Tag: tentera

  • Tembakan kerana suspek ketum enggan berhenti kenderaan

    Tembakan kerana suspek ketum enggan berhenti kenderaan

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMANDU pacuan empat roda disyaki penyeludup daun ketum yang enggan memberhentikan kenderaan dan memandu secara bahaya memaksa tentera yang mengejar mereka melepaskan tembakan dalam kejadian di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap.

    Bagaimanapun, tembakan tersebut dilepaskan ke arah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabit yang pada mulanya cuba menghimpit motosikal dinaiki pegawai dan anggota tentera itu yang mengejar mereka dari arah Durian Burung.

    Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu juga hampir melanggar kenderaan awam.

    “Situasi itu menyebabkan pegawai tentera yang membonceng motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kanan jalan.

    “Pasukan tentera pada mulanya mengekori kenderaan tersebut yang baru keluar dari kawasan hutan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan. Walaupun diarah berhenti tetapi pemandunya terus memecut sehingga terpaksa dikejar,” katanya dalam kenyataan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12,30 tengah hari semalam, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika dikejar anggota tentera.

    Insiden tersebut turut menyebabkan bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum bertebaran di bahu jalan dan kedua-dua suspek terbabit turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

    Salah seorang suspek mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang lagi luka di kepala sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

    Pemeriksaan yang dibuat oleh anggota tentera terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

    Sementara itu, Mulkiaman berkata, tiada sebarang kejadian atau kecederaan melibatkan orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian dalam insiden terbabit.

    “Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.

  • Kenderaan bawa ketum terbabas dikejar tentera

    Kenderaan bawa ketum terbabas dikejar tentera

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA lelaki warga tempatan yang dipercayai penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar anggota tentera di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap hari ini.
     
    Dalam insiden kira-kira pukul 1 petang itu, bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum turut bertaburan di bahu jalan setelah kenderaan itu terbabas ke dalam longkang.

    Malah, kedua-dua suspek turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

    Difahamkan, anggota tentera turut melepaskan tembakan amaran ke udara setelah pemandu Toyota Hilux terbabit enggan memberhentikan kenderaannya.
     
    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, sepasukan tentera yang membuat rondaan bermotosikal di kawasan Durian Burung mengekori kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu yang dalam keadaan mencurigakan.
     
    “Bagaimanapun suspek terus memecut apabila kenderaan itu diarah berhenti sebelum aksi mengejar berlaku.

    Penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar anggota tentera di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap hari ini.

    “Kenderaan tersebut yang menghala ke Kuala Nerang dikatakan cuba menghimpit motosikal anggota tentera berkenaan serta hampir melanggar kenderaan orang awam sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Mulkiaman berkata, salah seorang suspek mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang lagi luka di kepala akibat kemalangan tersebut.

    Tambah beliau, kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.
     
    “Hasil pemeriksaan yang dibuat oleh tentera di dalam pacuan empat roda tersebut menemukan beberapa lagi bungkusan plastik hitam mengandungi daun disyaki daun ketum. 
     
    “Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut termasuk mengenal pasti suspek,” katanya.
     
    Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang kini ditahan polis akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Jitra, esok.

  • Layanan UMNO terhadap tentera dikesali – Pakatan Harapan

    Layanan UMNO terhadap tentera dikesali – Pakatan Harapan

    PAKATAN Harapan (PH) hari ini menyatakan kekesalan dengan sikap kepimpinan UMNO yang mentadbir kerajaan kerana dikatakan melayan tentera secara ‘take it or leave it’ dengan membuat pesanan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan anggotanya.

    PH dalam kenyataan yang dilapor Berita Harian mendakwa apa yang dipentingkan pimpinan kerajaan diterajui UMNO adalah mendapat projek untuk kroni mereka dan bukannya memenuhi keperluan tentera.

    Menurut PH, pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarah reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) ditukar daripada Sigma yang diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Gowind yang dicadang pembekal Perancis adalah contoh jelas tragedi ‘take it or leave it’ yang berlaku.

    “Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini.

    “Kami kesal sikap kepimpinan UMNO sebelum ini yang melayan tentera secara ‘take it or leave it’ apabila mereka memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu anggota tentera kita,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil; Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.

    Tambah kenyataan itu jika rakyat memberikan mandat semula kepada PH dalam pilihan raya umum akan datang, gabungan itu berjanji akan menyambung kembali siasatan yang dihentikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas PH dijatuhkan.

    “Kita juga akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dibentangkan sebelum ini.

    “Kami akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik bagi menjalankan tugas mereka untuk negara,” katanya.

    Kenyataan itu berkata, dalam KPP yang dibentang oleh Menteri Pertahanan ketika PH mentadbir kerajaan, TLDM mengharapkan mereka mempunyai LCS dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan anti-udara, anti-permukaan dan anti-kapal selam.

    “LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia,” kata kenyataan itu.

    TLDM juga perlu dalam keadaan siap-siaga sepanjang masa untuk mendepani ancaman maritim termasuk daripada sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya.

    “Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi lautan dan sentiasa terdedah kepada ancaman rompakan di laut, pelanunan, penculikan untuk tebusan, penyeludupan barang terlarang, pencerobohan migran dan kecurian hasil laut oleh nelayan asing.

    “Dianggarkan kerajaan rugi hampir RM6 bilion setahun akibat kegiatan perikanan haram dan jenayah lain di domain maritim kita.

    “TLDM berperanan penting menjaga keselamatan di kawasan lautan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon yang juga penyumbang utama kepada pendapatan negara,” katanya.

    Semalam Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati, tadbir urus Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menguruskan kontrak pembekalan LCS adalah lemah dengan sebahagian klausa kontrak tidak mengambil kira kepentingan kerajaan.

    JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan, mendedahkan tadbir urus itu juga tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

  • Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    KEJAYAAN membunuh dan menangkap anggota komunis adalah antara yang paling membanggakan bagi bekas pegawai tentera Kapten (B) V. Panir Chellvum sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Panir Chellvum, 67, berkata, perisitiwa bersejarah dalam hidupnya itu berlaku ketika beliau terbabit dalam ‘Op Pagar’ antara ATM dan polis bagi memburu ancaman komunis di Gerik, Perak pada 14 Feb 1977.

    Berkongsi pengalaman itu kepada Bernama baru-baru ini, katanya kejadian berlaku ketika beliau berusia 22 tahun dan berpangkat Leftenan Muda ditugaskan untuk mengetuai kumpulan yang dianggotai empat lagi rakan sepasukan melakukan serang hendap terhadap ancaman komunis selepas mendapat maklumat risikan ‘kategori A’ daripada pihak polis.

    Tanpa memikirkan soal gentar atau takut dalam mempertahankan kedaulatan negara, Panir Chellvum dan pasukannya bergerak dalam kegelapan malam ke lokasi operasi jauh di dalam hutan.

    Semasa beliau dan pasukannya meletakkan ‘claymore mine’ (periuk api) di lokasi tersebut, mereka dikejutkan dengan pancaran lampu suluh musuh dari arah belakang sebelum seorang ahli pasukannya melepaskan tembakan.

    Musuh seramai kira-kira 15 orang terkejut dengan tembakan itu kemudian kedua-dua kumpulan saling berbalas tembakan selama 30 minit.

    “Ketika itu juga kami terdengar jeritan suara yang disebut dalam bahasa Cina ‘cau’ yang bermaksud lari dan kami berhenti menembak. Selepas itu kami terdengar bunyi geseran daun kering di hadapan kami. Saya tahu ini bunyi gerakan musuh yang kembali mendekati kedudukan kami.

    “Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melontarkan lima grenad ke arah bunyi tersebut dan empat daripadanya meletup.

    “Musuh sudah berlarian dan saya terus menghubungi pasukan ‘Artillery Fire’ untuk memberikan kami ‘illuminating rounds’. Ketika itu saya dapat melihat banyak beg galas kepunyaan musuh dan juga terlihat seorang anggota komunis terbaring betul-betul di hadapan saya,” katanya.

    Menurut Panir Chellvum, beliau terus meluru ke arah musuh tersebut dan menembaknya sehingga mati sebelum mereka kembali ke kedudukan asal dan berjaga-jaga di kawasan tersebut hingga pagi.

    Keesokannya ketika meninjau di sekitar kawasan pertempuran, Panir Chellvum berjaya menawan seorang anggota komunis yang sedang ketakutan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya yang lain dan setelah disoal siasat, tawanan tersebut memberitahu bahawa musuh yang terbunuh itu adalah ketuanya.

    Susulan kejayaan itu, Panir Chellvum telah menerima Pingat Gagah Berani pada 1978.

    Sementara itu, seorang lagi bekas polis, Charan Singh Hajara Singh, 75, berkata sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, operasi Lada Pedas di Sarikei, Sarawak pada 1970 adalah momen yang paling tidak dapat dilupakan.

    Dalam kebuntuan pasukannya berbincang tentang kaedah dan bagaimana platun mereka diserang hendap musuh, beliau yang ketika itu ditugaskan di Unit Semboyan berjaya menemui jawapannya.

    “Ketika itu Komander dan pasukan sedang berbincang mengenai platun kami yang diserang. Sebanyak tiga perangkap samar telah meletup. Saya yang ingin tahu tentang serangan itu nekad memanjat tebing berdekatan kawasan berlakunya letupan.

    “Saya nampak ada tiga kubu dan nasi yang sudah dimasak di dalam tin kerosin yang sudah dimakan sedikit. Di sana ada satu bateri dengan wayar pada satu bahagian telah disambungkan manakala satu bahagian lagi tidak,” katanya.

    Berbekalkan ilmu taktikal operasi yang diajar sewaktu menyertai pasukan itu, beliau bertindak menyahsambungkan wayar hitam pada bateri berkenaan dan Charan berkata beliau bersyukur, nasib menyebelahinya dan dirinya dilindungi tuhan.

    “Dua daripadanya meletup. Rupa-rupanya ada tiga ke lima perangkap samar yang dipasang musuh, pada jarak kira-kira empat ela (3.7 meter),” katanya.

    Menurutnya selepas selesai operasi di situ, beliau dan pasukannya yang berpangkalan di Ipoh/Ulu Kinta, Perak pulang semula ke Semenanjung dan terlibat dengan beberapa lagi operasi lain menentang komunis.

    Pada akhir perkhidmatannya, Charan bertugas di Balai Polis Kuala Lumpur hingga 1995. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Marin Pulau Langkawi serta dalam Cawangan Khas di Songkhla, Selatan Thailand sewaktu bertugas di Alor Setar, Kedah. – BERNAMA

  • Tangan askar hampir putus masuk rim motosikal

    Tangan askar hampir putus masuk rim motosikal

    SEORANG anggota tentera cedera parah apabila tangan kirinya hampir putus selepas termasuk ke dalam rim motosikal yang dinaiki bersama rakan dalam kemalangan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam insiden pada kira-kira 7 pagi itu, dua lelaki berusia 37 tahun yang merupakan anggota tentera dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke kem tersebut dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Sejurus sampai di hadapan Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas secara tiba-tiba baju panas milik pembonceng (mangsa) tersangkut di sprocket (gegancu) motosikal yang dinaiki mereka dan menyebabkan baju itu terbelit.

    “Hal itu menyebabkan mangsa terjatuh ke sisi kiri motosikal lalu mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam rim,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di tangan kiri yang hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri manakala rakannya, yang merupakan penunggang motosikal, tidak mengalami kecederaan.

    Anuwal berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    DAKWAAN seorang individu bahawa adiknya yang dipukul dan dibuli di berek bujang di sebuah kem tentera mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Melalui tangkap layar yang dikongsi dalam Twitter ‘Pedoq, what is this behavior?’ individu terbabit mendakwa insiden itu berlaku setiap hari dan wang gaji adiknya habis kerana diberikan kepada anggota-anggota tentera yang lebih senior.

    Menurutnya, adiknya perlu membeli barang keperluan untuk 12 hingga 14 anggota tentera yang lain di berek bujang tersebut.

    Namun, dia mendakwa, adiknya takut untuk membuat laporan manakala kes-kes serupa yang dilaporkan kepada pihak atasan sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawad selama 45 minit.

    Selain itu, adiknya bimbang akan berdepan tindak balas daripada anggota-anggota tentera yang lebih senior yang tinggal bersamanya di berek bujang berkenaan.

    Sehubungan itu, pengadu yang meminta identitinya dirahsiakan meminta pemilik akaun Twitter tersebut membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya.

    Walau bagaimanapun, lokasi kem tentera terbabit tidak dinyatakan.

    berek bujang tentera
    Tangkap layar mesej daripada pengadu.

    Sementara itu, Hishamuddin melalui laman Facebook miliknya meminta individu berkenaan supaya menghubungi beliau atau pejabatnya untuk memberi maklumat lanjut.

    “Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.

    Beliau menambah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga telah diarah untuk menelitti perkara itu secara peribadi.

    “Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

  • Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pesara tentera dua minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh anggota tentera berpangkat Pegawai Waran, Mohd Hafidz Ibrahim, 34, dan peniaga, Muhammad Ahmad Md Yusoff, 31, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farah Syahidah Mohd Noh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan kira-kira 60 meter dari Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama antara pukul 5.30 petang hingga 10.50 malam, 10 Okt lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Roslan Mohd Suki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat. – BERNAMA

  • Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    MAYAT Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dikhuatiri lemas semasa menjalani latihan taktikal Eksesais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera, dijumpai terapung di tebing Sungai Pahang pagi ini.

    Jasad mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui kira-kira pukul 7.55 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohamad Azrin dijumpai orang awam yang turut terbabit dalam operasi mencari mangsa.

    Katanya, jasad mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh,” katanya hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari keempat membabitkan seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan dan unit amal.

    Nor Aqila Syafiqa Safuan (kiri) isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin

    Sebanyak 30 buat bot digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

    Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai itu ketika menjalani latihan, Ahad lalu.

    Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.

    Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.

    Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin oleh penduduk kampung

    “TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri mangsa, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23 serta seluruh ahli keluarganya dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga itu.

    “Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham,” menurut kenyataan itu.