SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan agar pegawai dalam Kor Gerak Khas tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu dalam pasukan berkenaan.
Titah baginda, baginda sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.
“Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu.
“Penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan. Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu.
“Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada Kor lain,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan GGK.
Sultan Ibrahim menyuarakan perkara itu bagi mengukuhkan Kor Gerak Khas dengan berpendapat perancangan sumber manusia yang lebih tersusun perlu dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan supaya tidak ada pihak yang memandang pasukan GGK sebelah mata.
“Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titah baginda.
PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor dan Sultan Selangor memiliki kekayaan menerusi pelbagai penglibatan dalam aktiviti-aktiviti korporat.
Tunku Ismail berkata, hak milik kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor itu adalah pelaburan dalam aktiviti korporat dan bukan monopoli beras, monopoli gula, monopoli tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan, konsesi swasta dan banyak lagi.
“Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.
“Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada sepuluh Raja-Raja Melayu. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899
Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” kata Tunku Ismail dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor, hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan sebahagian sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk kepada Perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.
“Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan. Perlembagaan negeri masing-masing berbeza-beza,” ujar Hassan.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa
dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.
“Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat hingga kering,” ujar Tunku Ismail.
Tunku Ismail berkata, setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899 yang dilakukan Kesultanan Johor.
“Ini dilakukan sejak dari pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, telah mendermakan semua elaun peruntukan kerajaan negeri kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” kata Tunku Mahkota Johor.
Menurut Tunku Ismail, satu kenyataan ada dimuat naik Royal Press Office (RPO) dalam Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke Yayasan Sultan Iskandar.
“Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda dari kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.
“Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, tetapi juga memberikan bantuan ketika bencana alam dan juga memberikan dana untuk pendidikan,” kata Tunku Ismail.
Tunku Mahkota Johor berkata, peruntukan untuk yayasan Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu.
Baginda mengurniakan darjah itu yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor, Ashari Kasnan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), On Jabbar @ Ja’afar dan Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Suhailizan Suliman turut dikurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datin Paduka.
Majlis pengurniaan darjah kebesaran yang diadakan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor itu berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di Johor Bahru, Johor hari ini.
Turut berangkat sama ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat orang individu.
Penerima SIJ ialah Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Norliyati Md. Noor; Setiausaha Bahagian ICT@Johor, Ungku Suzana Ungku Mohammad.
Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yosree Ikhsan turut menerima SIJ.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru, semalam.
“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Pertemuan bersama-sama Sultan Johor itu berlangsung selama hampir sejam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.
“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.
“Saya pegang kata-kata Datuk Seri Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.
Sultan Johor bertitah supaya sentiasa mengutamakan nasib rakyat, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.
“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.
“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.
“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Seri Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu.
Baginda mengurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Amir Nasruddin; Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan bekas Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil juga dikurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datin Paduka.
Majlis pengurniaan darjah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini .
Turut hadir Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.
Penerima SIJ ialah Pegawai Daerah Tangkak, Mohammed Shakib Ali; Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Abu Bakar Abd. Aziz; Pengarah Perangkaan Johor, Wan Mohd. Shahrulnizam Wan Mohd. Najuri dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Maimunah Othman.
KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya perlu merangka satu pelan pembangunan pelancongan negeri Johor yang sistematik untuk tempoh jangka masa panjang bagi menarik lebih ramai pelancong.
Saranan itu dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah, Johor merupakan antara destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Titah baginda, setiap daerah di Johor mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri, termasuk keindahan pulau-pulau di Mersing.
“Terdapat banyak lokasi menarik di Johor yang boleh dikunjungi pelancong dan pada masa sama, kementerian perlu memastikan setiap polisi dan insentif yang ditetapkan adalah konsisten bagi menarik lebih ramai pelabur serta pelancong.
“Saya menyentuh dan membincangkan pelbagai perkara bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar antaranya berkaitan sektor pelancongan negara dan Johor,” titah baginda dalam laman Facebook Sultan Johor hari ini.
Pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Santhara Kumar itu diadakan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru.
Baginda bertitah, antara yang turut dibincangkan dengan Ahli Parlimen Segamat itu adalah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang berpotensi menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke negara ini.
“Pelan pembangunan itu juga penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan di setiap daerah serta mempromosikan produk-produk keluaran tempatan,” titah baginda lagi.
Johor kini mula dikunjungi pelancong dari luar negeri ke destinasi-destinasi menarik sejak kelmarin selepas kebenaran rentas negeri diberikan oleh kerajaan pada Isnin lalu.
Cuti hujung minggu pertama selepas tiada lagi sekatan pergerakan antara negeri itu merancakkan kembali aktiviti pelancongan negeri itu yang sekian lama berdepan kesukaran ekoran pandemik Covid-19.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.
Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.
“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?
“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini,
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan kerajaan negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan Persekutuan.
Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis kelmarin selepas mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam laman sosial Twitter miliknya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada pukul 9.25 malam, Jumaat lalu.
“Pada 8 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan di akaun Twitter bernama zion74rey@reymizion74 pada pukul 2.03 petang.
“Hantaran berkenaan mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, suspek yang bekerja sebagai pengecat kereta sambilan itu bagaimanapun dilepaskan setelah keterangannya diambil bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, lelaki berkenaan juga mempunyai dua rekod lampau bersabit kes ceroboh dan khianat.
Katanya, polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat ciapan berkenaan termasuk satu unit komputer, satu telefon bimbit dan satu unit adapter.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ayob Khan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyalah guna media sosial dengan membuat hantaran yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
UMURNYA baru 8 tahun, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi Krishh Haran Nair untuk mengumpulkan sejumlah RM7,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sekaligus menjadikan dia penyumbang termuda buat yayasan berkenaan.
Kejayaan Krishh itu telah menarik perhatian serta pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim menzahirkan kekagumannya dengan bertitah bahawa tindakan kanak-kanak itu adalah satu inspirasi buat masyarakat dan boleh dijadikan contoh ikutan.
“Saya berasa berbangga dengan kanak-kanak lelaki ini dan ibu bapa mereka kerana telah membesarkan seorang anak yang cerdik dan baik hati.
“Kamu adalah inspirasi kepada orang lain dan seharusnya menjadi ikutan ramai. Saya berterima kasih dengan usaha yang kamu lakukan untuk membantu orang lain yang memerlukan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Krishh menghabiskan tempoh satu bulan untuk menulis kisah ringkas bertajuk ‘A Mysterious War to the Deep’ yang merupakan satu tugasan atas talian diberikan oleh gurunya, Alicia Bailey.
Hasilnya kemudian ditukarkan dalam format e-buku dan juga versi cetakan dengan bantuan ibu bapanya selepas dia memaklumkan mahu menjual karya berkenaan untuk mengutip wang bertujuan untuk menyumbang kepada pihak memerlukan.
Bapa kanak-kanak itu, N. Ramakrishnan berkata, anaknya sentiasa mempunyai perasaan belas ihsan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Semasa kecil, dia selalu meminta kami membantu golongan gelandangan dan akan menangis sehinggalah kami melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya.
KESEMPITAN hidup 99 ahli Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura mendapat perhatian Sultan Johor.
Pengerusi PMPPB, R Thiagarajan berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan barang keperluan harian kepada mereka yang semuanya merupakan pemandu bas dan ketika ini hilang punca rezeki.
Menurut beliau, industri pengangkutan melibatkan perkhidmatan bas sememangnya menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19.
“Sebilangan besar pengusaha serta pemandu bas hilang punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Ramai pemandu bas yang berpengalaman telah berputus asa dan berpindah ke bidang lain, jadi bantuan ini amat membantu untuk ahli-ahli kami yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penyerahan sumbangan tersebut turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Jumaat.
Thiagarajan berkata, dalam usaha memastikan ahli persatuan itu masih dapat mencari rezeki dalam tempoh mencabar ini, pihaknya telah memperkenalkan Inisiatif Progam Bas Mobil Vaksinasi.
“Inisiatif ini dilaksana dalam usaha membantu ahli menjana pendapatan sambil membantu kerajaan melaksanakan program vaksinasi dengan lebih mudah dan cepat, terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pihak yang memerlukan.
“Saya mewakili ahli persatuan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan atas jasa baik baginda,” ujarnya.