Tag: telur ayam

  • Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    SEBUAH blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

    Beberapa gambar yang disiarkan di blog “Checkmatebro” turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

    Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

    “Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

    MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

    MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

    Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

    Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

    Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

    Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

    Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

    Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

    Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

  • Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    RIBUAN telur ayam pecah dan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara dekat Rembau, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

    “Ia mengakibatkan lori itu terbalik dan muatan telur dibawanya bertaburan di atas jalan.

    “Pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, kesesakan lalu lintas bagi arah utara berpanjangan dalam tempoh kira-kira dua jam bagi tujuan pembersihan lokasi kemalangan.

  • KPDNHEP, MAFI bincang isu kekurangan bekalan telur ayam

    KPDNHEP, MAFI bincang isu kekurangan bekalan telur ayam

    ISU kekurangan bekalan telur ayam di pasaran akan diselesaikan segera di mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan secara bersama.

    Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, pelbagai rungutan dan kebimbangan diluahkan masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran terutama menjelang Ramadan dan Syawal nanti, lapor Berita Harian.

    Menurut Rosol, jika harga sudah ada tetapi bekalan telur tiada, akan timbul juga masalah. Jadi, ia perlu dipastikan kedua-dua isu ini dapat diselesaikan supaya tidak berbangkit pada masa depan.

    “Kerajaan sedar dan ambil berat dengan mereka yang terbabit seperti pengusaha biskut raya jika masalah ini berlarutan, sedangkan kita memerlukan bekalan telur lebih banyak berbanding biasa.

    “Ia berikutan pertambahan permintaan memandangkan ramai peniaga dan pengusaha menjalankan perniagaan makanan di bulan puasa serta raya, malah rakyat Malaysia menggunakan 30 juta biji telur sehari,” katanya selepas merasmikan stesen minyak 5Petrol Batu Balai, Jerantut Pahang, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Dr King Lim Chub Fui dan Pengerusi Five Petroleum Malaysia, Datuk Juhari Abdul Ghani.

    Menyentuh isu kenaikan harga dedak ayam, Rosol berkata, ia akan meningkatkan harga ayam di pasaran, tetapi kerajaan melakukan kawalan harga dengan menetapkan harga siling RM8.90, selain MAFI membekalkan daging ayam import bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.

    “Saya difahamkan setakat ini 29 permit daging ayam import dikeluarkan MAFI dalam usaha mengimbangkan harga ayam di pasaran,” katanya.

    Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak 2,410 premis diperiksa dengan tiga kes dicatatkan setakat Isnin lalu sepanjang pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

    “Jika terdapat unsur pencatutan harga, kita akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit,” ujar beliau.

  • Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    BEKALAN telur ayam dalam pasaran di seluruh negara akan pulih pada penghujung bulan ini.

    Begitulah jaminan diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negara ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.

    Menurut Rosol, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

    Beliau berkata, kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

    Justeru katanya, jaminannya adalah pada minggu akhir Februari isu itu akan selesai.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

    Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan di mana data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta.