Tag: Tan Sri Muhyiddin Yassin

  • Bajet 2023 sukar dilaksana, PN tawar lebih baik jika menang PRU15-Muhyiddin

    Bajet 2023 sukar dilaksana, PN tawar lebih baik jika menang PRU15-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kemampuan kerajaan dalam melaksanakan Bajet 2023 kerana melibatkan peruntukan yang besar.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, bajet itu dilihat sukar direalisasikan dalam keadaan pendapatan kerajaan dan ekonomi semakin merosot.

    Sedangkan kata bekas Perdana Menteri itu, jumlah peruntukan bajet berkenaan dan perbelanjaan kerajaan semakin bertambah.

    Beliau tidak mahu bajet tersebut sekadar menjadi ‘halwa telinga’ dan gula-gula untuk pilihan raya umum (PRU).

    “Saya kurang pasti keupayaan kerajaan untuk mengurus bejet berkenaan kerana yang tinggal untuk pembangunan jauh lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Saya sendiri masih kurang faham untuk bajet kali ini dan akan meneliti dengan lebih mendalam sama ada yang dijanjikan boleh dilaksanakan dan bukannya bajet pilihan raya sahaja,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik Tangkak, hari ini.

    Bajet 2023 yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjumlah RM372.3 bilion meningkat berbanding Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion.

    Muhyiddin beranggapan, susah untuk bajet berkenaan direalisasikan dalam masa setahun dan mungkin mampu diterjemahkan satu atau dua bulan sahaja tetapi tidak pasti sama ada kerajaan mempunyai peruntukan untuk tempoh setahun.

    “Saya akan teliti dengan lebih mendalam kandungan (bajet) itu samada betul ke apa yang dijanjikan itu boleh dilaksanakan ataupun besok cakap tapi tak boleh dilaksanakan.

    “Saya tidak fikir itu suatu yang wajar, saya tak nak kata ini belanjawan pilihan raya ataupun tidak kerana telah dibentang, sekarang mungkin orang kata belanjawan pilihan raya,” ujar beliau.

    Muhyiddin berkata, PN harap dapat memberi tawaran yang lebih baik untuk rakyat dalam bajet tersebut sekiranya menang PRU-15.

    “Sekiranya PN mentadbir negara dan menang pilihan raya, kita bukan setakat nak melaksanakan perkara itu, kalau ada perkara yang perlu kita perbaiki dan perlu ditambah baik daripada segi strategi, pengurusan kewangannya dan tumpuan fokus kumpulan kumpulan tertentu, kita akan laksana jauh lebih baik daripada itu.

    “Apa yang agak kurang pasti ialah tentang keupayaan sebenar kerajaan untuk mengurus belanjawan itu kerana sebahagian besar peruntukan itu ialah untuk membayar gaji ‘operating expenditure’ dan berbaki lagi untuk pembangunan yang agak jauh lebih kecil,” katanya.

  • Ucapan tahun baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Ucapan tahun baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin

    TAHUN 2021 penuh cabaran telah melabuhkan tirainya.

    Kini kita melangkah masuk ke tahun 2022 dengan harapan matahari kembali bersinar cerah ke atas kehidupan kita semua selepas pelbagai cabaran dihadapi pada tahun-tahun sebelum ini.

    Itulah antara doa dan pengharapan yang diharapkan untuk seluruh rakyat Malaysia oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Berikut adalah ucapan tahun baru bekas Perdana Menteri itu buat rakyat Malaysia.

    السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

    Apa khabar semua? Saya mendoakan agar anda berada dalam keadaan sihat walafiat.

    Saya ingin memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita semua sekali lagi dapat melangkah ke Tahun Baharu 2022.

    Setiap kali memasuki tahun baharu, kita akan memandang sejenak ke belakang bagi merenung dan menilai apa yang sudah kita lakukan pada tahun lalu.

    Adakah kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai atau banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dari sini, kita berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada atau meningkatkan lagi kejayaan yang sudah dikecapi.

    Tahun 2021 meninggalkan kita dengan banyak coretan peristiwa yang pastinya menjadi kenangan kepada kita semua.

    Kita masih lagi diuji dengan pandemik Covid-19. Ia melingkari kehidupan seharian kita malah sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.

    Pandemik Covid-19 juga memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan kita sehingga sekarang. Setiap orang merasa kesannya. Yang membezakan hanyalah kecil atau besar sahaja kesan tersebut.

    Bagaimanapun berkat kerja keras, perancangan yang teliti dan pelan tindakan komprenhensif Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan saya sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan khususnya dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan dengan cekap dan sehingga kini sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

    Hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini, hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya. Rakyat sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Aktiviti sosial dan ekonomi kembali rancak dan rakyat seperti sudah kembali kepada kehidupan sebelum pandemik.

    Ketika negara sedang menuju pemulihan pasca pandemik, negara sekali lagi diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri minggu lalu.

    Saya merasa amat sedih dengan bencana ini kerana banyak harta benda yang musnah dan nyawa terkorban.

    Kejadian banjir besar ini juga sedikit sebanyak merencatkan pelan pemulihan ekonomi negara yang telah berada pada landasan yang betul sebagaimana dirancang Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Bagaimanapun kita mesti reda dengan ujian dan dugaan besar ini. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Bencana ini telah menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

    Setiap rakyat Malaysia menunjukkan sikap solidariti dan kebersamaan dengan saling membantu antara satu sama lain.

    Saya kagum dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang menjadi ‘sukarelawan dan petugas barisan hadapan’ secara sukarela demi membantu mangsa banjir. Mereka tampil menghulur bantuan dengan bermacam cara. Ada yang turun ke lokasi mengerah tenaga dan kudrat, ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tidak kurang yang mengutus doa untuk keselamatan serta kesejahteraan kepada mangsa banjir. Syabas rakyat Malaysia!

    Dengan pandemik Covid-19 yang berleluasa terutama penemuan varian lebih bahaya seperti Omicron serta banjir yang masih melanda, tahun 2022 sudah pasti menjadi tahun yang sukar dan mencabar bagi kita semua.

    Bagaimanapun saya percaya, cabaran ini dapat kita tangani dengan baik jika kita terus kekal bersatu, fokus dan tidak lalai dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita serta sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan cabaran luar jangka.

    Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi, diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam tahun baharu ini.

    Saya yakin Tahun Baharu 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik, sejahtera dan makmur dari tahun-tahun sebelumnya untuk Malaysia, insya-Allah.

    Selamat Menyambut Tahun Baharu 2022.

    Happy New Year Malaysia!

  • Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAJET 2022 adalah satu bukti jelas yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak tidak akan tertinggal sama ada individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

    “Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    “Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika hadir Bagi membentangkan bajet 2022 di Parlimen, semalam. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Beliau yakin, bajet itu akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dijalankan dengan berpaksikan tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

    Bajet itu katanya, akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam serta struktur ekonomi.

    “Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

    Bajet 2022

    Muhyiddin berkata, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

    Justeru belia berharap, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk daripada segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

    Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula katanya, menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

    “Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

    “Saya menyeru semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

  • Jangan alpa, virus ada dalam komuniti – Muhyiddin

    Jangan alpa, virus ada dalam komuniti – Muhyiddin

    ORANG ramai diingatkan supaya tidak sesekali leka dan alpa sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana virus COVID-19 masih berada dalam komuniti tatkala kerajaan telah membenarkan pergerakan rentas negeri.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu mengamalkan kawalan kendiri dengan ketat termasuk memakai pelitup muka, mengelakkan bersentuhan, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

    Jika berkemampuan, kata beliau, lakukan ujian kendiri Covid-19 dengan kerap memandangkan kit yang dijual dengan harga berpatutan kini di farmasi dan secara dalam talian.

    “Sering saya tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan ‘cahaya di hujung terowong’ dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia.

    “Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat serta kerajaan dan pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

    “Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda dipermudah dan semoga anda serta keluarga sentiasa dilindungi,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pimpinannya sebelum ini mula memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi pada Julai 2021 dan seawal Jun 2020 ketika lengkung jangkitan mula melandai.

    Kata beliau, sememangnya tanggungjawab memutuskan rangkaian jangkitan terletak di bahu kita bersama dengan penilaian risiko kendiri amat penting untuk memastikan penularan virus dapat dikawal.

    Muhyiddin turut menyambut baik saranan kerajaan supaya meningkatkan penilaian kendiri dengan lima langkah TRIIS iaitu Test, Report, Inform, Isolate dan Seek.

    “Saya memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini. Lebih ramai yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung daripada dijangkiti Covid-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang.

    “Ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka serta kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik.

    “Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul.

    “Selain usaha-usaha kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan Covid-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus Covid-19,” jelas beliau.

  • Parti komponen selesaikan isu pembahagian kerusi PRU-15

    Parti komponen selesaikan isu pembahagian kerusi PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI-PARTI komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan petang tadi dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembahagian kerusi tersebut melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

    “Majlis Tertinggi Parti PN juga telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November ini dan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mesyuarat tersebut turut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

    Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pengurusan pandemik Covid-19, situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa.

    Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, Majlis Tertinggi PN juga telah mencapai keputusan secara konsensus mengenai pendirian parti PN berkenaan beberapa isu.

    Katanya, ini melibatkan ketetapan pendirian parti untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

    PN katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan MOU berkenaan.

    Saiful Adli Mohd. Arshad

    “Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi PN bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” ujarnya.

    Bekas Perdana Menteri berkata, turut dibincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda selaras dengan pelaksanaan undi 18 tahun dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

    Menurutnya, PN sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

    Selain itu katanya, diputuskan juga Saiful Adli Mohd. Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa mulai esok.

    Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pernah beramal sebagai peguam selama 21 tahun sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Muhyiddin ketika Ahli Parlimen Pagoh menjadi Perdana Menteri.

  • Ucapan Hari Kebangsaan Ke-64 Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Ucapan Hari Kebangsaan Ke-64 Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Malaysia memperingati sejarah lampau, terutama perjuangan pengasas-pengasas negara ini untuk dijadikan semangat menempuh cabaran lebih hebat terutama pandemik Covid-19.

    Sempena Hari Kebangsaan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia.

    “Hari yang amat penting dalam sejarah negara kita. Saya mendoakan semoga Malaysia dirahmati, manakala rakyatnya pula menjadi satu bangsa yang berjaya dalam sebuah negara yang lebih maju.

    “Hari di waktu mana kita meraikan sambutan kemerdekaan negara kita daripada penjajah,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2021 yang disiarkan menerusi Facebook beliau malam tadi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengakhiri perutusan dengan sepotong doa:

    “Ya Allah kau rahmatilah negara ini, kau berikan kami kekuatan untuk terus maju sebagai satu bangsa yang merdeka.”

  • Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat, harap kerajaan baharu teruskan proses pemulihan

    Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat, harap kerajaan baharu teruskan proses pemulihan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan tetap mengambil berat masalah rakyat walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

    Ahl Parlimen Pagoh itu berkata, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sebelum ini.

    “Hakikatnya, saya bukan lagi Perdana Menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.

    Muhyiddin sedar ramai yang meminta ‘Abah’ iaitu gelaran diberikan rakyat kepadanya supaya kekal sebagai Perdana Menteri dan pekara itu amat menyentuh hatinya namun perkara tersebut tidak dapat dielakkan.

    Katanya, beliau berharap dapat berbuat demikian tetapi di bawah demokrasi berparlimen lantikan seperti jawatan Perdana Menteri bersandarkan peruntukan dalam Perlembagaan.

    Sebagai rakyat yang diberikan amanah, Muhyiddin berkata, beliau melakukan semua ini mengikut yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat maka wajib baginya meletakkan jawatan.

    Beliau menjelaskan tindakan itu diambil disebabkan penarikan sokongan Ahli Parlimen terutamanya daripada parti UMNO terhadap beliau.

    “Siapakah mereka itu…bukan saya nak menidakkan mereka sebagai ahli Parlimen, tapi soal politik jika mereka fikir nasib rakyat ketika ini ramai terkesan dan jadi miskin, bukan masa berpolitik tapi tumpuan untuk selamatkan nyawa. Bantu rakyat, jangan berpolitik kita dah muak. Kalaulah mereka mengambil kira perkara itu mereka tidak akan bertindak seperti ini,” katanya.

    Ditanya adakah beliau rasa telah dikhianati, Muhyiddin berkata, apa yang berlaku sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri bukanlah pengkhianatan terhadapnya tetapi kepada negara dan rakyat yang sedang menderita.

    “Fikir-fikirkanlah, jika mereka ada perasaan mereka tidak akan raikan pasal tumbangkan saya sedangkan kita sedang berusaha melaksanakan

    amal ibadah, buat sesuatu menyabung nyawa, jaga dan pelihara nyawa dan kehidupan, adakah itu tidak mulia.

    “Ada petanda saya fikir dilakukan pihak tertentu untuk tujuan tertentu, saya tak nak buat kenyataan yang boleh diheret ke mahkamah. Ini fakta politik saya akui mungkin bawa kesan begitu rupa, mungkin cita-cita mereka berhasil, tapi tidak mengapa kita terima perkara (yang telah) ditakdirkan,” katanya.

    Menurutnya, jika dinilai prestasi PN, gabungan itu tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik Covid-19.

    “Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan Covid-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.

    Muhyiddin lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik.

    “Sudah tentu ada yang bertanya apa perasaan saya, sama ada saya sedih. Saya fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi jika masih menjadi Perdana Menteri, saya ingin selesaikan semua perkara sehingga penghujungnya untuk melihat apa yang kita mulakan, dapat diselesaikan sepenuhnya walaupun dengan penat lelah, keletihan atau penuh berhati-hati, pasukan saya dan penjawat awam telah bekerja keras,” katanya.

    Muhyiddin berharap dengan ketiadaan beliau dan barisan Kabinet, pegawai kerajaan yang ada dapat terus menjalankan tugas membantu rakyat memerangi Covid-19 yang kini sudah menampakkan kelegaan dalam penularan pandemik itu.

    “Saya sudah berjumpa dengan pegawai atasan penjawat awam, tentera, polis, Peguam Negara dan membincangkan perkara setelah saya bukan lagi Perdana Menteri. Mereka berjanji akan terus membantu sehingga selesai kes Covid-19. Saya berharap ia terus menjadi tumpuan dan jangan sesekali diabaikan.

    “Saya rasa tanggungjawab bila baca mengenai kematian, bunuh diri. Pada akhirnya saya rasa bertanggungjawab dan saya tidak suka perkara seperti itu diletakkan di atas bahu saya, tetapi sebagai Perdana Menteri saya perlu menanggungnya,” katanya.

    Beliau berharap kerajaan baharu akan meneruskan proses pemulihan terutamanya pelan pemulihan yang ada walaupun ia akan mengambil masa agak lama.

    Muhyiddin turut menitipkan nasihat agar kerajaan baharu terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat kerana masalah Covid-19 masih belum selesai.

    ‘Saya minta semua bertenang, sistem yang kita bina dalam negara terjamin, jaga hubungan baik dan usaha bantu rakyat…peruntukan kerajaan dalam bajet mesti dibelanjakan, rakyat jangan rasa terbiar, harap pimpinan kerajaan baharu tidak akan mengabaikan mereka, yang penting usaha yang dibuat diteruskan dan langkah lain harus dilakukan,” katanya.

    Beliau berdoa dan mengharapkan agar Malaysia dapat bangkit semula dengan pertumbuhan yang pantas agar rakyat dapat hidup seperti biasa.

  • Muhyiddin tekad terus pimpin PN hadapi PRU-15

    Muhyiddin tekad terus pimpin PN hadapi PRU-15

    TAN Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semalam tidak bercadang untuk berundur daripada politik dan bertekad akan terus memimpin Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Muhyiddin berkata, beliau mempunyai ruang dan masa yang banyak selepas ini untuk menumpukan segala perhatian kepada perjuangan parti bersama rakan dalam perikatan tersebut.

    Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa PN sudah lama membuat persiapan untuk mengahadapi PRU yang datang.

    “Kita akan terus menggerakkan jentera dan susun strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

    “Saya percaya rakyat sudah melihat pencapaian kerajaan PN sejak setahun lebih kita perintah. Tanpa manifesto pun mereka akan selesa dengan PN.

    “Apabila tiba PRU nanti kita serah kepada rakyat untuk menentukannya. Yang pasti saya ada banyak masa sekarang dan banyak pengalaman mengetuai jentera pilihan raya semasa dalam Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri semalam disifatkan oleh Muhyiddin sebagai penamatan kepada satu episod dan permulaan kepada episod baharu.

    Pengerusi PN itu berkata, keyakinannya terhadap perikatan tersebut untuk menghadapi PRU akan datang adalah berdasarkan pendirian dan semangat pemimpin serta akar umbi dalam parti yang mahu beliau meneruskan usaha ini.

    “Bila dengar saya nak berhenti tempoh hari, semua pemimpin parti memberi semangat dan bertekad untuk terus berjuang bersama saya dalam apa juga keadaan. Mereka sedia berenang atau tenggelam sama-sama.

    “Dengan pendirian ini dan semangat perjuangan ditunjukkan pemimpin PN, saya percaya kita ada kekuatan,” katanya.

    Beliau percaya bahawa PN akan mengembalikan zaman kegemilangan BN dulu sebagai parti yang berjuang untuk semua bangsa berdasarkan jumlah parti komponen di dalam perikatan itu selain sokongan MCA, MIC dan sebahagian UMNO.

    Dalam pada itu, Muhyiddin turut menolak tanggapan PN adalah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera saja, sebaliknya berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.

    “(Mesyuarat) Kabinet kerajaan PN tidak pernah sekali pun berbincang isu kaum… orang Melayu saja… orang Cina saja… atau orang India saja. Kita bantu semua kaum,” katanya.