Tag: Tajuddin Abdul Rahman

  • Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sendiri mengetahui sebab beliau digugurkan daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dan apa yang dilakukannya kepada parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata, adalah tidak adil jika orang lain yang memberitahu perkara itu kepada umum, sebaliknya sebaik-baiknya media bertanyakan sebab Tajuddin digugurkan kepada tuan badan sendiri.

    “Tanya beliau sendiri apa kenyataan yang telah beliau buat, apa bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang dinyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya kepada media apabila ditanya adakah Tajuddin digugurkan kerana melanggar peraturan parti, selepas pelancaran Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

    Semalam, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

    Ahmad Zahid berkata, kuasa pelantikan (ahli MT UMNO) ialah kuasa presiden parti dan mana-mana ahli MT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

    “Sesuatu ketetapan harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat, tetapi apabila sesuatu keputusan itu telah dibuat maka keputusan itu merupakan keputusan parti. Dan kita perlu mematuhi peraturan parti, bukan sebaliknya,” katanya.

    Beliau berkata, MT UMNO dijadual bermesyuarat malam ini bagi menterjemahkan beberapa perkara yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

    Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang ditemui pada majlis sama, berkata, secara peribadi beliau berpandangan apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO itu merupakan hak presiden dalam perlembagaan (parti).

    “Pada sayalah apa yang diputuskan (presiden parti) itu ialah untuk memberikan peluang kepada Tajuddin menumpukan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia,” katanya. – BERNAMA

  • Pemimpin UMNO, bekas diplomat kecam lantikan Tajuddin jadi duta

    Pemimpin UMNO, bekas diplomat kecam lantikan Tajuddin jadi duta

    PELANTIKAN Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia menerima kritikan keras daripada pelbagai pihak.

    Memetik laporan FMT, seorang pemimpin UMNO turut menyuarakan perasaan kurang senang terhadap perkara itu memandangkan Tajuddin disifatkan sebagai seorang tokoh yang kontroversial.

    Pemimpin yang dirahsiakan identitinya itu berkata, Tajuddin bukan dikenali sebagai seorang tokoh yang mempunyai kebolehan luar biasa bagi melayakkannya menjalankan tugas diplomatik secara berkesan.

    Beliau mempersoalkan kebolehan Tajuddin ekoran caranya mengendalikan insiden pelanggaran dua tren transit aliran ringan (LRT) ketika menyandang jawatan Pengerusi Prasarana tahun lalu.

    “Dan kenapa Perdana Penteri perlu melantik Ahli Parlimen yang bersidang sedangkan Ahli Parlimen sepatutnya berkhidmat kepada pengundi?” soalnya.

    Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, seorang bekas duta yang enggan namanya didedahkan menyifatkan pelantikan Tajuddin itu bukan langkah yang baik.

    Menurut beliau, jawatan penting itu seharusnya diisi oleh individu yang berpengalaman dan mempunyai latihan yang luas.

    “Memandangkan calon tersebut, saya berpendapat kurang sesuai untuk memegang jawatan yang penting iaitu duta Malaysia ke Indonesia,” kata diplomat yang pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke beberapa negara termasuk di rantau ini.

    Bekas duta itu menambah bahawa lantikan politik seperti Tajuddin biasanya bukan kerana merit mereka tetapi sebagai ganjaran.

    “Pendekatan seperti ini kurang baik kerana jawatan duta bukan ‘harimau tanpa taring’ tapi sangat mencabar dan memerlukan latihan dan pengalaman yang luas,” ujarnya.

  • Tiada jaminan Ismail Sabri kekal jadi PM – Tajuddin

    Tiada jaminan Ismail Sabri kekal jadi PM – Tajuddin

    TIADA jaminan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan FMT, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membayangkan kemungkinan itu walaupun MKT mencadangkan Ismail Sabri dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

    “Tetapi tidak ada jaminan (Ismail Sabri jadi Perdana Menteri) ‘poster boy’ di Johor dulu siapa? Hasni tapi tak jadi pun (MB), tapi kita doakan yang terbaiklah, kita tak mahu bersangka buruk,” katanya.

    MKT UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

    Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur petang tadi.

  • Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    PERDANA Menteri hanya boleh mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selepas keputusan dibuat oleh Kabinet.

    Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembubaran Parlimen adalah tidak semudah yang disangka setengah pihak.

    “Dari segi perlembagaan yang menasihatkan Agong bukan Perdana Menteri seorang, (tapi) itu keputusan Kabinet.

    “Perdana Menteri bawa (cadangan) ke Kabinet, kalau Kabinet setuju barulah Perdana Menteri boleh bawa menghadap Agong.

    “Kalau Kabinet tak setuju tak ada apa yang boleh dibawa Perdana Menteri kepada Agong,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

    Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Tajuddin juga menjangkakan akan ada perbezaan pandangan dalam kalangan perwakilan UMNO yang menghadiri perhimpunan agung kali ini terhadap cadangan tersebut.

    Menurut beliau, ada ahli yang berpendapat sekarang adalah masa untuk UMNO menumpukan khidmat mereka kepada rakyat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah.

    “Itulah juga nasihat Agong dalam titah baginda semasa merasmikan Parlimen baru-baru ni,” jelasnya lagi.

    Dalam pada itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segala langkah untuk membubarkan Parlimen seharusnya tidak melebihi kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Beliau memberitahu, segala keputusan itu akan datang dengan nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Jangan kita melebihi dan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan PM dan juga tanggungjawab dan kuasa untuk menentukan kuasa di bawah Seri Paduka,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

  • Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman difailkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khalid selaku defendan pertama tidak bersifat fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

    “Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat terbitan dengan bona fide (niat yang baik) tentang perkara kepentingan awam dan terbitan yang dibuat adalah adil saksama dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan,” katanya.

    Latifah dalam penghakimannya berkata, komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen yang menggunakan kenyataan yang tidak mengikut peraturan parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

    Beliau berkata, ini disokong oleh keterangan keterangan saksi-saksi Ahli-Ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.

    “Mahkamah juga berpuas hati bahawa komen yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang berpatutan, berdasarkan kepercayaan yang jujur dan tanpa niat jahat yang berdasarkan fakta-fakta yang berada dalam pengetahuan defendan pertama sendiri,” katanya.

    Latifah berkata, kes itu berlaku berpunca dari plaintif (Tajuddin) semasa di Parlimen pada 21 Nov 2016 yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang seksis dan menggunakan bahasa ‘yang tidak mengikut peraturan parlimen’ di dalam ucapannya terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Khalid.

    Beliau berkata, mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tidak timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.

    “Semasa menjawab kepada wartawan, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tidak ada motif lain,” katanya dan menambah bahawa alasan plaintif semasa prosiding Parlimen bahawa kenyataan itu hanya merujuk kepada nama Ahli Parlimen wanita itu adalah tidak berasas jika diambil kira konteks keseluruhan kenyataan tersebut dibuat.

    Menurut Latifah, tindakan plaintif yang enggan menarik balik kenyataan seksis tersebut dan memperli serta mengejek Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.

    “Mahkamah juga berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah oleh defendan pertama (Khalid) bukanlah suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu dan perkataan ‘sial’ yang digunakan defendan pertama adalah akibat daripada provokasi plaintif,” katanya.

    Latifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh plaintif yang ketika itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan antara institusi tertinggi negara.

    Beliau berkata, mahkamah juga berpandangan kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi terutama dalam Sidang Parlimen yang dihormati perlu diberi perhatian walaupun imuniti diberikan.

    Latifah berkata, mahkamah bersetuju bahawa tindakan defendan kedua (NSTP) hanya melaporkan tentang kejadian secara adil dan tidak bersifat fitnah kerana terdapat justifikasi munasabah terhadap laporan yang dibuat kerana ia dilindungi oleh perlindungan bersyarat.

    Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, yang telah menyiarkan dua video pada sidang media, yang diterbitkan pada 24 Nov 2016, beliau berkata, mahkamah berpuas hati tiada sebarang sifat fitnah dalam kedua-dua video itu.

    “Liputan dalam video tersebut oleh defendan ketiga adalah neutral dan menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama melibatkan kepentingan awam,” katanya yang membuat keputusan itu menerusi emel hari ini.

    Pada 26 April 2017, Tajuddin memfailkan saman itu mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 Nov 2016.

    Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 Nov 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 Nov tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses oleh orang ramai.

    Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam. – BERNAMA

  • Tajuddin mahu cabar Zahid jawatan Presiden UMNO

    Tajuddin mahu cabar Zahid jawatan Presiden UMNO

    KEDUDUKAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO semakin tercabar apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut.

    Ahli Parlimen Pasir Salak itu mempertimbangkan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam UMNO serta dua lagi jawatan lain iaitu Timbalan atau Naib Presiden.

    Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersedia bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi parti itu sekiranya penyokong dan ahli UMNO mahu melihatnya terus berkhidmat untuk parti dan menabur bakti kepada rakyat di negara ini.

    “Ada penyokong parti berkata Datuk kalau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO insya-Allah boleh menang kerana mereka cakap buat apa nak susah-susah cari jawatan boleh menang.

    “Bagaimanapun, ada pula yang cakap, Datuk patut tanding jawatan sekurang-kurangnya Timbalan Presiden baru sesuai. Tetapi ada pula cakap alang-alang nak bertanding baik rebut jawatan Presiden UMNO terus,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

    Tajuddin menambah, keputusan muktamad jawatan mana akan ditandinginya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.

    Beliau menegaskan, hasrat bertanding tiga jawatan tertinggi UMNO dahulu bukan kerana mahu mengejar jawatan, sebaliknya mahu terus berkhidmat untuk rakyat dan parti.

    “Saya bukan bercakap sahaja kerana sudah terbukti berjaya membantu UMNO menang di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) semasa memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO sebelum ini.

    “Malah, semua orang tahu bahawa saya adalah antara watak penting membantu UMNO bangkit semula selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Selepas itu UMNO berjaya memenangi tujuh PRK berturut-turut hasil penyatuan Melayu Islam yang kita usahakan,” jelasnya.

    Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu berkata, beliau banyak memberi sumbangan dalam membantu penyertaan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembentukan permuafakatan antara PAS dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

    Malah, Tajuddin mendakwa beliau juga memberikan sumbangan besar bagi memastikan peralihan kuasa antara kerajaan PN kepada kerajaan hari ini.

    “Kalau ikut ada satu pihak hanya mahu UMNO menarik terus sokongan dan menjatuhkan kerajaan PN semata-mata tanpa memikirkan kesan negatif dan kemungkinan PH kembali berkuasa.

    “Kalau itu berlaku mungkin UMNO sekarang akan menjadi pembangkang seperti selepas PRU-14 lalu, tetapi saya sebagai pihak yang dimaki Harun kerana menentang keputusan Presiden dan parti, namun akhirnya kita berjaya meletakkan UMNO kembali menjadi kerajaan dan memperoleh jawatan Perdana Menteri,” katanya.

  • Muhyiddin lakukan pengorbanan besar lepas jawatan PM

    Muhyiddin lakukan pengorbanan besar lepas jawatan PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan satu pengorbanan yang besar apabila sanggup melepaskan jawatan Perdana Menteri dan menyokong calon dari UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengisi jawatan tersebut.

    Memetik laporan Agenda Daily, Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, secara tidak langsung, pengorbanan besar Muhyiddin itu membolehkan pemimpin UMNO kembali menerajui kerajaan.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu memberitahu, pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga boleh menuntut hak mereka untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

    “Jika tidak mereka (Bersatu) boleh minta jawatan PM, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) ke sesiapa yang nak… mereka boleh minta,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.

    Muhyiddin berundur selepas didesak sekumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu tersebut.

    Walaupun kehilangan jawatan yang berpunca daripada tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO tersebut, Muhyiddin sanggup mengetepikan sengketa politik dan memberi sokongan kepada calon PM yang diletak UMNO serta mengajak rakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Ismail Sabri.

    Mengulas lanjut, Tajuddin berkata faktor utama yang mungkin menjadi pertimbangan Muhyiddin untuk menyokong calon PM dari UMNO adalah disebabkan sudah serik dengan DAP semasa berada dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan tidak mahu melihat parti itu kembali berkuasa di Putrajaya.

    “Itu yang mendorong Muhyiddin untuk kekal bersama UMNO membentuk kerajaan sehingga sanggup jawatan Perdana Menteri pun ambillah,” jelasnya.

    Ismail Sabri dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan selepas mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen, susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

    Berhubung sokongan Muhyiddin kepada Ismail Sabri, beberapa syarat juga diletak termasuk memastikan Kabinet yang dibentuk bebas daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.