Tag: Tian Chua

  • PKR secara rasmi pecat Tian Chua

    PKR secara rasmi pecat Tian Chua

    BEKAS naib presiden PKR Tian Chua secara rasmi dipecat parti itu berikutan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-15.

    Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Tan Yee Kew memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti malam semalam.

    “Ya, semalam MPP ada mesyuarat dan kami memutuskan untuk memecatnya secara rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya lagi, seramai lima anggota PKR telah dipecat termasuk Tian Chua.

    “Semua dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain. Mereka yang akan dipecat kerana tindakan tatatertib lain akan diumumkan kemudian,” katanya.

    Menurut Tan, empat lagi anggota ialah Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali dari cabang Gopeng dan M Mohganan dari cabang Taiping.

    Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding di bawah tiket Warisan di Keranji dan Chenderiang manakala Mohganan bertanding di Taping sebagai calon bebas.

    Sementara itu, Nur Khairunisa Abdullah dari cabang Sadong Jaya turut dipecat kerana bertanding di Sadong Jaya semasa pilihan raya Sarawak 2021.

    Chua memegang kerusi Batu selama dua penggal antara 2008 dan 2018.

    Selepas hilang kelayakan sebagai calon semasa pilihan raya 2018, Chua menyokong Prabakaran, ketika itu calon bebas, yang akhirnya menang dan kemudian menyertai PKR.

    Semasa pemilihan pucuk pimpinan PKR awal tahun ini, Prabakaran menewaskan Chua dalam perebutan jawatan ketua PKR cabang Batu dan dicalonkan parti itu untuk mempertahankan Batu pada PRU15.

    Lantaran itu, Chua mengumumkan pencalonannya di Batu sebagai calon bebas tetapi akhirnya kehilangan depositnya.

  • Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    CALON Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P Prabakaran, mendedahkan Tian Chua menuntutnya memulangkan semula watikah pencalonan kepada jawatankuasa pilihan raya gabungan itu.

    “Saya tolak saranan itu. Dia (Tian Chua) ada bercakap dengan presiden PKR (Anwar Ibrahim) tapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan.

    “Tapi, akhirnya Tian Chua memilih untuk menjadi calon bebas. Saya tidak pernah melihatnya sebagai musuh,” katanya menurut Sinar Harian.

    Prabakaran ketika mengulas lanjut, berkata tindakan bekas naib presiden PKR itu bertanding bebas di kawasan berkenaan akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong PH.

    “Saya bersyukur Tian Chua menyokong saya selama ini (sejak 2018), tetapi sedih beliau memilih untuk lawan saya dan ingkar arahan parti kali ini,” katanya.

    Katanya, itu akan merisikokan kekalahan PH dan menyebabkan calon BN mempunyai peluang untuk menang.

    “Tian Chua masih ada masa untuk tarik balik pencalonan. Ini bukan pasal beliau atau saya tapi untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

    Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (bebas), peguam Siti Kasim (bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.

    Beberapa nama lain turut bertanding termasuk calon BN, A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).

    Pada PRU14 lalu, Prabakaran bertanding atas tiket bebas menang kerusi itu selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi calon lain termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau (13,687 undi); wakil PAS, Azhar Yahya (10,610) dan VM Panjamothy (bebas).

  • Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    Pemilihan PKR: Tian Chua tak pertahan jawatan Naib Presiden

    TIAN Chua mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.

    Memetik laporan FMT, beliau berbuat demikian bagi ‘menurunkan suhu’ dalam parti ekoran persaingan sengit merebut jawatan pada pemilihan Mei ini.

    Namun, Tian Chua manyatakan bahawa beliau tidak bersara dari politik dan akan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Batu.

    “Saya adalah antara empat Naib Presiden tetapi, seperti yang kita tahu, tiga daripada mereka telah pergi.

    “Saya adalah satu-satunya penyandang yang tinggal, tetapi saya memberi laluan untuk mengelakkan parti berdepan pemilihan yang sukar pada Mei.

    “Apa yang anda boleh lihat, suhu semakin meningkat dalam parti ketika pemilihan semakin hampir. Ini tidak bagus untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

    Naib Presiden yang lain ialah Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan pada 2018 tetapi kekal sebagai ahli, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu pada 2020 dan Xavier Jayakumar yang memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

    Tian Chua berkata, beliau mungkin bertanding untuk kerusi Parlimen Batu, yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) dan PRU-12.

    Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lalu kerana hilang kelayakan. Pencalonannya ditolak kerana denda RM2,000 daripada kes mahkamah yang telah dibayarnya pada 2010.

    “Saya kini menumpukan usaha untuk membina sokongan akar umbi sebagai persediaan menjelang PRU15 yang pastinya diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Kita tidak banyak masa dan saya berharap ahli PKR sedar bahawa PRU lebih penting,” katanya.

    Katanya, pemimpin PKR harus sedar bahawa usaha menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus menjadi tumpuan utama mereka dan bukannya merebut kedudukan dalam parti.

    “Kita mesti ingat bahawa pilihan raya akan datang akan menyaksikan banyak persaingan, dengan ramai muka baharu. Jadi kita perlu memperkukuhkan akar umbi kita untuk menghadapi cabaran baharu itu,” jelasnya.