PERTAHANAN tengah Terengganu FC (TFC), Pape Diakite melahirkan rasa kecewa apabila menjadi mangsa perkauman beberapa penyokong Melaka United FC (MUFC) semasa aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Pemain kelahiran Senegal itu menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menegaskan, perbuatan itu agak memalukan apatah lagi sebagai Muslim.Malah Diakite dengan nada merendah diri mendoakan suatu hari nanti, penyokong berkenaan akan memahami lebih banyak lagi tentang kehidupan sambil menyudahi ciapan itu dengan tanda pagar Alhamdulillah.

“Beberapa penyokong Melaka memanggil kami “negro bodo” yang bermaksud orang kulit hitam bodoh.

“Namun kami bangga menjadi orang kulit hitam sehingga kami mati.

“Sebagai Muslim ia memalukan.Moga suatu hari nanti mereka akan faham lebih banyak lagi tentang kehidupan.#Alhamdulillah#D44,” ciap Diakite.Untuk rekod, TFC mempunyai tiga pemain kulit hitam iaitu Diakite, 

Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast).

Sementara itu, TFC dalam reaksinya berhubung isu itu menegaskan bolasepak adalah perpaduan penyatuan kesemua penyokong daripada seluruh pasukan di Malaysia tidak kira bangsa, kaum dan agama.

Menerusi hantaran Facebook, TFC juga menegaskan bolasepak juga merupakan sukan yang menyatukan untuk semua dan bukan untuk memecahkan.


“Sama-sama kita perangi provokasi, gangguan dalam bolasepak yang bersifat perkauman (rasicm), warna kulit atau bangsa yang berbeza,” katanya.


Dalam perkembangan sama,  ciapan Diakite itu mendapat reaksi warganet yang mengecam insiden perkauman melibatkan pemain TFC tersebut.Pengguna Twitter bernama Rajanyucare dalam reaksinya menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan tidak patut berulang lagi.
Dia berharap pegawai perlawanan akan mengambil maklum insiden itu dalam laporan mereka.


Malah katanya, MUFC juga perlu diambil tindakan ekoran tindakan penyokong mereka bersifat perkauman.

Pada perlawanan itu, TFC menewaskan MUFC dengan jaringan 4-2 dengan 

Tchetche Kipre meledak hatrik manakala Faisal Abdul Halim menambah gol keempat pasukan.
Faris Shah Rosli dan Syahmi Shamsudin pula mencatat nama sebagai penjaring untuk Melaka United FC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here