Tag: tetak

  • Penagih dadah tetak warga emas dengan parang berang ditegur

    Penagih dadah tetak warga emas dengan parang berang ditegur

    BERANG selepas ditegur seorang warga emas, seorang penagih dadah bertindak menetak lelaki berusia 73 tahun itu dalam kejadian di Kampung Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, Sabah semalam.

    Akibat serangan suspek berusia 45 tahun itu, mangsa cedera di kepala dalam kejadian pada pukul 11 pagi Selasa sebelum dia dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu serta kayu ke rumah penduduk tanpa sebab.

    Katanya, suspek yang dipercayai berang kerana ditegur mangsa atas perbuatannya itu, balik ke rumah mengambil sebilah parang.

    “Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek segera melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran kampung itu selepas melihat kepala mangsa berdarah.

    “Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai pada 4.30 petang.

    “Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6m yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa turut dirampas.”

    Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    Pesara tentera cedera ditetak meninggal dunia

    BADLISHAH MAT

    PESARA tentera yang bertugas sebagai pengawal keselamatan akhirnya meninggal dunia setelah empat hari menerima rawatan akibat ditetak dengan pedang di Sungai Petani, di sini.

    Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada pukul 6.15 petang ini.

    Ismail dimasukkan ke hospital itu akibat cedera parah di kepala dan tangan kiri selepas ditetak dengan pedang oleh seorang lelaki pada 4 Ogos lalu.

    Dia ketika itu sedang bertugas di tapak projek perumahan di Bukit Bayan, menegur suspek yang menunggang motosikal secara berbahaya di dalam kawasan projek perumahan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa dan pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di hospital sama.

    Terdahulu, seorang lelaki hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Tertuduh, R. Subramaniam, 41, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

    Dia didapati dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail menggunakan sebilah pedang di kawasan pos pengawal di tapak projek perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini, pada pukul 4.40 petang, 4 Ogos lalu.

  • Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    SEORANG lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di Kuala Lumpur semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

    Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

    “Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan. – BERNAMA

  • Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lipis hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapa kandungnya, minggu lalu.

    Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Mohammad Maasai, 68, dan ibu, Zailan Zainudin, 64, di sebuah rumah di Kampung Kemahang Benta, di sini antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Okt lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding berkenaan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

    Berikutan itu Siti Aisyah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang dan kejadian didakwa berlaku selepas lelaki itu berbual bersama bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan. – BERNAMA