itu jika proses selesai dilakukan.

    “Justeru, mangsa memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam 10 akaun berbeza,” katanya.

    Beliau berkata, wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing tersebut akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.

    Sementara itu, Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu tersebut.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.