Tag: Sultan Selangor

  • Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    PAS Selangor menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah ibadat bukan Islam bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dengan penuh tanggungjawab dan prihatin Tuanku Sultan mengingatkan rakyat negeri itu bahawa demi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah-faham tambahan, telah sedia ada undang-undang yang melarang penyebaran agama dan kepercayaan lain dikalangan umat Islam.

    Katanya, maka keputusan larangan oleh MAIS itu sangatlah tepat dan wajar.

    “Justeru atas kebijaksanaan titah Tuanku itu, Pas Selangor mengambil kesempatan ini menyeru semua umat Islam Selangor agar akur dan taat pada larangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dua minggu lalu, MAIS berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

    MAIS bagaimanapun menjelaskan program mempelajari agama lain selain Islam di gereja atau rumah ibadat agama lain memerlukan kawalan dan sekatan tertentu.

    Ini tegas MAIS, supaya memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam, selain tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

    Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata, sikap toleran dan saling hormat-menghormati sangat penting dan Pas Selangor akan pastikan tiada mana-mana pihak menganggu ketenteraman sedia ada.

    Katanya, Pas akan sentiasa menekankan aspek ini dan dalam waktu yang sama memastikan agar larangan pihak MAIS ini dipatuhi semua pihak.

    “Keharmonian antara agama dan kehidupan rukun damai di kalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum sangat penting demi kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.

  • Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.

    Bagaimanapun, baginda bertitah, kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

    “Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

    “Orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam upacara atau amalan sama ada di kuil atau gereja,” titah baginda menurut The Star.

    Sultan Sharafuddin percaya penganut Kristian juga tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao.

    Baginda turut mengimbau kisah silamnya ketika almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

    “Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

    “Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadat,” titah baginda.

    ‘Baca dan buat rujukan’

    Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

    Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

    Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira kaum supaya tidak menjadikan agama untuk mempopularkan diri mereka.

    Baginda bertitah, larangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Mais.

    “Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini,” titah baginda.

    Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa umat Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titah baginda.

  • Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

    Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Khamis lepas. 

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah semasa pertemuan tersebut bahawa pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

    Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

    Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

    Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. – BERNAMA

  • Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan meneliti nama-nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang tidak mahu divaksin dan menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

    Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di Selangor menghadiri sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

    “Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

    “Titah baginda apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” menurut kenyataan itu.

    Sultan Selangor bertitah pelbagai inisiatif dan cara dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama demi kesejahteraan dan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.- BERNAMA

  • Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    Senarai individu enggan divaksin dipersembah kepada Sultan Selangor

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia susulan terdapat kalangan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

    “Saya telah dititahkan oleh Tuanku semalam untuk melaporkan segala fakta tentang program hari ini khususnya mengenai sesiapa yang tidak dan enggan hadir, untuk baginda meneliti dan membincangkan apa tindakan lanjut yang harus diambil,” katanya pada sidang media dalam program vaksinasi khas JAIS hari ini yang dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

    Mohd Shahzihan berkata daripada 146 individu yang hadir setakat 11 pagi tadi, hanya 20 peratus daripada jumlah itu bersetuju untuk mendapatkan suntikan dos pertama.

    Menurut beliau jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah seramai 872 individu daripada kalangan guru KAFA, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah.

    Sementara itu, Dr Sha’ari berkata jika individu yang enggan menerima vaksin hari ini terbuka hati untuk mendapatkan suntikan kelak, mereka boleh hadir ke 53 klinik kesihatan dan 10 hospital yang tersenarai di Selangor untuk mendapat suntikan secara jumpa terus (walk-in).

    Katanya pihaknya bersetuju untuk mengadakan program vaksinasi khas seperti yang dijalankan hari ini jika kelompok tersebut bersedia menerima suntikan dalam jumlah yang ramai.

    Pada 3 Sept lepas JAIS memaklumkan pihaknya bersama JKNS akan melaksanakan program vaksinasi khas bagi guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan menerima vaksin COVID-19.

    JAIS memaklumkan perkara tersebut susulan titah Sultan Sharafuddin mengingatkan guru KAFA di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin COVID-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan menasihati usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan yang sedang dihadapinya.

    Mohd Shahzihan berkata jika Muhammad Sajjad takut untuk pulang ke Malaysia susulan dakwaan menerima ugutan bunuh daripada mana-mana pihak, dia boleh membuat laporan polis agar siasatan berhubung perkara berkenaan dapat dijalankan.- BERNAMA

  • Individu lengkap vaksinasi:Jangan ambil mudah, rasa kebal – Sultan Selangor

    Individu lengkap vaksinasi:Jangan ambil mudah, rasa kebal – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 agar tidak mengambil mudah dan berasakan diri mereka kebal daripada jangkitan wabak itu.

    Justeru, baginda menyeru agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menjalani kehidupan norma baharu bagi membantu kerajaan menangani wabak COVID-19.

    “Amalkan pemakaian pelitup muka apabila keluar rumah dan pastikan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

    Sultan Selangor juga berharap rakyat negeri ini memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh KKM.

    “Ahli-ahli Yang Berhormat semua perlu memainkan peranan untuk menasihati rakyat agar segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 supaya Selangor boleh mencapai imuniti kelompok pada tarikh yang disasarkan,” titah baginda.

    Baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara khususnya di Selangor dan berasa amat sedih serta dukacita melihat setiap hari negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian COVID-19 paling tinggi di Malaysia.

    “Beta tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit COVID-19 ini,” titah baginda.

    Namun pada hemat baginda, peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat COVID-19 berlaku disebabkan kelalaian terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara. 

    “Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah meninggal dunia akibat COVID-19 tidak dapat dikembalikan. Apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita melangkah ke hadapan dengan penuh positif dan mengharapkan kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak diulangi semula,” titah baginda.- BERNAMA

  • Sultan Selangor tarik balik kurniaan kepada pegawai kerajaan, ahli politik terlibat rasuah

    Sultan Selangor tarik balik kurniaan kepada pegawai kerajaan, ahli politik terlibat rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

    Menerusi kemas kini dalam Facebook Selangor Royal Office, dalam pertemuan selama dua jam itu, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes-kes rasuah di Selangor.

    Selain itu, baginda turut diberi taklimat berhubung perkembangan terkini kes-kes rasuah di negeri ini.

    “Baginda berharap SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” demikian menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

    Hadir sama sewaktu pertemuan tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

    Sementara itu, menerusi kemas kini berkenaan, Sultan Sharafuddin juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah dapat disegerakan dan mahkamah tidak melayan sebarang penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.

    Ini berikutan baginda berpendapat rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes berlarutan terlalu lama.

    “Baginda menyasarkan agar budaya rasuah di negeri ini dapat dibanteras dengan sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” katanya.

    Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

    Titah baginda, kurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor bagi pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang didapati bersalah dalam rasuah akan ditarik balik.