Tag: TFC

  • Penjaring TFC tumpul, ramai pemain import dilabel ‘cap ayam’

    Penjaring TFC tumpul, ramai pemain import dilabel ‘cap ayam’

    guane

    SKUAD bola sepak Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya mengutip tiga mata penuh dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi.

    Kemenangan sulung 1-0 yang diraih menerusi jaringan pemain pertahanan import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov pada minit 76 sekurang-kurang meredakan sedikit kemarahan para penyokong kelab ‘Peteh’ tersebut.

    Ini kerana, dalam tiga perlawanan lalu para penyokong TFC seakan tidak percaya pasukan mereka hanya mengumpul satu mata apabila tewas dua kali menentang JDT dan Kedah FC sebelum seri dengan Kuala Lumpur FC tanpa jaringan.

    Susulan prestasi tidak menentu pada awal musim ini ramai penyokong Peteh memberikan pelbagai komen negatif melalui saluran media sosial khususnya Face Book (FB).

    Antaranya termasuklah meminta jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner merombak barisan penyerang dengan mengeluarkan Ivan Mamut dan menggantikan dengan Jordan Mintah.

    Mereka berpendapat, ia perlu memandang kehadiran pemain Crotia itu terlalu lembik dan tidak memberi sebarang imput di hadapan pintu gol lawan.

    Selain itu, penyokong menyifatkan ramai pemain import TFC pada musim ini tidak berkualiti dan dilabelkan sebagai ‘cap ayam’ berbanding musim lalu.

    Penulis percaya musim lalu TCF muncul antara pasukan terkuat di bawah jurulatih Nafuzi Zain disebabkan gandingan pemain tempatan dan import berkualiti sehingga meletakkan kelab ini menduduki tempat kedua Liga Super serta turut mengancam dalam Piala FA.

    Antara pemain tempatan berbisa musim lalu termasuklah Faisal Halim yang berpindah ke Selangor.

    Manakala pemain import pula ialah Pepe Diakite, Tchetche Kipre, Kpah Sherman, Petrus Shitmbi dan Mannuel Ott.

    Penyokong TFC berpendapat, kekalahan kepada Kedah FC 0-1 sebelum ini adalah berpunca daripada kecuaian import dari Crotia, Domagi Pusic yang tidak sepatutnya bertindak menolak bola ke belakang.

    Malah, apa yang
    Penulis perhatikan gelagat kemarahan penyokong Peteh ini sehingga ada yang bercadang ‘memulaukan’ perlawanan dengan membiarkan Stadium kosong.

    Ada juga mencadangkan supaya pihak pengurusan menarik diri daripada menyertai Lejohanan AFC sekiranya prestasi pasukan tidak berubah.

    Menyedari kemarahan penyokong, maka Tomislav akhirnya akur membuat rombakan pemain dengan mengetepikan Ivan Mamut dan memasukkan Jordan Mintah sewaktu bertemu PDRM malam tadi.

    Turut ditampilkan ialah Habib Haroon.

    Ternyata percubaan tersebut membuahkan hasil apabila banyak percubaan tepat berjaya dilakukan pemain TFC sama ada daripada Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan juga Habib Haroon.

    Bagaimanapun setiap percubaan tersebut masih buntu dan gagal menghasilkan sebarang jaringan ke dalam gawang gol lawan.

    Ketika itu penulis perhatikan riak wajah dan aksi para penyokong tuan rumah semakin berubah dan mula bertukar nada, apatah lagi selepas PDRM hanya beraksi dengan 10 pemain.

    Dalam perlawanan tersebut, TFC yang kelihatan begitu agresif di hadapan pintu gol pihak lawan hanya terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

    Pada penghujung separuh masa pertama sebelum wisel ditiupkan pengadil, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga golnya, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah kerana mengasari Jordan Mintah.

    Hal ini menyebabkan jurulatih PDRM, Azzmi Aziz terpaksa mengeluarkan pemain tengah, Kyaw Min Oo bagi membawa masuk penjaga gol gantian, Willfred Jabun.

    Akhirnya, ketika memasuki minit ke 76, Kulmatov berjaya meledakkan gol kemenangan, sekaligus meredakan sedikit kemarahan para penyokong.

    Sebelum jaringan terhasil, penulis ada terdengar perkataan kurang enak ‘Dahlah main tempat sendiri, pihak lawan main 10 orang pun susah nak menang?’.

    Penulis berpendapat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji semula mengenai kouta pemain import yang dibenarkan dalam Liga Super di negara ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan pasukan negara ekoran ramai pemain tempatan berbakat tersisih.

    Bayangkan kalau dalam setiap perlawanan,terdapat lebih enam orang pemain import diturunkan sedangkan ada di antara mereka yang tidak berkualiti.

  • Jadi mangsa perkauman:”Sebagai  Muslim ia memalukan” – Diakite

    Jadi mangsa perkauman:”Sebagai Muslim ia memalukan” – Diakite

    PERTAHANAN tengah Terengganu FC (TFC), Pape Diakite melahirkan rasa kecewa apabila menjadi mangsa perkauman beberapa penyokong Melaka United FC (MUFC) semasa aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi.

    Pemain kelahiran Senegal itu menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menegaskan, perbuatan itu agak memalukan apatah lagi sebagai Muslim.Malah Diakite dengan nada merendah diri mendoakan suatu hari nanti, penyokong berkenaan akan memahami lebih banyak lagi tentang kehidupan sambil menyudahi ciapan itu dengan tanda pagar Alhamdulillah.

    “Beberapa penyokong Melaka memanggil kami “negro bodo” yang bermaksud orang kulit hitam bodoh.

    “Namun kami bangga menjadi orang kulit hitam sehingga kami mati.

    “Sebagai Muslim ia memalukan.Moga suatu hari nanti mereka akan faham lebih banyak lagi tentang kehidupan.#Alhamdulillah#D44,” ciap Diakite.Untuk rekod, TFC mempunyai tiga pemain kulit hitam iaitu Diakite, 

    Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast).

    Sementara itu, TFC dalam reaksinya berhubung isu itu menegaskan bolasepak adalah perpaduan penyatuan kesemua penyokong daripada seluruh pasukan di Malaysia tidak kira bangsa, kaum dan agama.

    Menerusi hantaran Facebook, TFC juga menegaskan bolasepak juga merupakan sukan yang menyatukan untuk semua dan bukan untuk memecahkan.


    “Sama-sama kita perangi provokasi, gangguan dalam bolasepak yang bersifat perkauman (rasicm), warna kulit atau bangsa yang berbeza,” katanya.


    Dalam perkembangan sama,  ciapan Diakite itu mendapat reaksi warganet yang mengecam insiden perkauman melibatkan pemain TFC tersebut.Pengguna Twitter bernama Rajanyucare dalam reaksinya menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan tidak patut berulang lagi.
    Dia berharap pegawai perlawanan akan mengambil maklum insiden itu dalam laporan mereka.


    Malah katanya, MUFC juga perlu diambil tindakan ekoran tindakan penyokong mereka bersifat perkauman.

    Pada perlawanan itu, TFC menewaskan MUFC dengan jaringan 4-2 dengan 

    Tchetche Kipre meledak hatrik manakala Faisal Abdul Halim menambah gol keempat pasukan.
    Faris Shah Rosli dan Syahmi Shamsudin pula mencatat nama sebagai penjaring untuk Melaka United FC.

  • Penjaga gol TFC akhirnya ‘buka mulut’, mohon maaf kepada penyokong

    Penjaga gol TFC akhirnya ‘buka mulut’, mohon maaf kepada penyokong

    PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim memohon maaf kepada penyokong skuad Penyu kerana gagal mempamer aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.

    Penjaga gol berusia 21 tahun itu turut mengakui kesilapannya melepaskan gol mudah ketiga buat Johor Darul Ta’zim (JDT), menyebabkan Terengganu terlepas peluang membawa pulang kejuaraan berprestij itu setelah 11 tahun menunggu.

    Menurut Rahadiazli, seperti penyokong setia bola sepak Terengganu, beliau masih terkilan dan kecewa kerana gagal menghadiahkan piala buat penyokong TFC pada penampilan pertamanya di pentas perlawanan akhir yang berakhir dengan kekalahan 1-3 di tangan JDT.

    “Saya akui tidak bermain seperti yang diharapkan semua orang, persembahan pada malam itu di bawah kemampuan sebenar saya.

    “Saya dengan rendah hati memohon maaf kerana tak berjaya bawa balik piala ke Terengganu. Ini juga sebenarnya adalah impian dan harapan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, petang semalam.

    Bagaimanapun, Rahadiazli yang juga pemain skuad Bawah-23 Tahun Kebangsaan enggan terus berduka dan bertekad menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran berharga.

    Katanya, tiupan semangat daripada jurulatih, rakan sepasukan serta peminat bola sepak dijadikan azimat untuk beliau bangkit dan memperbaiki kesilapan pada masa hadapan.

    “Saya juga enggan ambil tahu tentang komen-komen negatif peminat di laman sosial dan perkara yang sudah lepas saya akan jadikan tauladan untuk perbaiki kesilapan,” katanya.

    Dalam pada itu, pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand yang bermula dari 22 hingga 25 Sept ini di Chiang Mai.

    Katanya, peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk mempamer prestasi terbaik bagi meraih peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan.- BERNAMA

  • TFC tewas kerana psikologi, pemain kurang agresif kejar bola?

    TFC tewas kerana psikologi, pemain kurang agresif kejar bola?

    guane

    APA sudah jadi dengan prestasi dan semangat para pemain skuad Terengganu FC (TFC), kenapa terlalu cepat mengalah?

    Begitulah antara pertanyaan demi pertanyaan diluahkan oleh para peminat dan penyokong bola sepak Terengganu sebaik sahaja skuad tersebut tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

    Keputusan tersebut sekaligus meleburkan impian peminat dan penyokong Terengganu untuk menyaksikan Piala FA edisi 2022 berjaya di bawa pulang ke bumi Penyu selepas 11 tahun berlalu.

    Dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi kesemua pemain pada awalnya turun dengan semangat kental, namun dilihat longlai dan kurang bermaya sehingga bolos tiga gol, iaitu jumlah jaringan agak besar bagi satu-satu perlawanan di peringkat final.

    Walaupun terdapat pengulas sukan memuji persembahan ditunjukkan para pemain muda TFC, namun ia berlainan pula dengan penerimaan peminat dan penyokong TFC.

    Malah, banyak pihak menyifatkan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain TFC malam tadi seakan tidak bermaya dan tidak konsisten sehingga menampakkan jurang berat sebelah.

    Selain itu, aksi pemain juga banyak yang gagal menutup ruang menyebabkan mereka bolos tiga kali, manakala fungsi jentera tengah pula seakan lumpuh.

    Begitu juga dengan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim yang dikatakan gagal membaca pergerakan pemain lawan ketika tewas gol pertama.

    Nafuzi sedikit kecewa dengan persembahan anak buahnya.

    Tindakan Rahadiazli meninggalkan posisi jauh ke hadapan membawa padah apabila pada minit 34 gawangnya dibolosi.

    Bagaimanapun, pengulas sukan Ahmad Shahrul Azhar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan percaya penjaga gol muda tersebut mempunyai masa hadapan lebih cemerlang sekiranya terus di beri peluang beraksi.

    “Usah bimbang dan kecewa, kita berharap akan terus dapat melihat kelibat penjaga gol muda ini dalam aksi final akan datang” ulas beliau.

    Bagi pengendali TFC Nafuzi Zain pula terpaksa akur dengan kekalahan tersebut memandangkan jurang kualiti cukup jauh antara pemain Skuad Penyu dengan JDT menjadi punca pasukannya kempunan untuk menjulang Piala FA 2022.

    Namun, beliau berbangga kerana anak buahnya yang masih muda mendapat pengalaman berguna bagi membantu mengembangkan prestasi dan karier masing-masing.

    Ini kerana dalam perlawanan tersebut, TFC menyenaraikan ramai pemain muda manakala JDT pula dibarisi pemain berpengalaman dan sudah acap kali beraksi di perlawanan akhir.

    Bagi penulis, dalam sesuatu perlawanan bola sepak, selain teknikal dan taktikal perkara utama perlu diserap dan ditekankan juga kepada pemain ialah melibatkan motivasi dan psikologi.

    Ia penting kerana ia sekurang-kurang nya dapat mengatasi masalah tekanan apatah lagi ketika berhadapan dengan sebuah pasukan lebih bagus seperti JDT.

    Malah, penulis masih ingat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) suatu ketika dahulu pernah mengambil pendekatan ini di mana antara penceramah motivasi ketika itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

    Apapun, walaupun gagal merangkul juara Piala FA, penulis berharap semua pihak sama ada pengurusan, pemain, peminat dan penyokong setia TFC dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka.

    Malah kemaraan sehingga ke peringkat final merupakan suatu perkara amat membanggakan.

    Jadikanlah keputusan ini sebagai suatu pengalaman terbaik untuk meneruskan perjuangan akan datang, khususnya dalam aksi Liga Super di samping harapan langkahan ke final Piala Malaysia.

    Tidak mustahil TFC akan kembali bertemu dengan JDT dalam aksi final Piala Malaysia pula?

    Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti lebih ramai pemain Penyu berjaya menyarung jersi pasukan kebangsaan sepertimana pernah dibuktikan antaranya seperti Yahaya Jusoh, Zulkifli Hamzah, Yunos Alif, Abdah Alif, Zuber Ibrahim, Mubin Mokhtar, Ariffin Osman, Marzuki Yusof dan Zulharisham Awang.

    Dalam aksi Piala FA malam tadi, JDT memperoleh gol awal
    menerusi pemain kebangsaan berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi, dan pemain import kelahiran Brazil, Bergson Da Silva.

    Arif Aiman dengan tenang menggunakan kaki kirinya untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-34.

    Manakala gol kedua JDT dijaringkan oleh Bergson pada minit ke 63 menerusi sepakan penalti setelah dia diterjah oleh Rahadiazli.

    Gol saguhati TFC pula diperoleh pada minit ke 76 menerusi jaringan Tchetche Herman sebelum Bergson menjaringkan gol pemusnah pada minit ke 78 menjadikan kedudukan 3-1.