Tag: Thailand

  • Pelukis tatu bahagia hidup sebumbung dengan 8 isteri

    Pelukis tatu bahagia hidup sebumbung dengan 8 isteri

    MEMANG hebat. Seorang pelukis tatu di Thailand mengagumkan ramai netizen selepas kisahnya hidup sebumbung dengan lapan isteri yang masih muda tular dalam media sosial.

    Memetik laporan Oddity Central, lelaki bernama Ong Dam Sorot itu menjadi terkenal selepas dia menceritakan kisahnya dalam satu rancangan televisyen.

    Rakaman video temu bual tersebut telah ditonton lebih tiga juta kali di YouTube.

    Ong memberitahu dalam temu bual tersebut bahawa semua isterinya mempunyai hubungan yang baik dan mereka menikmati kehidupan berkeluarga yang harmoni.

    Bagaimana dia bertemu lapan isterinya? Ong berkata, dia bertemu isteri pertamanya, Nong Sprite di majlis perkahwinan seorang rakan.

    Ong bertanya sama ada wanita itu menyukainya dan bertanya jika dia ingin berkahwin dengannya.

    Pertemuan dengan isteri kedua, Nong L pula adalah kisah cinta pandang pertama.

    Ong bertemu wanita itu di sebuah pasar dan Nong L bersetuju untuk berkahwin walaupun mengetahui pelukis tatu itu sudah beristeri.

    Dia bertemu dengan isteri ketiga di sebuah hospital manakala Ong berkenalan dengan isteri keempat, kelima dan keenam masing-masing melalui Instagram, Facebook dan TikTok.

    Tidak cukup dengan enam isteri, pelukis tatu tersebut bertemu dengan seorang lagi wanita bernama Nong Film ketika isteri ketujuhnya itu mengunjungi sebuah kuil bersama ibunya.

    Nong Film tidak mampu berkata ‘tidak’ ketika Ong melamarnya.

    Jodoh lelaki bertuah itu dengan isteri kelapan, Nong Mai, bertaut ketika dia bercuti bersama empat isterinya di Pattaya.

    Rahsia kebahagiaan dalam perkahwinan Ong bersama lapan isteri terletak pada sifatnya yang sangat penyayang dan bertimbang rasa.

    Kesemua isterinya mengakui bahawa Ong melayan mereka dengan baik dan tiada masalah yang boleh mencetuskan pergaduhan sesama mereka.

    Pelukis tatu itu turut memberitahu, terdapat empat bilik tidur disediakan untuk isteri-isterinya dan mereka tidur bersamanya mengikut giliran.

    Setakat ini, dia mempunyai seorang anak daripada isteri pertama manakala dua lagi isterinya sedang sarat mengandung.

    Ong menafikan lapan wanita itu berkahwin dengannya kerana wang.

    “Setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Isteri-isteri saya mencari pendapatan dengan bekerja atau menjual pelbagai produk seperti makanan, kosmetik dan kraftangan,” jelasnya.

  • Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    SEBUAH jet pejuang F-5 terhempas semasa menjalani latihan di daerah Chai Badan, di Lopburi, Thailand hari ini, menyebabkan juruterbangnya cedera parah.

    Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi (waktu tempatan), jet itu terhempas di sebuah padang latihan.

    Jurucakap Tentera Udara, Naib Marsyal Udara (AVM) Prapas Sornchaidee berkata juruterbang berjaya melenting keluar tetapi mengalami kecederaan parah.

    “Tentera Udara telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat nahas itu,” katanya.

    Tambahnya, juruterbang itu kini menerima rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – BERNAMA

  • PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    PDRM panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM siasatan kehilangan RM25j

    POLIS Diraja Malaysia akan memanggil tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    “Kesemua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

    Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

    Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

    Sementara itu Abd Jalil berkata proses permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih sedang berjalan.

    Beliau berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.

    “Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya.

    Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini ditahan pihak Imigresen Thailand kerana memiliki passport tidak sah.

    Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan halang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina.

    Beliau turut dikehendaki selepas waran tangkapnya dikeluarkan kerana gagal hadir di sebutan semula pertuduhan kerana berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

  • Lelaki maut berbalas tembak dengan polis di Pattani

    Lelaki maut berbalas tembak dengan polis di Pattani

    SEORANG lelaki yang dipercayai anggota kumpulan pemisah maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani, Selatan Thailand pada Isnin.

    Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Polis Pichawut Sanguansombat berkata polis menerima maklumat bahawa lelaki yang dipercayai anggota pejuang itu bersembunyi di hutan belukar di Kampung Sekmok di daerah Sai Buri.

    Beliau berkata pasukan keselamatan mula mengepong hutan belukar itu sejak 7 pagi (waktu tempatan).

    “Setelah hampir lima jam, pasukan keselamatan berjaya mengesan lelaki itu. Namun, lelaki itu mula melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

    “Insiden berbalas tembakan berlanjutan hampir 10 minit. Apabila keadaan reda, lelaki itu ditemui maut di kawasan belukar itu. Pasukan keselamatan turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver.38,” katanya.- BERNAMA 

  • Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    VARIAN Delta kini strain COVID-19 yang paling dominan di Thailand, menyumbang lebih 90 peratus jangkitan baharu sejak minggu lalu.

    Namun, sehingga kini tiada varian Lambada dikesan di Thailand.

    Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Supakit Sirilak berkata varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, telah menular ke 76 daripada 77 wilayah di Thailand. Suphan Buri di wilayah tengah adalah satu-satunya wilayah yang belum melaporkan kes membabitkan varian itu.

    Menurutnya, varian Delta sekurang-kurangnya berjangkit lebih 40 kali ganda berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom, menyumbang lebih 92 peratus jangkitan baharu di Bangkok, pusat penularan terbaru pandemik. 

    “Buat masa ini tidak ada kes babitkan varian Lambada yang pertama kali dikesan di Amerika Selatan itu,” katanya.

    Dr Supakit berkata pegawai kesihatan telah berhasil membendung varian Beta, yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan, di empat wilayah Selatan – Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla serta di Bueng Kan dan Bangkok.

    Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 21,038 kes baharu COVID-19 dan 207 kematian, mengumpul jangkitan keseluruhan kepada 816,989 dan korban seramai 6,795.

    Mengenai kes baharu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata 21,019 adalah jangkitan tempatan dan 19 kes import.

    Katanya, ia melibatkan 112 lelaki dan 95 wanita berusia antara 21 hingga 93 tahun termasuk lima warga Myanmar dan masing-masing seorang rakyat India, Kemboja dan Pakistan.

    “Kematian dilaporkan di 41 daripada 77 wilayah. Bangkok masih mencatat jumlah tertinggi sebanyak 4,525 kes dan 60 kematian, ” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.- BERNAMA

  • Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    SEKUMPULAN 20 rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok melaksanakan inisiatif ‘Malaysians in Bangkok – Hands that Serve’ bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat wabak COVID-19. 

    Diketuai Dr Silva Kumar, kumpulan itu membantu rakyat Malaysia dan Thailand dengan menghantar makanan ke pertubuhan amal iCare Thailand dan sebuah badan amal Islam, Satthachon Foundation for Education and Orphans (SFEO).

    Kumpulan itu turut menyediakan makanan percuma kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang kurang bernasib baik. 

    Selain itu, sumbangan wang tunai turut disalurkan kepada Malaysia Independent Animal Rescue di Pulau Meranti, Puchong dan pertubuhan bukan kerajaan, Refuge For The Refugees.

     “Pada awalnya saya bermula dengan misi bantuan dikenali “White Flag Help. Kita Jaga Kita” dan kemudian menubuhkan kumpulan itu pada akhir Jun dan mula mengumpulkan dana,” katanya.

    Sementara itu, isteri kepada Duta Malaysia ke Thailand, Catherina Cherian Samuel, berkata kumpulan itu turut membantu komuniti Malaysia yang terjejas akibat COVID-19.

     “Kami juga bantu rakyat Thailand yang terjejas di saat sukar ini,” katanya.

    Ahli kumpulan itu Shankar Achuthan Kutty, berkata pandemik yang berlarutan itu telah mengakibatkan banyak penderitaan.

    “Ini menguji iman seseorang terhadap erti kemanusiaan. Jadi kita cuba membantu sedaya yang mampu untuk memberikan sedikit sinar dan harapan.

    “Kami harap bantuan ini dapat diteruskan sehingga kita dapat keluar daripada saat yang sukar ini,” katanya. – BERNAMA