Tag: tarik balik kenyataan

  • Timbalan Speaker arah MP DAP tarik balik kenyataan terhadap Muhyiddin

    Timbalan Speaker arah MP DAP tarik balik kenyataan terhadap Muhyiddin

    TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau pagi ini mengarahkan rakan seperjuangannya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

    Alice Lau

    Lapor Malaysiakini, ini selepas Khoo, yang juga dari parti DAP, mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak kerajaan kepada menantunya, sesuatu yang dinafikan bekas perdana menteri itu.

    “Kita semua satu Malaysia sudah tahu, telah disiarkan dlm suratkhabar bahawa MACC (SPRM) tengah menyiasat anak menantu Pagoh. ini satu dunia (sudah) tahu,” menyiasat menantu Pagoh. Seluruh dunia tahu perkara ini.

    “Mengikut laporan suratkhabar bahawa menurut sumber berita, anak menantu Pagoh (sedang) disiasat oleh MACC,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2023.

    Khoo membuat dakwaan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mencabarnya untuk mengulangi sebahagian daripada ucapannya, di mana naib pengerusi DAP Melaka itu menyindir bahawa seorang bekas pemimpin negara telah memberikan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada anak menantunya.

    Kenyataan Khoo itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, yang menggesanya supaya menariknya balik dan menuntut timbalan speaker yang mempengerusikan sesi pagi ini membuat keputusan.

    Susulan itu, Lau meminta Khoo memperjelaskan kenyataannya dengan menyatakan akhbar mana yang dipetiknya serta tarikh laporan itu disiarkan.

    Bagaimanapun, selepas RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) tampil untuk membantu Khoo dengan membekalkan fakta, yang menurutnya dipetik daripada laporan New Straits Times bertarikh 9 Februari, Awang Hashim (PN-Pendang) segera mencelah dengan mengatakan bahawa Muhyiddin telah pun menafikan tuduhan itu.

    Kekecohan timbul sekali lagi, sebelum Lau meminta Muhyiddin memberikan penjelasannya dan bekas perdana menteri itu mengulangi penafiannya.

    “Saya dah sebut hari itu (Ini) pembohongan, fitnah, tak betul, tuduhan berat nak jatuhkan saya dan maruah keluarga saya.

    “Hanya kerana YB (kamu) baca suratkhabar… surat kabar sekarang ini pun macam-macam sangkaan buruk, fake news (berita palsu).

    “Saya nak jelaskan di sini bahawa itu tidak benar. Bahawa keputusan jawatankuasa pemilihan secara tender terbuka, bukan syarikat milik anak menantu saya,” katanya.

    Muhyiddin seterusnya turut mencabar Khoo untuk mengulangi tuduhannya di luar Dewan Rakyat supaya dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli parlimen Kota Melaka itu.

    Susulan penjelasan Muhyiddin, Lau, yang merupakan ahli Parlimen DAP bagi Lanang, kemudian mengarahkan Khoo menarik balik kenyataannya, memetik Peraturan Tetap Dewan Rakyat 36(6) yang menetapkan bahawa tiada ahli Parlimen boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada mana-mana ahli lain.

    Khoo pada mulanya keberatan untuk menarik balik kenyataan itu tetapi hanya mahu menyusun semula ayat-ayatnya, tetapi Lau berkeras mahu dia menarik balik kenyataan tersebut.

    “YB Kota Melaka, tarik balik dulu baru reframe,” katanya.

  • Kes saman fitnah Firdaus Wong:Arunakirinathan mohon maaf, tarik balik kenyataan

    Kes saman fitnah Firdaus Wong:Arunakirinathan mohon maaf, tarik balik kenyataan

    AKTIVIS, T. Arunakirinathan memohon maaf dan setuju menyelesaikan secara baik kes saman fitnah yang difailkan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung terhadapnya.

    Menurut Firdaus Wong, kes tersebut diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu, lapor Sinar Harian.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya, pendakwah itu berkata, penghakiman persetujuan dicapai ketika prosiding diadakan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

    Menurutnya, antara terma persetujuan bagi penyelesaian ialah Arunakirinathan selaku defendan memohon maaf secara bertulis dan menerusi rakaman video di FB kepada Firdaus Wong selaku plaintif.

    “Permohonan maaf tersebut diperincikan seperti berikut, ‘bahawa saya T Arunakirinathan adalah pemilik akaun FB Arunakiri Nathan dan/atau Arunakiiri Nathan II, ingin memohon maaf kepada Firdaus Wong Wai Hung kerana telah salah dan berniat jahat, membuat penyataan-penyataan fitnah kepada beliau pada 18 Disember 2018 dan 1 Februari 2019, dan melalui video secara langsung bertarikh 18 Disember 2018.

    “Ia adalah kenyataan fitnah, saya (Arunakirinathan) dengan ini menarik balik segala pernyataan fitnah yang dikongsikan di mana-mana media sosial,” katanya.

    Firdaus Wong berkata, Arunakirinathan perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah yang telah dilemparkan.

    Defendan dikehendaki memuat naik pengakuan itu serta merta dari tarikh penerimaan.

    Selain itu, defendan perlu membayar RM8,000 kepada Firdaus Wong dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman persetujuan sebagai penyelesaian penuh.

    Ketika dihubungi Sinar Harian, peguam, Syahidah Hanum Mohd. Ghazali yang mewakili Firdaus Wong, mengesahkan perkara tersebut.

    Dalam kes ini, Arunakirinathan diwakili peguam M. Manoharan.

    Menerusi kenyataan dalam Facebook, Firdaus Wong turut memanjatkan kesyukuran kerana kes saman fitnah itu telah diselesaikan.

    “Syukur Alhamdulilah, atas doa sahabat semua, semoga dia dikurniakan hidayah oleh Allah,” katanya.

    Pada 29 Jun 2019, Firdaus Wong memfailkan saman terhadap Arunakirinathan kerana memuat naik kenyataan dan video memfitnah beliau sebagai pengganas, menghina agama lain serta mengubah kitab agama lain.