Tag: Tengku Zafrul

  • Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    Tengku Zafrul tegaskan kelulusan projek tebatan banjir ikut peraturan

    MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menegaskan kelulusan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 yang didakwa dibuat selepas Parlimen dibubarkan, dibuat mengikut peraturan sedia. 

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)  kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Syarikat itu juga didakwa telah mendapat kelulusan daripada Tengku Zafrul via surat bertarikh 7 Oktober iaitu hari pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

    Dalam ciapan di twitter hari ini, Tengku Zafrul turut mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat bukti pelanggaran, serta mengemukakan bukti dan tidak menunggu kemenangan di pilihan raya umum untuk mengambil tindakan.

    Sementara itu di Kuala Selangor Tengku Zafrul berkata satu pasukan petugas melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta Kementerian Alam Sekitar Dan Air akan ditubuh bagi mencari penyelesaian isu banjir di Kuala Selangor. 

    Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor berkata isu banjir di Kuala Selangor memerlukan satu pendekatan yang holistik agar ia dapat diatasi dengan berkesan.

    Beliau berkata pada Bajet 2023 yang dibentangkannya bulan lepas, Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmennya bagi mengatasi isu banjir dengan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk projek tebatan banjir.

    “Projek ini sekarang pada fasa penilaian bagi tujuan pelantikan kontraktor, bagaimanapun isu banjir ini juga melibatkan isu penyelenggaran sistem perparitan dan melalui satu kajian oleh badan bebas mendapati sebanyak 30 peratus isu ini berpunca daripada sistem longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah serta tidak diselenggara secara berjadual,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas melawat pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, di sini hari ini.

    Seramai 32 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS itu setakat pagi tadi. – BERNAMA

  • Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    KERAJAAN menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.

    Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

    “Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” katanya.

    Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.

     Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

    Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.

    Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.

    Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

    Beliau berkata RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.

    Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangssan (SK) Paya Dusun, Terengganu serta SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor. – BERNAMA

  • MoF, KKM kaji turunkan harga kit ujian kendiri RT

    MoF, KKM kaji turunkan harga kit ujian kendiri RT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kewangan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19 RTK- Antigen menjelang hujung tahun ini.

    Menteri Kanan Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi membolehkan pengesanan kontak lebih cepat dapat dibuat.

    “Untuk mengembangkan usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf beberapa kit ujian kendiri Covid-19 yang boleh dibeli di farmasi seluruh negara.

    “Selain itu, bagi memastikan kit ujian ini boleh didapati oleh rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah meletakkan harga siling di bawah RM20 untuk satu kit ujian.

    “Kedua-dua kementerian ini sedang mengkaji untuk menurunkan harga kit ujian kendiri menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pembukaan Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya, hari ini.

    Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sedang meningkatkan keupayaan pengesanan kontak menggunakan teknologi dan data mobiliti.

    “Individu yang berpotensi menjadi kontak rapat akan dikenal pasti dan kemudiannya diberi arahan untuk kuarantin kendiri.

    “Bagi yang tiada gejala atau gejala ringan pula diminta untuk kuarantin dan pengawasan di rumah,” katanya lagi.