Tag: Tan Sri James Jemut Masing

  • Muhyiddin, Ismail Sabri ucap takziah pemergian James

    Muhyiddin, Ismail Sabri ucap takziah pemergian James

    JASA dan bakti Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing kepada negara dan Sarawak khususnya, adalah tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James adalah seorang tokoh politik yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menjunjung integriti, bekerja keras bagi kemajuan serta kemakmuran negara dan negeri Sarawak.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, PN amat menghargai sumbangan beliau sebagai seorang negarawan berjiwa besar yang banyak membantu mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat perpaduan negara.

    “Saya yang secara peribadinya telah kehilangan seorang sahabat baik, berharap seluruh ahli keluarga mendiang agar dapat tabahkan hati menghadapi saat yang menyedihkan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Muhyiddin turut menyatakan beliau amat sedih dan hiba menerima berita pemergian James yang meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi tadi di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC), Kuching.

    james jemut masing

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

    Beliau menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar kepada Sarawak dan negara.

    “Mendiang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa. Jasa dan pengorbanan mendiang pasti akan dikenang sampai bila-bila.

    “Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat duka ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    James meninggalkan seorang isteri Puan Sri Fiona Masing dan dua orang anak.

    Sebelum ini, mendiang telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

    Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.

  • Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing meninggal dunia

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing meninggal dunia

    TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya di Kuching, kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

    Berita kematian tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Masing meninggalkan seorang isteri Puan Sri Fiona Masing dan dua orang anak.

    Sebelum ini, Masing yang juga Presiden PRS telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

    Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.

    Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemergian Masing adalah satu kehilangan besar buat negeri itu.

    Dukacita dengan berita itu, Abang Johari yang kelihatan sebak ketika ditemui pemberita di sini, meluahkan rasa sedih dan mengakui pemergian rakan seperjuangannya itu memberi impak besar terhadap diri beliau.

    Katanya, mendiang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan serta idea sepanjang berkhidmat dalam Kabinet negeri, termasuk dalam barisan kerajaan negeri pimpinan beliau ketika ini.

    “Beliau rakan dalam kerajaan ini yang banyak beri sumbangan dalam urus tadbir kerajaan. Saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Saya rasa kehilangan besar sebagai rakan…takziah saya ucapakan kepada keluarga mendiang.

    “Beliau banyak menyumbangkan kepada pembangunan orang luar bandar khususnya masyarakat Dayak di Sarawak,” katanya selepas melancarkan program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN-MYSRBN) Kampung Tengah di Trusan, Lawas, hari ini. – BERNAMA

  • 10 kementerian penting perlu dibentuk, berfungsi terlebih dahulu-Masing

    10 kementerian penting perlu dibentuk, berfungsi terlebih dahulu-Masing

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing mencadangkan Perdana Menteri mengumumkan 10 kementerian utama beserta menteri terlebih dahulu kerana Kabinet baharu amat diperlukan untuk berfungsi ketika ini.

    Menurut beliau, ini kerana terdapat portfolio penting dan relevan perlu diwujudkan segera dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

    Selain itu katanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempunyai barisan Kabinet yang berkemampuan dan sedia bekerja keras bersama-samanya dalam memerangi Covid-19.

    “Kesemua kementerian ini perlulah diketuai menteri dalam kalangan ahli Parlimen yang bijak, komited serta sanggup bekerja keras.

    “Menteri berkenaan pula perlu dibantu timbalan menteri yang cekap selain dibekalkan keperluan sewajarnya bagi melancarkan urusan pentadbiran di kementerian berkenaan,” katanya, hari ini.

    Hari ini, Masing mencadangkan agar Perdana Menteri mengutamakan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI), Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

    Beliau turut mencadangkan agar Ismail Sabri memfokuskan kepada portfolio kewangan, perindustrian, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana serta sumber manusia.

    Semalam, Ismail Sabri memaklumkan senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Jelasnya senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.