Tag: Sultan Kelantan

  • Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    SEORANG anggota Dewan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingati jasa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan memberi pengampunan diraja kepada beliau, ketika kerajaan bertegas tidak akan memberikan royalti minyak 5% kepada Kelantan dan Terengganu.

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, Sultan Muhammad ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membebaskan Anwar yang ketika itu dipenjarakan atas kesalahan liwat.

    Justeru, Anwar digesa menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

    “Kawasan joint-development area, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

    “Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

    “Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja, sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

    Menurut Marzuk, Sultan Muhammad juga pernah menitahkan agar hasil bumi itu dapat didaratkan di Kelantan yang telah menyiapkan zon industri petroleum di Pantai Bachok sejak 1990.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum kerana negeri tersebut hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika, menurut Akta Laut Wilayah 2012.

    Sementara itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata deposit gas dan minyak di negara ini melangkaui jarak tersebut.

    Tambahnya, 50% dana pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2023 diberikan kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah selain Sabah dan Sarawak.

    Terdahulu, Perikatan Nasional PN pernah menjanjikan pembayaran penuh royalti minyak kepada Kelantan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

  • Sultan Kelantan harap kadar pemberian vaksin dipercepat

    Sultan Kelantan harap kadar pemberian vaksin dipercepat

    Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan hasrat agar kadar pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat khususnya di negeri Kelantan dapat dipercepatkan.

    Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata baginda menzahirkan hasrat berkenaan agar rakyat negeri ini dapat mencapai imuniti kelompok sekali gus membolehkan rakyat untuk kembali keluar mencari sumber pendapatan seperti sediakala.

    Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan perasaan teruja dan sangat gembira melihat rakyat Kelantan yang telah ramai mendaftar untuk menerima vaksin.

    “Pada masa sama baginda memahami kekangan yang dihadapi oleh rakyat…ada yang terpaksa menunggu masa terlalu lama bagi mendapatkan tarikh janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

    “Keprihatinan baginda sekali lagi diterjemahkan melalui titah baginda supaya Istana Balai Besar terus dibuka kepada rakyat sebagai tempat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Balai Besar di sini hari ini.

    Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kurniaan Sultan Muhammad V serta Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra kepada semua ketua jajahan di Kelantan sebagai simbolik penerimaan untuk diagihkan kepada rakyat terpilih yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

    Sumbangan berkenaan membabitkan sebanyak 1,600 bakul makanan yang akan diserahkan kepada setiap 10 jajahan termasuk 100 bakul untuk jajahan kecil Lojing.

    Sementara itu, Tengku Azmi berkata setakat hari ini seramai 3,386 orang telah menerima suntikan vaksin dan 1,800 orang lagi akan menerima vaksin bermula hari ini hingga 19 Ogos menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Istana Balai Besar anjuran Pejabat Sultan Kelantan.

    Katanya, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif seramai 5,186 orang menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Sultan Kelantan.

    “Namun begitu, pihak urus setia program pemberian vaksin COVID-19 anjuran Pejabat Sultan Kelantan ingin menegaskan bahawa penerima vaksin yang terpilih adalah mereka yang telah mendaftar melalui Pejabat Sultan Kelantan serta yang telah melepasi saringan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Perlu diambil perhatian juga bahawa pendaftaran secara ‘walk-in’ tidak akan diterima bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan berlakunya kesesakan,” katanya.

    Beliau berkata Sultan Muhammad V serta Tengku Muhammad Faiz Petra juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga untuk memastikan Malaysia khususnya negeri Kelantan bebas daripada penularan COVID-19.

    “Baginda turut berdoa agar seluruh barisan hadapan yang sedang berjuang serta tidak mengenal erti penat lelah berkhidmat untuk masyarakat, diberikan kekuatan oleh Allah SWT bagi meneruskan perjuangan ini,” katanya.- BERNAMA