Tag: Srikandi Bersatu

  • Rina jelaskan tiada rakan komponen PN hadir PAT Srikandi Bersatu

    Rina jelaskan tiada rakan komponen PN hadir PAT Srikandi Bersatu

    KETUA Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ketiadaan wakil rakan komponen Perikatan Nasional (PN) menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap parti itu di ibu negara, hari ini, berikutan mereka ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan enam pertuduhan.

    Menurutnya, wakil rakan komponen PN sebaliknya akan menghadiri majlis utama PAT, Ahad ini.

    “Kami menjangka jumlah perwakilan wanita akan turut bertambah sekali ganda berbanding 651 orang pada hari ini,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya semasa ditanya media berhubung ketiadaan wakil parti komponen PN dilihat pada perhimpunan berkenaan.

    Ditanya sama ada pendakwaan terhadap Presiden Bersatu itu menjejaskan fokus perwakilan dan ahli Srikandi, Rina menegaskan, kes berkenaan sebaliknya menaikkan semangat juang mereka.

    “Sudah tentu kami bimbangkan beliau yang dianggap sebagai ‘Abah’, namun apa yang berlaku kini telah meningkatkan semangat juang kami,” katanya.

    Pada PAT kali ini, perwakilan Srikandi Bersatu akan membincangkan isu ekonomi, sosial, pendidikan dan politik negara.

    Rina berkata, antara isu yang menjadi fokus perwakilan kali ini ialah meningkatkan keupayaan ekonomi wanita melalui program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta keusahawanan.

    “Apabila kos sara hidup meningkat, perkara yang perlu dilakukan ialah menaikkan keupayaan membeli dalam kalangan pengguna. Antara yang cara dilihat boleh membantu meningkatkan ekonomi wanita adalah menerusi bidang keusahawan,” katanya.

    Selain itu, Rina berkata, perwakilan juga akan berbincang mengenai undang-undang berkaitan wanita, hak golongan itu dan masalah depresi atau kemurungan dalam kalangan mereka.

    PAT Srikandi Bersatu 2022 yang bermula tengah hari tadi dijangka tamat lewat malam nanti, manakala majlis penutup dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

    Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan, meliputi empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terbabit dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    PRN: Srikandi perlu kerja lebih keras pastikan kemenangan PN – Rina

    SRIKANDI Bersatu perlu bekerja lebih keras dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata selain itu, ahli dituntut untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan.

    “Terima kasih kepada Srikandi yang masih setia bersama parti sepanjang berlaku kemelut politik. Srikandi akan terus berdiri gagah dan pastikan Bersatu terus relevan selamanya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Srikandi di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022, yang bermula hari ini dengan Perhimpunan Agung Srikandi, menyaksikan buat pertama kali tiada perasmian serentak bagi sayap itu dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ia susulan terdapat pindaan terhadap perjalanan perhimpunan tiga hari itu berikutan perkembangan semasa membabitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Perhimpunan Armada pula akan berlangsung esok.

    Selain itu, ucapan dasar presiden sekali gus merasmikan perhimpunan agung parti yang dijadual berlangsung pada 8 malam esok, ditiadakan dan digantikan dengan perhimpunan serta ceramah umum di Pusat Tarbiyah PAS Pusat di Gombak, Selangor. – BERNAMA

  • Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan

    Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan

    SENARAI nama calon Srikandi BERSATU untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

    Mereka yang disenaraikan adalah dalam kalangan profesional dan berkaliber, bukan setakat ahli Srikandi yang berusia lebih 35 tahun, malah dalam kalangan pemimpin Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun.

    Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau diamanahkan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun untuk melengkapkan senarai nama sebelum dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi sayap berkenaan.

    “Kami akan bincang dan bawa kepada Presiden BERSATU antara esok hingga hujung minggu untuk dimuktamadkan. Oleh sebab ada beberapa negeri tidak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi nama itu setakat babit negeri yang bubar DUN, selain peringkat Parlimen,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, berkata, calon Srikandi bukan setakat profesional, malah komited untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat sama ada di DUN atau Parlimen, selain sumbangan kepada usaha BERSATU untuk menang PRU-15.

    Enggan mendedahkan jumlah nama itu, beliau berkata, meskipun baharu berusia enam tahun, BERSATU komited untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti melalui konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bumiputera.

    “Saya yakin calon Srikandi akan turut diberikan keyakinan oleh pengundi untuk mewakili rakyat di DUN dan Parlimen kerana selama ini pun, wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kemampuan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15 tidak lama lagi.

    Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, jika diberikan keyakinan untuk memikul tugas berkenaan, beliau sedia menghadapi cabaran calon lawan, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disebut-sebut bakal mewakili BN di kerusi Parlimen itu.

  • PRN Johor: Srikandi Bersatu serah 15 nama calon

    PRN Johor: Srikandi Bersatu serah 15 nama calon

    SEBANYAK 15 nama telah diserahkan oleh Srikandi Bersatu untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Memetik laporan FMT, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau berharap mereka diberi peluang sewajarnya

    “Kita sudah serahkan nama 15 calon wanita untuk PRN Johor.

    “Terserah kepada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai, di Petaling Jaya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

    Rina berkata, jentera parti juga sudah digerakkan untuk menghadapi PRN Johor yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Feb nanti.

    “Kami di Srikandi akan menunggu ‘signal’ (isyarat) dari pucuk pimpinan untuk langkah seterusnya.

    “Di peringkat Srikandi pula, kami juga telah bermesyuarat. Jentera parti telah digerakkan,” jelasnya.

  • Srikandi Bersatu hantar nama enam calon PRN Melaka

    Srikandi Bersatu hantar nama enam calon PRN Melaka

    SRIKANDI Bersatu menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, nama-nama calon dari parti itu, yang terdiri dari anak tempatan dan muka baharu, telah diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

    “Kami harap akan diberi peluang kepada Srikandi untuk menjadi calon, dan bukan sekadar calon tapi yang boleh menang dan dapat berkhidmat untuk rakyat di Melaka.

    “Pada masa ini tiada wakil rakyat daripada Srikandi di Melaka, jadi semua (calon) muka baharu,” katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mobil di Puchong, hari ini.

    Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Ketua Wanita PN itu berkata, setakat ini perkara berkenaan masih belum diputuskan.

    “Kita serahkan juga nama calon lain (wanita) daripada PN dan kami harap ia akan mendapat sokongan dari semua supaya lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan wanita, dan saya yakin jika diberi peluang mereka dapat menjalankan tugas dan tanggunggjawab dengan baik.

    “Jumlah (calon) belum ditentukan kerana ada beberapa menuntut kerusi antara parti dan ia masih lagi dalam proses,” katanya.

    Sementara itu, Rina berkata, empat PSSS bergerak yang mula beroperasi tahun ini berfungsi memberikan perkhidmatan sosial secara holistik kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.

    Beliau berkata, pada masa ini tumpuan diberikan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana pihaknya mendapati banyak kes berkaitan masalah psikososial dilaporkan di kawasan berkenaan.

    “PSSS bergerak ini beroperasi selama enam hari seminggu dan buat masa sekarang kita fokus pada kawasan yang berkepadatan tinggi supaya kita lebih dekat dengan masyarakat. Selain itu, sekiranya ada permintaan daripada penduduk setempat untuk kami memberikan perkhidmatan di kawasan mereka, kami akan cuba penuhi.

    “Pusat ini diwujudkan bagi tujuan membantu menangani isu-isu psikososial yang semakin menular dalam masyarakat. Perkhidmatan yang disediakan seperti kaunseling secara bersemuka atau dalam talian, khidmat nasihat dan bimbingan, intervensi serta khidmat perlindungan sementara,” katanya.

    Beliau berkata, RM21 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan tujuh PSSS tahun ini, iaitu tiga PSSS statik atau premis di Kelantan, Johor serta Selangor dan empat lagi PSSS bergerak termasuk satu pejabat satelit di Kuala Lumpur.

    Rina berkata, pihaknya juga menerima peruntukan RM4.5 juta di bawah Bajet 2022 yang akan digunakan bagi menambah baik PSSS sedia ada, dan membuka tiga PSSS bergerak yang baharu tahun hadapan.

    Kurang daripada sebulan beroperasi, beliau berkata, PSSS telah menerima 30 aduan berkaitan masalah emosi dan tekanan akibat ekonomi.

    “Dalam keadaan sekarang, yang dekat dengan rakyat adalah komuniti. Kami berharap PSSS ini akan menjadi tempat rujukan setempat sekiranya mereka ada aduan, ia macam pusat sehenti yang membantu rakyat berkaitan isu-isu emosi dan psikososial.

    “Ini adalah inisiatif kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat yang rakyat boleh terus datang,” katanya. – BERNAMA