KESABARAN PAS terhadap kerenah UMNO yang berpunca daripada puak tertentu dalam parti itu ada hadnya.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, segelintir pemimpin UMNO didakwa bertindak keterlaluan.

Beliau memberi contoh, krisis politik di Melaka yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta krisis di Perak dahulu dan pembubaran DUN Johor.

“Jadi kita tak boleh letakkan UMNO secara keseluruhan dalam satu bakul. Ada kluster-kluster tertentu.

“Penghormatan PAS kepada UMNO adalah terhadap kluster yang mahukan penyatuan ummah dan yang fokus untuk Malaysia kembali kepada tempatnya selepas berdepan dengan Covid-19.

“Namun begitu, kesabaran PAS ada hadnya,” katanya dalam sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Khairil Nizam memberitahu, kluster yang menimbulkan masalah adalah mereka yang berdepan kes mahkamah dan telah ‘memalukan negara di peringkat dunia’.

“Kluster mahkamah ini bukannya sains roket, maklumatnya boleh diakses di mana-mana. Kalau tak percaya, pergi ke luar negara (dan) tanya mereka kenapa mereka kenal Malaysia.

“Ini memalukan. Maruah (negara) tergadai kerana kejahatan pemimpin-pemimpin ini. Kenapa kita nak letak pemimpin ini menerajui tampuk pemerintahan negara sekali lagi?” soalnya.

Beliau menambah, walau pun PAS bersabar, titik perubahan berhubung hubungan dengan UMNO boleh berlaku.

Pada masa sama, Khairil Nizam berkata, beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

Jika ia menjejaskan penyatuan orang Islam, katanya lagi, PAS ‘tidak akan teragak-agak’ untuk mengambil tindakan terhadap hubungan dengan UMNO.

“Pengkhianatan sebilangan pemimpin UMNO terhadap hubungan kita dalam Muafakat Nasional (MN) atau kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang diambil kira.

“Kalau tanya saya bila turning point untuk PAS, ia perlukan prosedur,” jelasnya.

Beliau berkata, jika isu tersebut terus disuarakan dengan kuat, muktamar khas mungkin diadakan untuk membincangkannya sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk menentukan dasar parti.

“Kita harap rakyat, khususnya ahli PAS dan Bersatu supaya bersabar. Tindakan yang kita ambil berstrategi, berperingkat, jangan gopoh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here