Tag: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

  • Lima syarikat didakwa perdaya ribuan pelabur, kerugian cecah RM1 bilion

    Lima syarikat didakwa perdaya ribuan pelabur, kerugian cecah RM1 bilion

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) digesa menyiasat lima syarikat yang disyaki menipu sejumlah besar pelabur yang kebanyakannya warga emas dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

    Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, kumpulan scammer jenayah pelaburan tersebut dipercayai menggunakan ‘modal’ meyakinkan iaitu ‘dokumen information memorandum’ yang diperoleh daripada SC.

    Katanya, kumpulan itu turut mempergunakan nama orang kenamaan atau VIP sebagai pelaris untuk menarik keyakinan pelabur terhadap operasi syarikat terbabit dengan menggambarkan individu berpengaruh tersebut sebagai pengarah syarikat.

    “Dengan dua modus operandi ini, kumpulan scammer ini berjaya memperdaya ribuan pelabur di seluruh negara dan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

    “Lima buah syarikat ini dipercayai telah memulakan operasi sejak 2016, namun ada antara syarikat tersebut telah tutup ketika pandemik Covid-19 dan 2021.

    “Apabila mangsa atau pelabur tidak lagi dapat menghubungi pihak syarikat, laporan polis telah dibuat di seluruh negara,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan dan aduan mangsa kepada pihak SC di Bukit Kiara, dekat sini.

    Hadir sama Presiden Malaysian Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

    MHO mengadakan kerjasama dengan MCCC bagi membantu mangsa-mangsa pelaburan membawa isu tersebut ke peringkat siasatan pihak berkuasa.

    Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, serahan aduan dan pertemuan dengan pihak SC digunakan sebaiknya untuk meminta suruhanjaya itu melakukan siasatan terperinci ke atas syarikat-syarikat pelaburan yang dipercayai menipu orang ramai.

    Pada masa sama katanya, MHO juga menyeru SC agar meneliti penggunaan dokumen information memorandum yang telah dihantar serah kepada suruhanjaya itu bagi diguna pakai oleh syarikat-syarikat pelaburan beroperasi di negara ini.

    Ini kerana katanya, syarikat-syarikat terlibat berjaya menunjukkan dokumen information memorandum kepada kumpulan pelabur atau mangsa.

    “Kita MHO tidak menyalahkan SC berhubung dokumen information memorandum ini.

    “Namun kita menyatakan kepada SC bahawa di lapangan, ada syarikat-syarikat yang menyalah guna perkataan information memorandum, seakan-akan syarikat terbabit telah disemak oleh suruhanjaya tersebut.

    “Tetapi yang sebenarnya information memorandum itu tidak disemak, sebaliknya hanyalah satu dokumen hantar serah atau notis,” katanya.

    Jelas beliau, tanpa sebarang kajian lanjut dilakukan oleh pelabur berhubung perkara tersebut, kebanyakannya mempercayai ia telah diluluskan oleh SC.

    Oleh yang demikian menurut beliau, MHO telah memaklumkan perkara tersebut kepada SC untuk meneliti balik perkara melibatkan dokumen information memorandum.

    Sementara itu, Hishamuddin berkata, penggunaan nama VIP yang mempunyai reputasi tinggi dilihat telah berjaya memperdayakan kebanyakan mangsa.

    Beliau berkata, bukan sahaja peguam, malah individu bergelar Tan Sri turut diperdaya ‘hidup-hidup’.

    Tegas beliau, ia bukan satu jenayah scam biasa tetapi corporate scam kerana terdapat sejumlah pelaburan tertinggi yang dibuat adalah sehingga RM3 juta.

    “Oleh sebab itu, MHO meminta SC melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini, setelah memanjangkan aduan atau laporan yang telah dibuat kepada pihak polis sebelum ini.

    “Kita juga akan meneruskan dengan siri aduan kepada agensi terlibat yang lain seperti Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    “Sekiranya tidak ada tindakan sewajarnya, MHO tidak teragak-agak untuk membawa kes ini kepada badan lebih tinggi seperti ke Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

  • Syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat SC

    Syarikat diketuai orang kuat Anwar disiasat SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) mengesahkan sebuah syarikat yang baru-baru ini melantik orang kuat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam siasatan agensi itu kerana melanggar peraturan pasaran modal.

    Lapor MalaysiaNow, pengawal selia pasaran modal itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana perkara berkenaan berada dalam mahkamah.

    Farhash Wafa Salvador yang juga bekas pengerusi PKR Perak, dilantik sebagai pengerusi kumpulan Apex Equity Holdings Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam pegangan pelaburan, pembrokeran saham, pembangunan hartanah dan pinjaman wang, tidak lama selepas SC melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.

    Individu berusia 40 tahun itu, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar dan terkenal sebagai penyokong setia kepada perdana menteri itu, turut dinamakan pengerusi syarikat rangkaian runcit 7-Eleven.

    Langkah itu mencetuskan perdebatan mengenai hubungan antara dunia korporat dan ahli politik yang mempunyai peranan di peringkat tertinggi.

    Apex Holdings menjadi tumpuan siasatan SC, pengawal selia pasaran Malaysia di bawah kementerian kewangan, kerana didakwa melanggar Akta Pasaran Modal dan Akta Perkhidmatan serta Akta Syarikat.

    Sementara itu, pemegang saham kedua terbesar dalam Apex Equity, ACE Group dilaporkan turut diheret ke mahkamah oleh SC untuk menghalangnya daripada mengawal firma broker saham itu.

    SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti, sambil menambah ACE Group bukanlah “syarikat yang layak dan sesuai” untuk menjadi pengawal syarikat itu.

    Bulan lalu, memetik fail mahkamah bertarikh 1 Disember 2022, The Edge memetik Apex Equity sebagai berkata SC memohon pengisytiharan mahkamah bahawa anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd melanggar undang-undang sekuriti, dan ACE Holdings Bhd, yang merupakan sebahagian daripada ACE Group, secara sedar terlibat dalam pelanggaran itu.

    “SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti ‘kerana ACE menjadi pengawal kepada Apex Securities, apabila ACE bukan syarikat yang layak dan sesuai’untuk berbuat demikian,” tambah laporan itu.

    ACE Group diketuai Calvin Choong Chee Meng yang dilantik sebagai pengarah urusan Apex Equity awal tahun ini.

    ACE Group juga terlibat dalam pelanggaran akta SC sebelum ini, yang membawa kepada larangan ke atasnya daripada aktiviti pengumpulan dana.

    Dokumen mahkamah yang difailkan pada Oktober tahun lepas menunjukkan ACE Group dan Apex Securities berusaha untuk menghalang SC daripada mengenakan syarat tambahan berkenaan dengan Pasaran Modal dan Lesen Perkhidmatan (CMSL) Apex.

    Pada 2019, Apex Equity dan anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd memfailkan tindakan undang-undang terhadap 18 defendan termasuk pemegang sahamnya Lim Siew Kim, anak perempuan pengasas Kumpulan Genting mendiang Lim Goh Tong.

    Syarikat itu menuduh mereka cuba mendapatkan kawalan ke atas syarikat dengan melanggar peraturan pasaran modal.

  • Bekas perunding unit amanah didenda RM2 juta tipu pelabur

    Bekas perunding unit amanah didenda RM2 juta tipu pelabur

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) menegur dan mengenakan denda sebanyak RM2 juta terhadap bekas perunding unit amanah, Harani Kamarudin, atas kesalahan menipu pelabur.

    Memetik laporan Berita Harian, Harani dikesan melakukan penipuan itu di antara November 2012 hingga November 2019, dan menyebabkan mangsa kerugian RM1.32 juta.

    Dalam kenyataannya, SC berkata, penemuan pelanggaran dan sekatan yang dikenakan terhadap Harani, dibuat selepas melalui proses sewajarnya, termasuk memberikan peluang untuk beliau menjawab mengenai kesalahan itu dan keputusan SC.

    “Sebagai sebahagian daripada penipuannya dan untuk menarik perhatian mangsa untuk melabur dengannya, Harani antara lain membuat pernyataan palsu mengenai sifat dan ciri pelaburan serta menjamin hasil pelaburan dan pulangan tertentu kepada mangsa, yang tidak menjadi kenyataan.

    “Disebabkan kelakuan dan tindakannya, dia telah melanggar seksyen 354(1)(b)(iii) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang dibaca bersama peruntukan Kod Etika dan Peraturan Kelakuan Profesional Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (Dana Unit Amanah),” kata SC dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pada Jun tahun lalu, SC dalam satu kenyataan meminta bantuan orang ramai mengesan Harani, yang disyaki melakukan beberapa salah laku berkaitan pelaburan unit amanah.

    Ketika itu, SC memaklumkan pendaftaran Harani, 38, dengan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) juga terbatal pada 27 November 2020.

    Lelaki itu sebelum ini pernah berkhidmat dengan Eastspring Investments Berhad sebagai perunding unit amanah.

  • Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) memutuskan tiada pelanggaran bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Dalam satu kenyataan, hari ini, SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan hasil siasatan, menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan terbabit.

    “Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan,” katanya.

    SC dalam kenyataan dikeluarkan, semalam, berkata suruhanjaya itu sudah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan keterangan yang dikumpulkan, ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

    Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media berkenaan sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima, hari ini, mengenai hasil siasatan SC bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam (dirujuk sebagai ‘siasatan terbabit’).

    “Sehubungan ini, siasatan terbabit adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    “Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam kenyataan, hari ini. – BERNAMA