AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan Bersatu semata-mata kerana hendak menutup kerosakan yang berlaku dalam UMNO.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa berkata, Mohd Puad juga tidak perlu mencari publisiti murahan dengan mengalihkan perhatian tentang kecacatan yang berlaku di dalam UMNO.

“Saya ingin mengingatkan kepada Puad cukuplah! Tidak perlu lagi beliau untuk menunjuk pandai tentang parti Bersatu jika kamu sendiri tidak tahu. Kamu jaga sahaja hal rumah tangga parti kamu yang sedang bermasalah itu.

“Seluruh rakyat kini sedang mengikuti kes perbicaraan Presiden kamu dan sahabat baiknya itu.

“Tumpu sahaja pada DUN kamu dan buat kerja! parti kami tahulah kami hendak menguruskannya,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu hari ini.

MOHD SHUKOR MUSTAFFA BERSATU
MOHD SHUKOR MUSTAFFA

Mohd Shukor berkata demikian mengulas mengenai teguran yang dibuat Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang menyifatkan Mohd Puad lebih gemar “bermain politik” daripada berkhidmat kepada rakyat.

Dr Sahrudin juga melahirkan kehairanan dengan sikap Puad yang sering mencampuri urusan Bersatu dan menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu sebagai seorang yang lapar perhatian.

Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata, mengenai isu jawatan timbalan perdana menteri (TPM), Mohd Puad perlu menghormati perjanian yang telah dibuat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyarankan agar Puad berdiam diri daripada berbicara mengenai isu itu.

“Mengotakan janji itu adalah lambang kemuliaan dan keperibadian seseorang yang berintegriti.

“Ini bukan soal jawatan tetapi ini soal akhlak dan perjanjian yang telah dibuat.

“Jika tidak tahu lebih baik tutup mulut dan diam,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here