Tag: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

  • Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah

    Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas. 

    Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Pada 5 Ogos lalu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kedua-dua kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 25 Nov ini.

    Suzana kemudian menetapkan 30 Nov untuk sebutan semula kes.

    Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azura Alwi turut menetapkan tarikh sama (30 Nov) untuk sebutan semula dua lagi kes dihadapi Syed Saddiq berhubung pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Haijan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya juga telah memfailkan permohonan supaya dua kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan hakim sama (Mohamed Zaini) pada 25 Nov.

    Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Sanggupkah Syed Saddiq lakukan aksi berani ini?

    Sanggupkah Syed Saddiq lakukan aksi berani ini?

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu terjun dari bangunan KLCC tanpa menggunakan payung terjun sekiranya beliau mahu menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Baginda menyatakan jawapan itu ketika ditanya oleh seorang pengikut dalam soal jawab yang disiarkan dalam Insta Story hrhcrownprinceofjohor.

    Individu terbabit bertanya, “Apa yang Syed Saddiq perlu buat untuk tarik perhatian Tuanku?”

    Tunku Ismail seterusnya menjawab, “Terjun dari KLCC tanpa parachute.”

    Sebelum ini, baginda pernah melabelkan Syed Saddiq sebagai ‘drama queen’ selepas pemimpin parti Muda itu memohon sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000.

    Tunku Ismail memuat naik komen itu dalam akaun Instagramnya dengan merujuk laporan portal media berkaitan Syed Saddiq memohon simpati bagi membayar ikat jamin sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    “Drama queen. Kesian rakyat yang sentiasa jadi mangsa permainan politik. Berlakon dan menipu rakyat semata mata nak undi dan kuasa,” titah baginda dalam kapsyen hantaran Instagram tersebut.

    Berikut adalah antara soalan dan jawapan yang menarik daripada Tunku Ismail dalam Insta Story:

    Soalan: Betul ke tunku nak tinggalkan JDT?

    TMJ: Saya dah 8 tahun menguruskan JDTFC. Secara jujur saya letih sikit. Tetapi jikalau saya angkat kaki. Segala galanya akan musnah. Players akan pergi, sponsors cabut, dan kakitangan staff pun akan pergi. So saya 50/50. Tetapi dengan secara jujur. Saya letih sikit. Kerana “saya mengurus bolasepak oleh kerana minat. Tetapi saya tidak perlukan bolasepak.” Dan dalam hidup apabila kita tidak rasa gembira atau happy buat sesuatu, kita haru cari benda lain. Saya pun banyak tanggungjawab lain. So buat masa ini 50/50.

    Soalan: Pandangan tentang Menteri Belia dan Sukan yang baru?

    TMJ: Tiada apa apa. Kurangkan bercakap dan fokus buat kerja.

    Soalan: Kereta tuanku yang pertama?

    TMJ: Kancil.

    Soalan: Scorpions atau Metallica?

    TMJ: Metallica.

    Soalan: Pemain-pemain muda Selangor power tak?

    TMJ: Ok boleh tahan. Tapi dah ramai contact saya ni. Termasuk player first 11.

  • Syed Saddiq mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi KL

    Syed Saddiq mohon pindah kes ke Mahkamah Tinggi KL

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon supaya kes pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Bernama, dalam notis permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

    Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq ketika dihubungi media berkata, kes itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan terdapat isu perlembagaan yang akan timbul dalam kes itu dan ia lebih sesuai dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

    Katanya, permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas, Rabu ini.

    Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 5 Ogos lalu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, adalah hasil daripada aktiviti haram.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

  • Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua pertuduhan gubah wang haram

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memindahkan wang sebanyak RM50,000 sebanyak dua kali dari akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

    Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Maybank Islamic Berhad beralamat di Nombor 17 dan 19, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda sehingga lima kali ganda atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd. Afif Ali.

    Syed Saddiq yang sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi diwakili peguam, Gobind Singh Deo.

    Wan Shaharuddin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Syed Saddiq mengguna pakai jaminan sama yang dikenakan terhadap beliau ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

    Pihak pendakwaan turut memohon agar mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana semua saksi pendakwaan adalah saksi yang sama bagi kes dihadapi tertuduh di Kuala Lumpur.

    Mahkamah kemudian membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada 22 Julai lalu, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu berdepan pertuduhan menyeleweng dana politik kira-kira RM1 juta dan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

    Bagaimanapun, beliau membuat pengakuan tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.