Tag: T20

  • Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, golongan kaya mendapat manfaat sebanyak RM17.8 bilion (35 peratus) daripada keseluruhan RM50.8 bilion subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022.

    Sementara itu, 24 peratus daripada subsidi kerajaan memberi manfaat kepada kumpulan B40 manakala baki 41 peratus lagi dinikmati golongan M40.

    Ahmad berkata jumlah besar yang boleh dijimatkan daripada pemberian subsidi kepada kumpulan T20 boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan urusan lain di 26 kementerian.

    “Dari segi angka, RM50.8 kalau darab dengan 35 peratus yang diguna oleh T20, nilainya, RM17.8 bilion.

    “Kita kita tidak mahu lagi T20 dapat subsidi petrol, diesel LPG, kerajaan boleh jimat RM15 hingga RM17 bilion.

    “Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion hingga RM17 bilion.

    “Yang berhormat- yang berhormat boleh bayangkan berapa banyak boleh kita guna dari RM15 hingga RM17 bilion itu untuk bantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ahmad menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PN – Kuala Terengganu) yang bertanya apakah kerajaan berhasrat melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol, LPG dan minyak masak bagi mereka yang berpendapatan rendah.

    Sementara itu, dalam sidang akhbar hari ini, Ahmad berpendapat Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberikan subsidi kepada golongan kaya jauh lebih banyak daripada apa yang diberikan kepada golongan miskin.

    “Adakah negara lain memberikan subsidi kepada orang kaya jauh lebih banyak daripada apa yang mereka berikan kepada orang miskin? Tidak, kan? Malaysia sahaja,” katanya.

    Terdahulu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pontian itu juga berkata kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM66.3 bilion tahun lalu dalam bentuk subsidi dan ini termasuk minyak masak, ayam, telur dan tarif elektrik.

    Walaupun pelaksanaan subsidi telah membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup, Ahmad berkata ia juga mengakibatkan ketirisan.

    “Sebagai contoh, perbezaan besar dalam nilai pasaran dan harga subsidi untuk diesel meningkatkan risiko penyeludupan barangan berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan komited untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk mengurangkan ketirisan.

  • Lompatan Abdul Latif gegar Tokyo, hadiah emas ketiga buat Malaysia

    Lompatan Abdul Latif gegar Tokyo, hadiah emas ketiga buat Malaysia

    JUARA bertahan Rio 2016 Abdul Latif Romly, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi satu lagi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu di sini, hari ini.

    Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

    Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

    Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

    Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

    Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

    Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa. 

    Kejayaan Abdul Latif Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

    Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu di sini, kali ini.

    Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

    Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

    Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).- BERNAMA