Tag: tipu haji

  • Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    POLIS Diraja Malaysia menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada terhadap tiga syarikat pelancongan swasta yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 48 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta diikuti Selangor dengan 30 laporan melibatkan kerugian RM956,300.

    Beliau berkata, 18 laporan melibatkan kerugian dianggarkan RM1.2 juta diterima di Pahang manakala masing-masing enam laporan diterima di Kelantan, Perak dan Johor dengan kerugian RM608,000.

    “Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000, Negeri Sembilan merekodkan dua laporan membabitkan kerugian RM170,500 manakala masing-masing satu laporan di Terengganu dan Pulau Pinang yang melibatkan kerugian RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata, 22 kertas siasatan berkaitan penipuan itu dibuka, membabitkan 323 mangsa.

    Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA

  • Hukuman penjara agensi tipu jemaah haji – MATA

    Hukuman penjara agensi tipu jemaah haji – MATA

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan pihak berkuasa menjadikan kes penipuan jemaah haji oleh agensi pelancongan sebagai satu jenayah berat dengan hukuman penjara supaya perkara itu dapat dibanteras.

    Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi pihak MATA sekiranya mempunyai keraguan.

    Beliau berkata, bakal jemaah mesti mempunyai visa haji bagi menunaikan ibadah itu.

    “Tentukan ada visa haji. Mohon penjelasan bukti sebelum memberi sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Khalid turut mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan visa haji yang dianugerahkan kepada mereka sesuka hati dan mengenakan caj perkhidmatan yang berpatutan.

    “Pastikan agensi pelancongan sudah menerima tawaran (visa haji) yang diamanahkan baru mengundang jemaah haji,” katanya.

    Pada 7 Julai Bernama melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    TH sebelum ini memberi peringatan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). – BERNAMA

  • Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    LIMA individu termasuk pemilik agensi pelancongan swasta direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lepas oleh polis Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, kesemua suspek itu diserahkan kepada pihaknya hari ini kerana kes itu dilaporkan berlaku di negeri itu (Selangor).

    “Kesemua suspek yang ditahan termasuk pemilik agensi pelancongan itu dan juga isterinya direman hingga 12 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah menerusi kenyataan berkata, pihaknya menahan lima individu berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap dua agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

    Katanya, selain pasangan suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA