Tag: Tengku Zafrul Abdul Aziz

  • Agensi penguat kuasa sentiasa pantau aktiviti luar pesisir- Tengku Zafrul

    Agensi penguat kuasa sentiasa pantau aktiviti luar pesisir- Tengku Zafrul

    AGENSI penguat kuasa sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti luar pesisir sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan.

    Ini melibatkan polis, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Jelas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jika sebarang isu yang timbul, agensi terbabit yang bertanggungjawab.

    “Kalau ada perkara yang perlu disiasat seperti yang disebut oleh YB Bagan (Lim Guan Eng), Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa yang berwibawa di bawah AMLA sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi-agensi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Lim Guan Eng (PH-Bagan) sebelum itu meminta agar satu siasatan dibuat berhubung pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Sementara itu, Tengku Zafrul dalam masa sama turut mengalu-alukan laporan daripada orang ramai termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai Kertas Pandora.

    “YB Port Dickson kata tadi, dia ada laporan sekiranya terdapat maklumat seseorang individu atau entiti mungkin terlibat dengan penggubahan wang haram, aktiviti pembiayaan keganasan dan penjanaan pendapatan atau hasil daripada aktiviti haram,” ujarnya.

  • Baucar Perlindungan Tenang peringkat akhir sebelum dilancar

    Baucar Perlindungan Tenang peringkat akhir sebelum dilancar

    PROGRAM Baucar Perlindungan Tenang, bantuan RM50 untuk membolehkan rakyat membeli insurans atau takaful sedang dalam peringkat akhir sebelum dilancarkan oleh kerajaan.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi inisiatif bagi meningkatkan jaringan perlindungan sosial rakyat, baucar itu dijangka dapat dimanfaatkan sehingga 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

    “Bantuan program Baucar Perlindungan Tenang hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat insurans dan takaful akan membantu penerima BPR membeli perlindungan insurans dan takaful daripada penyedia berlesen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific di Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut serta Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh.

    Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperkenalkan Program Baucar Perlindungan Tenang iaitu insurans kos rendah bernilai RM50 sebagai bantuan kewangan kepada golongan B40 untuk membeli produk Perlindungan Tenang.

    Menerusi Perlindungan Tenang, rakyat boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu dan mudah difahami, dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas.

    Produk Perlindungan Tenang menawarkan perlindungan kepada pemegang polisi serta keluarga dalam menghadapi peristiwa yang tidak dijangka (bergantung kepada jenis polisi) seperti kematian, kemalangan, hilang upaya kekal, kebakaran atau kerosakan harta benda.

    Keistimewaan Perlindungan Tenang ialah kadar premium/caruman serendah RM1 sebulan dengan pelannya boleh diperbaharui setiap tahun.

    Produk berkenaan juga mudah difahami dengan bayaran tuntutan terus kepada pemegang polisi atau benefisiari (penama), sekiranya berlaku musibah, selain proses taja jamin (underwriting) yang mudah dan pengeluaran polisi/ sijil yang segera.

    Produk Perlindungan Tenang boleh dibeli melalui laman web syarikat insurans/ pengendali takaful; kaunter cawangan syarikat insurans/pengendali takaful; cawangan bank tertentu; kaunter POS Malaysia; atau syarikat pengendali telefon mudah alih tertentu.

    Proses tuntutan produk terbabit adalah mudah dan ringkas dengan tuntutan akan dibayar dalam tempoh lima hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen yang lengkap.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dalam tempoh jangka masa panjang, kerajaan dan BNM akan terus menekankan kepentingan literasi kewangan dan pembuatan keputusan kewangan yang baik melalui pelbagai usaha di bawah Jaringan Pendidikan Kewangan.

  • Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMAKAN status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat mulai esok, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurutnya, proses tersebut membabitkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

    Jelasnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung bulan ini bersama dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

    “Kerajaan sudah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

    “Permohonan rayuan ini diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zafrul berkata, kerajaan berharap bantuan tunai yang keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini, boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka.

    Selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR, beliau berkata, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyertai Program Jaringan Prihatin.

    Katanya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program terbabit akan dilanjutkan sehingga 30 September ini dan ia bertepatan dengan situasi semasa serta memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar serta menebus telefon telefon di kedai secara fizikal.

    “Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi atau pakej peranti mudah alih.

    “Sokongan ini diharapkan dapat menjamin pembelajaran yang lebih lancar dan kondusif,” katanya.

  • Fasa endemik selepas 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    Fasa endemik selepas 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN menjangkakan populasi dewasa di negara ini mencapai 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dua dos adalah pada akhir Oktober ini.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rakyat di negara ini akan memulakan kehidupan dengan Covid-19 sebagai wabak endemiK.

    “Sasaran mencapai kadar imuniti tertentu merupakan kunci bagi membolehkan negara berada di landasan pemulihan yang tepat.

    “Setakat ini negara sudah menyaksikan keberhasilan usaha yang dilakukan selama ini, termasuk pengurangan kadar kemasukan ke hospital, serta kadar pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

    “Untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bakal memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat, lebih banyak aktiviti ekonomi bakal dibuka dalam usaha memulihkan kembali sektor ekonomi negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara (NRS) secara maya, hari ini.

    Katanya, sehingga 7 September, kadar vaksinasi menunjukkan sekitar 20 juta atau 89 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama.

    Sementara itu, 16 juta populasi dewasa, atau 70 peratus sudah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19.

    Menyentuh mengenai langkah pemulihan jangka pendek, Tengku Zafrul berkata, PPN akan memberi fokus kepada pengurusan pandemik yang efektif, dengan cara memutuskan rangkaian jangkitan, mengurangkan morbiditi dan kematian, di samping mengekalkan sokongan untuk keperluan bukan COVID-19.

    “Bagi meluaskan usaha ujian saringan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf RTK Antigen, serta meluluskan kit ujian saringan COVID-19 kendiri yang boleh didapati di farmasi di seluruh negara.

    “Dalam memastikan kit ujian saringan kendiri ini mudah didapati, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia dan KKM telah menetapkan harga siling di bawah RM20.

    “Kedua-dua kementerian akan melihat cara untuk menurunkan lagi harga ini,” katanya lagi.

  • Risiko jangkitan Covid-19 penentu pembukaan sektor PKS

    Risiko jangkitan Covid-19 penentu pembukaan sektor PKS

    Oleh:Bernama

    PEMBUKAAN sesuatu sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu ditentukan berdasarkan risiko jangkitan COVID-19 dalam sektor masing-masing.

    Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia perlu dinilai berdasarkan sains dan data, bagaimanapun analisis risiko berdasarkan sektor semata-mata mungkin menghasilkan keputusan yang kurang konsisten.

    Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout Menteri Kewangan di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak Program Perumahan Rakyat Hiliran Ampang di sini hari ini.

    Dalam program usaha sama antara Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) dan Yayasan Sime Darby itu, Tengku Zafrul turut menyampaikan bantuan makanan kepada penggiat seni di Lotus Taman Midah.

    Sementara itu Tengku Zafrul berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka mengumumkan pembukaan sektor perniagaan termasuk PKS selepas meneliti perkara itu minggu depan.

    Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang antara lain membincangkan mengenai keperluan sektor perniagaan dibuka semula dengan prosedur operasi standard yang ketat.- BERNAMA

  • Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN- Zafrul

    Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN- Zafrul

    KES bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Dua dan Tiga.

    Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi COVID-19 yang disesuaikan untuk kategori 3, 4 dan 5.

    “Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu COVID-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

    “Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-64.

    Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi membantu mengurangkan kes bergejala serius.

    Pemerhatian ini, katanya selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

    Beliau berkata selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan ke Fasa Dua dan Fasa Tiga, Perlis, Sarawak dan Labuan dilihat memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke Fasa Tiga.

    “Perlis sudahpun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa Tiga, manakala Sarawak telahpun mencapai kadar vaksinasi 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa Empat untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 di Sarawak melebihi 300 sehari, tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

    Menurutnya situasi di Labuan merupakan satu kejayaan, kerana walaupun pernah mengalami keadaan ‘tenat’ dengan penularan tak terkawal, namun hasil gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes baharu serta kes di ICU jatuh dengan ketara.

    “Selaras dengan pengalaman Sarawak, Labuan juga menunjukkan penurunan kes baru secara keseluruhan dan kejatuhan ketara kes di ICU yang sangat rendah seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk,” katanya.- BERNAMA

  • Tengku Zafrul seru ketepi perbalahan politik, utamakan nyawa rakyat

    Tengku Zafrul seru ketepi perbalahan politik, utamakan nyawa rakyat

    SEMUA semua pihak perlu mengenepikan perbezaan dan bersatu dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ketika penularan varian wabak itu lebih ganas ketika ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan, nyawa rakyat harus diutamakan berbanding perbalahan politik yang tiada kesudahan.

    Menurut beliau, rakyat Maaysia umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.

    “Pada saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang.

    “Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat tersebut, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini?,” tanya beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, Zafrul berkata jangkitan Covid-19 kini semakin parah bukan sahaja di Malaysia malah di negara yang sebelum ini berjaya mengawal pandemik ini.

    “Banyak negara, termasuk Malaysia, yang tahun lalu telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, hari ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 akibat munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda,” katanya.

    Sehubungan itu beliau memberi penekanan agar mementingkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin dengan penyertaan pihak pembangkang dan pakar.

    “Atas semangat kesepakatan inilah saya telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil dari Pakatan Harapan dan Warisan, termasuklah parti Pejuang. Malangnya, parti Pejuang sudahpun menolak undangan tersebut secara rasmi.

    “Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat,” ujarnya.

    Sementara itu, Zafrul berkata usaha mengenepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna semua dasar dikemukakan kerajaan harus dipersetujui sebaliknya setiap pihak harus tahu garis pemisah untuk hentikan percanggahan.

    “Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan,” katanya.

    PPN merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.