Tag: Tengku Zafrul Abdul Aziz

  • Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    TAN Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

    Muhyiddin, Tengku Zafrul dan KJ dijangka dipanggil SPRM.

    Siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

    Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

    Laporan portal berita The Vibes yang memetik blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

    “Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

    “Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya.

    Sementara itu, Berita Harian menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

    Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

    Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

  • Dana RM600b: Kenapa Anwar tak tanya Tengku Zafrul?

    Dana RM600b: Kenapa Anwar tak tanya Tengku Zafrul?

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan tentang dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Hal ini kerana bekas Menteri Kewangan itu mengetahui segala urusan perbelanjaan dan pelbagai pakej dilaksanakan kerajaan dalam tempoh masa tersebut.

    Menurut Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, gabungan itu sekali lagi menafikan penyelewengan seperti mana didakwa oleh Anwar.

    PN juga tegas beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis atau pihak berwajib lain demi memastikan nama baik gabungan itu dibersihkan daripada tuduhan jahat tersebut.

    “Saya patut mengingatkan media dan juga kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika anda mahu mengetahui kebenaran tentang isu ini beliau boleh bertanya kepada menterinya, Tengku Zafrul.

    “Beliau adalah sebahagian daripada Kabinet, beliau bertanggungjawab dalam tempoh tersebut terhadap pakej yang diisukan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan Anwar mengaitkan penyelewangan dana berjumlah RM600 bilion di zaman pemerintahan kerajaan PN.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang menyifatkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu cuba bermain politik persepsi dengan memburukkan imej PN pada minggu pertama pentadbiran beliau.

    Beliau menegaskan, PN terbuka untuk disiasat sama ada berkaitan isu RM600 bilion termasuk dana pilihan raya gabungan itu kononnya dari syarikat judi.

    “Laporan polis yang kami buat hari ini menunjukkan kami tiada apa untuk diselindung, untuk pihak berkuasa menyiasat.

    “Perikatan Nasional mengambil serius tohmahan dan fitnah ini dan kami berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah saya buat tadi,” katanya lagi.

  • Tidak cadang tambat ringgit, undang risiko ekonomi- Zafrul

    Tidak cadang tambat ringgit, undang risiko ekonomi- Zafrul

    KERAJAAN tidak bercadang untuk menambat ringgit memandangkan langkah itu akan mengundang risiko kepada ekonomi negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Memetik laporan Astro Awani, beliau menjelaskan, langkah menambat ringgit akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi memandangkan kadar faedah negara perlu mencerminkan dasar monetari negara mata wang yang ditambat.

    “Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

    “Jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS.

    “Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal.

    “Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd.

    Sehingga kini, Rizab Persekutuan AS telah meningkatkan 225 mata asas kadar faedahnya dan ia dijangka akan menaikkan lagi 75 mata asas hingga 100 mata asas hari ini.

  • Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    CADANGAN pemberian moratorium pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergantung kepada pihak bank.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berhasil.

    Menurutnya, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.

    Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.

    “Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya sebagaimana laporan Free Malaysia Today.

    Tambah Tengku Zafrul, setakat ini ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh hasil daripada peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik.

    Oleh itu katanya, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mungkin bukan penyelesaian terbaik buat masa ini,

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak termasuk kenaikan kadar OPR.

  • OPR masih akomodatif, lebih rendah berbanding sebelum wabak – Tengku Zafrul

    OPR masih akomodatif, lebih rendah berbanding sebelum wabak – Tengku Zafrul

    KADAR dasar semalaman (OPR) masih lebih rendah berbanding sebelum wabak Covid-19 melanda pada 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    “OPR kekal akomodatif. (Kadarnya) meningkat, tetapi masih lebih rendah daripada (tempoh) pra-wabak,” kata Tengku Zafrul dalam laporan Free Malaysia Today hari ini.

    Beliau menjawab kritikan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng semalam terhadap Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang mendakwanya tidak berkesan, memetik kenaikan berterusan harga barangan.

    Lim, yang juga pengerusi DAP, bertanya sama ada Bank Negara (BNM) akan menaikkan OPR jika inflasi terkawal.

    Pada 8 Sept, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut oleh bank pusat itu.

    Tengku Zafrul dalam laporan itu berkata, kadar inflasi berada pada 2.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

    “Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan mana-mana negara lain di rantau ini, apatah lagi di pasaran maju,” katanya.

    Beliau juga berkata, peningkatan harga barangan wajar berlaku apabila ekonomi berkembang, disebabkan permintaan yang lebih tinggi dan “terpendam”.

    “Tidak patut terlalu fokus pada agenda tertentu dengan memilih satu angka tanpa mengira konteks,” katanya.

  • Ringgit merudum, Anwar bidas Tengku Zafrul

    Ringgit merudum, Anwar bidas Tengku Zafrul

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai bukan menteri kewangan yang bertanggungjawab, Malaysiakini dalam laporannya hari ini.

    “Kita pernah melalui krisis ekonomi yang besar (pada 1997). Serangan di Thailand ke atas baht, merudum ekonomi Thailand. Disambung rupiah di Indonesia, merudum Indonesia. Kemudian won di Korea dan kita mendapat tempias yang dahsyat.

    “Apa kita lakukan? Kita adakan mesyuarat perbincangan langkah-langkah setiap hari dan rakyat dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil dan langkah-langkah yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.

    “Hari ini, seperti saya sebut, merudum ringgit dalam keadaan ekonomi Asia tidak merudum kita merudum dan tidak ada maklumat (daripada menteri kewangan),” katanya mengikut laporan Malaysiakini itu.

    Anwar berkata demikian di perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” pertama parti itu di Taman Melawati, Kuala Lumpur semalam yang berlangsung dari lima petang hingga tengah malam.

    Acara itu merupakan siri perhimpunan mega di seluruh negara.

    Anwar mengkritik Zafrul sebagai kekurangan jawapan yang boleh dipercayai.

    “Di Parlimen, saya malas untuk bertanya banyak soalan kepada Zafrul kerana saya tidak fikir jawapan itu jawapan yang sepatutnya disampaikan oleh mana-mana menteri kewangan yang bertanggungjawab.

    “Bila kita cakap soal bank, rakyat susah peniaga-peniaga kecil susah. Dia jawab mempertahankan bank bukan mempertahankan rakyat di bawah.

    “Itu pun ada yang orang masih berkata Yang Berhormat! Yang Berhormat!” tambah Anwar, melakonkan seseorang yang bergegas untuk mencium tangan menteri kewangan.

    “Menyampah betul. Ini yang saya sebut bangang ini. Bila sebut bangang, (kata) kasar, apa dia kasar?

    “Kamu ambil duit rakyat, Kamu curi duit 1MDB, sebut sahaja masalah Mara curi, Felda curi lembu (NFC) pun curi,” kata Anwar yang merupakan bekas menteri kewangan pada tahun 90-an.

    Ringgit Malaysia (RM) jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melepasi paras psikologi RM4.50 pada 6 Sept.

    Ini adalah kali pertama paras RM4.50 ditembusi sejak Januari 1998, beberapa bulan selepas bermulanya Krisis Kewangan Asia.

    Ringgit kehilangan sembilan peratus nilainya jika dibandingkan dengan dolar AS dalam tempoh setahun.

    Sikap berdiam diri perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Zafrul berhubung isu itu dikecam oleh pembangkang.

    Isu ekonomi

    Menyentuh mengenai keadaan ekonomi semasa, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, awal malam tadi, menegaskan apabila Bank Negara menaikkan kadar faedah akibat kehilangan pelabur, rakyat yang menjadi mangsa.

    “Rakyat biasa macam saudara-saudari, walaupun saudara-saudari tak tukar duit dalam dolar, walaupun tiada simpanan di luar negara, rakyat biasa menjadi mangsa dengan dua cara, melalui bayaran faedah yang tinggi dan kos sara hidup naik,” katanya.

    “Kalau kita ada lima anak, kereta nak kena bayar, minyak nak kena bayar, rumah nak kena bayar, selama ini pun hidup dengan hutang, tambahan bayaran faedah bulan-bulan itu kita kena hutang kredit kad silap-silap kita hutang dengan along,” katanya.

    Dia juga menyindir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “blur”.

    “Jadi, nak marah pun tak sampai hati. UMNO pun marah dia, PAS pun marah dia, kita pula marah dia. Tapi itu yang menjadi masalah sekarang.

    “Kita berhadapan dalam keadaan rakyat terpaksa tanggung kegagalan terhadap pengurusan kerajaan. Bukan sahaja gagal, tapi kita punya ruang untuk kita bertindak itu makin nipis,” katanya.

    Demikian katanya ketika merujuk kepada ruang fiskal negara yang semakin menipis.

    “Saya sebut semua ini supaya rakyat tahu bahawa semasa kita memasuki pilihan raya, walaupun Najib (Razak), Rosmah (Mansor) sudah (dihukum) penjara, Zahid (Hamidi)… terpulang kepadanya, sama ada dia masuk atau tidak…

    “Ismail Sabri, walaupun muka dia kesian, kita kena ingat kita nak tukar kerajaan, bukan sebab nak Anwar jadi PM atau nak bagi jawatan orang kita sendiri dalam kuasa.

    “Kami mahu menukar kerajaan kerana kerosakan ini, jika kami tidak memperbaikinya sekarang, kami akan mewarisi masalah itu, yang akan menjadi lebih besar dan lebih besar dalam tempoh lima hingga enam tahun,” kata Rafizi.

  • Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    BAJET 2023, yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober, dilapor akan diawalkan iaitu pada 7 Oktober.

    Memetik laporan The Star, perubahan tarikh itu menjadikan tiga minggu lebih awal dari tarikh yang telah disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini.

    Laporan yang ditulis oleh penasihat Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai menyebut, keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

    “Pemimpin kanan Barisan Nasional, dalam reaksi kepada berita itu berkata, Parlimen mungkin akan dibubarkan sejurus selepas Bajet dibentangkan,” menurut laporan itu lagi.

    Wong menulis, susulan arahan Kabinet, langkah seterusnya ialah untuk memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 28 hari untuk memaklumkan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai tarikh baharu itu.

    Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan perkara ini, memaklumkan, perkara itu berkemungkinan besar akan berlaku.

    “Ada kemungkinan Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober, kata sumber itu.

    Pada 7 Ogos lalu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, tiada perubahan berkenaan Bajet 2023 seperti yang digembar-gemburkan.

    “Itu khabar angin sahaja, pada pengetahuan saya masih lagi sama seperti apa yang ada dalam takwim Parlimen pada 28 Oktober,” katanya lagi.

  • Muhyiddin terima laporan kewangan negara atas kapasiti Pengerusi MPN

    Muhyiddin terima laporan kewangan negara atas kapasiti Pengerusi MPN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan berkaitan kedudukan kewangan negara atas dasar kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, laporan yang sama turut diberikan kepada menteri-menteri Kabinet tanpa mengira parti.

    Menurut beliau, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.

    “Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam. Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.

    “Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Ketika berucap pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi malam kelmarin, Muhyiddin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    Muhyiddin turut menyatakan laporan tersebut dikemukakan kepada beliau oleh Tengku Zafrul dan beliau akan ‘membocorkan’ kedudukan kewangan negara yang sebenar satu hari ini.

    Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong dilaporkan membuat laporan polis terhadap ucapan Muhyiddin itu.

  • Portal bantuanbanjir.com mudahkan mangsa dapat maklumat

    Portal bantuanbanjir.com mudahkan mangsa dapat maklumat

    KEMENTERIAN Kewangan membangunkan portal bantuanbanjir.com yang menghimpunkan pelbagai pautan di bawah satu laman sesawang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan banjir.

    Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, senarai penuh bantuan kerajaan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain bagi membaiki rumah serta baucar membaiki kenderaan tersedia di bawah portal tersebut.

    Secara keseluruhan, sejumlah RM1.4 bilion telah diperuntukkan bagi mangsa banjir di negara ini, dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terlibat.

    “Semasa saya menyertai pelbagai program bantuan banjir, ramai mangsa yang berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang disalurkan tapi satu perkara yang sering ditanya, bagaimana untuk mendapatkan maklumat bagi memohon bantuan.

    “Memang betul dengan pelbagai agensi terlibat dalam penyaluran bantuan mesti ramai yang hendak tahu bagaimana cara dapatkan bantuan,’’ katanya dalam video berdurasi 1.52 saat mengenai bantuanbanjir.com.

    Katanya, portal berkenaan dilengkapi langkah-langkah memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi penyelaras bantuan. – BERNAMA

  • Ekonomi Malaysia akan kembali pulih tahun depan-Tengku Zafrul

    Ekonomi Malaysia akan kembali pulih tahun depan-Tengku Zafrul

    MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan keyakinan ekonomi Malaysia akan kembali ‘bercahaya’ pada tahun 2022.

    Keyakinan itu katanya, bersandarkan kepada pembukaan ekonomi secara berfasa termasuk yang terkini kebenaran rentas negeri.

    “Saya optimis melihat baru-baru ini pengumuman pembukaan rentas negeri yang akan membantu sektor pelancongan.

    “Ekonomi mula dibuka secara berfasa dengan selamat, kadar vaksinasi juga agak tinggi. Kita sudah mula menjalankan vaksinasi kepada golongan remaja.

    “Jadi, saya optimis pada tahun 2022 negara akan kembali semula. Ia akan menjadi tahun pemulihan untuk Malaysia, InsyaAllah,” katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Tengku Zafrul berkata demikian ditanya sama ada beliau melihat ‘ada cahaya di hujung terowong’ dengan segala cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini.

    Program yang berlangsung kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.