Tag: taska

  • Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    KECEDERAAN seorang kanak-kanak yang dilaporkan digigit dalam kejadian di sebuah taska dekat Putrajaya, adalah selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan pegawai perubatan selepas mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berhubung beberapa kesan gigitan di tangan anaknya ketika dihantar ke taska berkenaan pada 10.26 malam, 5 Januari lalu.

    Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen sah.

    “Pada mulanya kedua-dua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian, namun begitu sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.

    Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.

    A. Asmadi turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tidak menularkan artikel tersebut kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mengganggu siasatan polis. – BERNAMA

  • Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan sebuah taska tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.

    Menerusi satu kenyataan KPWKM berkata, hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Taska 1984.

    “Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan segera dan dalam proses penutupan sementara untuk tujuan menyediakan persekitaran selamat serta meningkatkan kualiti pengasuhan.

    “Dalam isu keselamatan kanak-kanak, kita melalui JKM merujuk Akta Kanak-kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook El Ameerah berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di bahagian telinga, pipi dan tangan.

    Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.

    Namun, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan dalam bilik kosong tanpa alas itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.

    Tanpa mendedahkan nama taska itu, wanita terbabit berikrar akan berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.

    KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM bekerjasama dengan polis bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya dalam kes terbabit.

  • Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    PARA ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan sebanyak RM150 juta itu bertujuan meningkatkan kadar kelahiran, di samping mengurangkan masalah kanak-kanak bantut.

    “Jadi saya rasa masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu bukannya kepada bapa,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.

    Tengku Zafrul berkata bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break (berhenti sementara daripada pekerjaan), kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

    “Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Psikososial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.

    “Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pusat perlindungan seperti P.S The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa,” katanya.

    Kerajaan juga katanya akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta.

    Beliau berkata pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan dirintis menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.

    Sementara itu, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNita MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.

    Bagi terus memperkasakan peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

    “Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” katanya.

    Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.

    Ini katanya, termasuk pembinaan 10 taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan; Limbang, Sarawak dan Pasir Puteh, Kelantan.

    “Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, kerajaan juga bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar,” katanya. – BERNAMA

  • Belum daftar JKM: Libat 677 pusat jagaan, 1,239 taska

    Belum daftar JKM: Libat 677 pusat jagaan, 1,239 taska

    SEBANYAK 677 pusat jagaan kanak-kanak dan 1,239 taman asuhan kanak-kanak (taska) dikenal pasti belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Memetik Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Siti Zailah Yusoff berkata, daripada jumalh itu, kementeriannya menerusi JKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 274 pusat jagaan kanak-kanak.

    Menurutnya, ini setelah premis terbabit didapati melanggar Akta Pusat Jagaan 1993.

    “Setakat ini kita telah keluarkan 39 arahan bertulis, 12 disita, sembilan dikompaun, tiga ditutup sementara 210 lagi dibatalkan pendaftarannya manakala satu lagi premis telah didakwa,” katanya pada sidang Dewan Negara.

    Bagi taska pula, menurutnya, sebanyak 13 taska tidak berdaftar telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun RM38,100 dari 2020 hingga Mei lalu.

    Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,227 pusat jagaan kanak-kanak dan 2,964 taska di seluruh negara telah didaftarkan bawah JKM.

    Siti Zailah menjawab pertanyaan Senator Radzi Ahmad yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pusat jagaan yang tidak berlesen dan tindakan diambil oleh kementerian.

  • Semua Tabika, Taska operasi sepenuhnya Januari 2022

    Semua Tabika, Taska operasi sepenuhnya Januari 2022

    SEMUA Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini 10,301 kelas Tabika dan 544 kelas Taska itu, beroperasi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu ketika ini beroperasi mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak, kerana KEMAS mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

    “Kami menjangkakan awal tahun depan semua tadika dan taska Kemas akan beroperasi sepenuhnya. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia), di Butterworth, malam tadi.

    Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini, dan pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang turut hadir, menerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, agensi atau jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ketika ini, bersedia memberi ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO termasuk Alumni 4B Malaysia, demi membangunkan negara dan kesejahteraan rakyat.

    Katanya, matlamat penting menerusi hasil kerjasama itu ialah untuk mencapai kejayaan untuk semua dan ia boleh dilakukan sama ada menerusi kajian, kerjasama keusahawanan atau sebarang program berkaitan demi kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya, seperti Alumni 4B Malaysia merupakan antara NGO yang mempunyai keahlian yang ramai ketika ini, iaitu sehingga 75,000 ahli dan pertubuhan itu juga sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kesukarelawanan dan sebagainya.

    “Alumni 4B Malaysia ini adalah sebuah alumni NGO yang telah berada di ‘ground’. Oleh itu, mereka boleh tengok macam mana nak bantu, contohnya mungkin mereka dapat salurkan maklumat dan berikan latihan atau khidmat kepada Keluarga Malaysia kita, dengan kerjasama daripada agensi serta jabatan dibawah KPLB,” katanya.

    Beliau berkata, Alumni 4B Malaysia juga merupakan kesinambungan daripada Gerakan Belia 4B, dan ini akan memberi kelebihan kepada pertubuhan itu kerana mereka terdiri daripada dua generasi iaitu muda dan lebih dewasa.

    “Saya berharap lebih banyak NGO seperti ini, akan bersama-sama kerajaan dan menyokong serta mendokong dasar selaras dengan mesej yang dibawa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) iaitu untuk Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

  • Tabika, taska, pusat jagaan harian di negeri Fasa 1,2 PPN dibenar beroperasi – PM

    Tabika, taska, pusat jagaan harian di negeri Fasa 1,2 PPN dibenar beroperasi – PM

    TABIKA, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 Sept.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor.

    “Operator dan pekerja di pusat-pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata berkuat kuasa pada tarikh yang sama, aktiviti kolam memancing juga dibenarkan dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap di negeri Fasa Satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah sama manakala 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama bagi negeri Fasa Dua.

    Turut dibenarkan adalah pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat di negeri Fasa Dua PPN yang berkuat kuasa pada 17 Sept.

    Ismail Sabri berkata selain itu, mesyuarat juga bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN.

     “Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup dibenarkan kepada individu telah lengkap vaksin menerusi tempahan.

    “Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksin dengan seliaan jurulatih atau pengajar dan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang, mengikut mana yang lebih rendah.

    Selain itu, beliau berkata aktiviti ziarah kubur untuk umat Islam dan bukan Islam juga dibenarkan di semua fasa PPN  dengan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

    Turut dibenarkan di semua fasa PPN adalah pengoperasian kapal persiaran dengan semua anak kapal dan penumpang lengkap divaksin dan mematuhi 50 peratus kapasiti.

    Kebenaran terhadap aktiviti sukan, rekreasi, aktiviti kecerdasan, ziarah kubur serta pengoperasian kapal persiaran dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dinyatakan berkenaan juga berkuat kuasa pada 17 Sept. 

    Perdana Menteri turut mengumumkan peralihan ke Fasa Tiga bagi Terengganu berkuat kuasa 17 Sept.

    “Kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Tiga sebelum ini. Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemas kini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya.

    Ismail Sabri berharap rakyat terus patuh pada SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

    “Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini. Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

    “Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup separuh muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Pihak penguat kuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.- BERNAMA