Tag: Tabung Haji

  • Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    DISAMBUT dengan taburan bunga mawar, alunan doa dan dihidangkan dengan pelbagai jenis manisan serta air zam-zam.

    Ia merupakan momen yang akan menjadi kenangan manis buat kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah malam tadi dan diberikan sambutan meriah di bangunan Abraj Al Janadriyah yang merupakan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) serta hotel penginapan jemaah di Tanah Suci.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketibaan seramai 295 jemaah itu disambut meriah, bukan sahaja oleh pihak pengurusan Lembaga TH tetapi juga Syarikat Tewafah Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam pergerakan jemaah haji Malaysia.

    “Kesemua jemaah ini merupakan kumpulan pertama yang bergerak dari Madinah dan mereka yang bertolak kira-kira pukul 2 petang tadi (waktu Arab Saudi), selamat tiba pada pukul 10 malam.

    “Alhamdulillah jemaah haji disambut baik dengan aturan dan persediaan yang dibuat oleh TH dan Syarikat Tewafah Asia Tenggara. Ia menunjukkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak dalam menyantuni tetamu Allah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Makkah.

    Datuk Seri Syed Saleh berkata, setiap jemaah yang baru tiba di Makkah, sama ada pada waktu siang ataupun malam, akan diberi layanan istimewa oleh Syarikat Tewafah Asia Tenggara dengan hidangan nasi beriani bersama pelbagai minuman.

    Lebih istimewa, makanan tersebut akan dihantar terus ke bilik masing-masing bagi membolehkan jemaah berehat seketika sebelum mengerjakan umrah, kira-kira dua jam selepas ketibaan.

    Sementara itu, Pengerusi Syarikat Tewafah Asia Tenggara, Adnan Husin Abdullah Mandura berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan kedatangan jemaah haji kali ini sangat istimewa setelah tertunda hampir dua tahun akibat pandemik.

    Katanya, bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan serta mengatur persiapan dengan lebih tersusun.

    “Kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji Malaysia dan menjaga hubungan baik dengan TH…Insya-Allah kita akan sediakan perkhidmatan kepada jemaah haji ke arah untuk mendapatkan haji yang mabrur.

    “Pihak syarikat dan semua petugas akan bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik pada tahun ini setelah terhenti akibat wabak COVID-19…pihak kami mengalu-alukan kedatangan dan berdoa supaya jemaah peroleh haji yang diterima Allah,” katanya. – BERNAMA

    * Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Kos haji naik, TH umum 2 kadar bayaran muassasah

    Kos haji naik, TH umum 2 kadar bayaran muassasah

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua kadar bayaran untuk menunaikan haji kepada jemaah muassasah mengikut golongan B40 serta bukan B40 susulan anggaran kos keseluruhan ibadah itu meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bagaimanapun menerusi pelaksanaan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, jemaah muassasah dalam kalangan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang manakala kadar bayaran ditetapkan bagi golongan bukan B40 adalah RM12,980 seorang.

    “Bayaran haji jemaah muassasah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

    “Berikutan pelaksanaan bantuan bersasar ini, kadar bayaran haji untuk seorang jemaah muassasah B40 dikenakan sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan RM1,000 seorang manakala jemaah muassasah dalam kategori bukan B40 ialah RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar (Pengurusan Haji) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin.

    Amrin berkata, kenaikan bayaran haji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi dan pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insurans untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

    “Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci. Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muassasah.

    “TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah haji Malaysia terutama kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak COVID-19 ke atas sara hidup mereka dan penetapan golongan kategori B40 ini adalah berdasarkan pangkalan data yang diguna pakai oleh pihak kerajaan” katanya.

    Beliau berkata menerusi Bantuan Kewangan Haji bagi tahun ini, TH akan membayar RM14,560 seorang bagi jemaah muassasah dalam kategori B40 manakala bagi kategori lain turut menerima bantuan RM12,560 seorang berbanding RM12,920 seorang pada 2019.

    Sementara itu, beliau berkata, TH sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke tanah suci setelah dua tahun tertangguh berikutan pandemik COVID-19 dan pihaknya akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin depan (25 April).

    “Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020 diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya pada tahun ini. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Jumlah kuota berkenaan menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

    Idris berkata, antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia bawah 65 tahun, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 serta perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas. – BERNAMA

  • JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji (TH) yang memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pertama Rabu lepas.

    Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

    “Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas di Ipoh hari ini.

    Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.

    Mengenai program hari ini Idris berkata, beberapa keluarga mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh Ahad lepas menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga hari ini, bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.

    “Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – BERNAMA

  • Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    KERAJAAN mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

    Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

    Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

    Wan Junaidi berkata, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

    “Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

    “Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

  • TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumbangan sejumlah RM1.6 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

    Beliau menerusi kenyataan berkata, TH menyumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir, dan bantuan itu bakal diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Kami turut bekerjasama dengan seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui kumpulan sukarelawan dengan memberi sumbangan seperti keperluan asas, bekalan makanan, dan penginapan sementara,” katanya hari ini.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, anak-anak syarikatnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM420,000, selain melancarkan Bantuan Prihatin Banjir dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan untuk individu yang terkesan.

    Takaful Malaysia yang juga merupakan anak syarikat TH, turut menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir. – BERNAMA

  • Md Nor lepas jawatan Pengerusi TH mulai hari ini

    Md Nor lepas jawatan Pengerusi TH mulai hari ini

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH berkuat kuasa hari ini.

    TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang menjawat jawatan itu, Md Nor telah memacu usaha-usaha penyusunan semula, perkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan TH sebagai organisasi Islam yang bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

    Menurut TH, jumlah deposit pada 30 Jun lepas ialah RM81.14 bilion, iaitu tahap tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun yang lalu, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang lebih tinggi daripada pendeposit.

    “Para anggota lembaga, pengurusan kanan dan semua warga kerja TH mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau (Md Nor) yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi sepanjang tiga tahun perkhidmatannya di TH,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    KEYAKINAN pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

    “Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

    “Insya-Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

    “Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

    “Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan pendeposit khususnya yang melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-kanak di bawah jagaan, supaya bertukar status kepada Akaun Dewasa.

    Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata hampir 700,000 pemegang Akaun Kanak-Kanak melebihi umur 18 tahun dikenal pasti dan pemegang akaun itu yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing bermula 1 Dis tahun ini. 

    “Akaun itu akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran, selain status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata akaun berkenaan masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuk di platform JomPay dan THiJARI.

    TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas supaya datang bersama anak tersebut ke cawangan TH bagi menukar status ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.

    TH mengambil langkah itu bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit itu dikemas kini.

    Selain itu, pendeposit perlu memastikan akaun TH berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah,  dikecualikan cukai pendapatan dan boleh turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH.

    Menurut kenyataan itu, pendeposit hanya perlu melakukan satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun kekal berstatus aktif.

    Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk pertanyaan lanjut. – BERNAMA