Tag: sungai petani

  • Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas, manakala abangnya masih hilang dalam kejadian di lombong sebuah kuari pasir di Kampung Permatang Kedundung, Pinang Tunggal di Tikam Batu, Sungai Petani, petang semalam.

    Mangsa, Mamod Shukur Belal Hussain yang berbangsa Rohingya ditemukan pada pukul 8.50 pagi ini oleh penduduk sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat sejak malam tadi.

    Mangsa ditemukan terapung kira-kira 400 meter daripada tempat dia dan abangnya, Muhammad Nazeri, 6, dipercayai mandi dan bermain sebelum itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

    “Dengan bantuan daripada JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, kita memulakan gerakan mencari dan menyelamat malam tadi namun gagal mengesan mangsa.

    “Mangsa telah dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan abangnya,” katanya.

  • Biadab! Dinding masjid diconteng perkataan menghina

    Biadab! Dinding masjid diconteng perkataan menghina

    Oleh RIZQI ZABIDI

    UMAT Islam di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani digemparkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng dinding Masjid Andalusi di situ dengan tulisan menghina, pagi semalam.

    Difahamkan kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan berdekatan apabila dia terlihat seorang lelaki menconteng tembok itu menggunakan cat semburan berwarna merah.

    Pengawal keselamatan itu kemudiannya menegur tindakan lelaki tersebut namun dia segera melarikan diri sebelum ditahan.

    Seorang penduduk di kawasan itu, Halim Mat Yatim, 49 berkata, tindakan biadab itu tidak harus dibiarkan dengan pihak berkuasa diminta segera mengambil tindakan.

    “Saya difahamkan pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

    “Ini kejadian pertama yang berlaku di sini. Tindakan ini tidak seharusnya dibiarkan kerana selama ini penduduk di sini hidup dalam keadaan aman damai meskipun rakyat di sini terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

    Sementara itu tinjauan Warta Rakyat di lokasi hari ini mendapati tulisan tersebut sudah pun dipadam.

  • Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG isteri terpaksa menanggung aib apabila ditampar suaminya di depan sebuah kilang dekat Sungai Petani, Kedah semata-mata kerana perbalahan akibat penggunaan kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam dengan turut disaksikan anak sulung mereka.

    Menurutnya, pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat perebutan pasangan tersebut mengenai kereta dimiliki mangsa yang berusia 44 tahun.

    “Setelah mereka bertengkar, mangsa mendakwa ditampar suaminya berusia 45 tahun di depan kilang tersebut. Selain itu, suaminya juga didakwa turut membuat ugutan terhadap wanita tersebut.

    “Berikutan itu wanita berkenaan mendakwa merasa sakit di pipi kiri namun tiada kesan lebam padanya dan sudah pun mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya.

    Difahamkan pasangan tersebut sudah berkahwin selama 25 tahun dan mempunyai tiga anak.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu maut manakala anaknya pula cedera parah gara-gara tindakan seorang pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan, dekat Kilometer 68, Jalan Alor Setar menuju ke Butterworth di Padang Temusu, Sungai Petani, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 petang melibatkan tiga buah kenderaan terdiri daripada dua kereta dan sebuah motosikal dinaiki dua beranak terbabit.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang pembantu kedai berusia 32 tahun, membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan. Difahamkan kereta itu pada mulanya berada di lorong motosikal sebelum tiba-tiba membuat pusingan U.

    “Keadaan itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki dua beranak yang berada di lorong sebelah kanan, belakang kereta tersebut, gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan,” katanya.

    Kemalangan itu berlaku di kawasan yang mempunyai garisan berkembar.

    Tambahnya, rempuhan itu mengakibatkan motosikal berkenaan bersama dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.

    “Di laluan bertentangan itu, dua beranak berkenaan serta motosikal mereka dilanggar pula oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang tidak sempat mengelak,” katanya.

    Akibat daripada kemalangan itu katanya, penunggang motosikal terbabit yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai operator kilang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk patah paha kiri.

    “Ibunya yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan serius di kepala. Kedua-dua mereka terlebih dulu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan namun pada pukul 3.05 petang, wanita itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Menurutnya, kemalangan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA remaja lelaki termasuk seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Sungai Petani, pagi ini.

    Kedua-dua mangsa berusia 15 dan 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Lima lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam lumba haram pada pukul 3.06 pagi itu dilaporkan turut cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berumur 15 tahun itu adalah pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Jeneri, Sik

    “Mangsa kedua yang meninggal dunia pula bekerja kampung dan tinggal di Kampung Pondok Hampar, Merbok di sini.

    “Ketujuh-tujuh mereka yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Ex5 secara beriringan dalam kelajuan tinggi dari arah utara ke selatan di lebuh raya itu.

    “Ketika menghampiri lokasi kejadian beberapa penunggang dikatakan hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri. Impak pelanggaran menyebabkan dua daripada mereka maut di lokasi akibat parah di bahagian kepala,” katanya di sini, hari ini.

    Menurut Zaidy, kesemua motosikal terbabit turut mengalami kerosakan teruk dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Semakan mendapati pelajar itu dan dua lagi rakannya yang cedera tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

    Mayat dibawa ke HSAH untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    Penyanyi lagu asli sempat muat naik status minta maaf sebelum meninggal dunia akibat Covid-19

    PENYANYI lagu-lagu asli, Muhammad Hanizam Azman sempat memuatnaik status terakhir di akaun Facebooknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19, Jumaat lalu.

    Lebih menyedihkan, Allahyarham, 30, memuat naik status itu kira-kira pukul 2 petang, hanya empat jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    Muhammad Hanizam Azman

    “Saya akan ditidurkan, maafkan semua,” tulis status terakhir itu.

    Allahyarham yang merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009 meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Muhammad Hanizam juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014.

    Beberapa jam selepas meninggal dunia, masih ramai rakan dan kenalan yang belum mengetahui tentang pemergian Allahyarham, meninggalkan komen mendoakan kesembuhannya.

    Berdasarkan status di laman sosial Muhammad Hanizam, Allahyarham serta beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu.

    Allahyarham menetap di Kuala Muda dan mengusahakan kedai makan dan pada masa sama menerima tawaran mengadakan persembahan.

    Muhammad Hanizam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.