Tag: tadbir negara

  • Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    NEGARA kini ditadbir oleh kerajaan sementara, dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan hari ini. 

    Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

    Beliau berkata tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

    “Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini..

    Muhammad Fathi berkata antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif, dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

    Berikutan itu, beliau berkata Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

    Selain itu, Muhammad Fathi berkata kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

    Bagi Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

    Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

    Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

    “Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya, dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah,” katanya.- BERNAMA

    PRU15, Ismail Sabri, Perdana Menteri, kerajaan sementara, konvensyen perlembangaan

  • Pemimpin UMNO dalam kerajaan wajar laksana mandat tadbir negara

    Pemimpin UMNO dalam kerajaan wajar laksana mandat tadbir negara

    PEMIMPIN UMNO di dalam barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional wajar memberi tumpuan untuk melaksanakan mandat tanggungjawab mentadbir negara seperti diamanahkan kepada mereka.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, mereka seharusnya bersama-sama kerajaan hari ini dalam membantu menguruskan cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi yang disifatkan amat membimbangkan.

    Jelas beliau, keutamaan pemimpin berkenaan buat masa ini adalah bersama-sama membantu menambah baik usaha kerajaan dalam mendepani cabaran pengurusan Covid-19 tersebut.

    “Sesiapa pun yang diamanahkan oleh rakyat terutamanya yang telah diberi mandat untuk mentadbir urus kerajaan, saya galakkan dan nasihatkan bersama-samalah dengan kerajaan.

    “Apabila telah diberikan amanah, maka fokus kepada perkara itu, kurangkan dan tolak ke tepi soal berpolitik. Bila menjelang pilihan raya umum nanti, barulah kita cakap pasal politik,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Pemerkasaan Komuniti dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang di sini hari ini. 

    Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. 

    Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menambah, beliau memahami pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang memilih untuk mentaati keputusan serta pemimpin parti itu dan meninggalkan kerajaan PN. 

    “Jika mereka ini mementingkan diri sendiri atas sebab untuk mereka lebih mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, maka saya tidak dapat komen banyaklah,” katanya. 

    Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen DAP kononnya ditawarkan imbuhan untuk menyertai PN, Mohd. Redzuan berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan seperti itu.

    Jelasnya, perkara itu juga terpulang kepada jati diri individu yang berkecimpung di dalam politik yang mana mereka tidak seharusnya menggadaikan atau ‘berniaga’ semata-mata untuk kepentingan diri. 

    “Apa yang penting kami akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan kerajaan sedia ada dan kita tunggulah seperti apa yang ditetapkan kerajaan untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen dibuka nanti,” katanya.

    Awal hari ini, Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong PN dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menjadi menteri.