Tag: SPRM

  • SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada syarikat pengiklanan.

    Sumber SPRM berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek lelaki berusia 44 tahun sejak 2017 hingga tahun lepas sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek pembekalan pelekat.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor, katanya.

    Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

  • Ahmad mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan

    Ahmad mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan

    AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pada 21 Jan 2020, Setiausaha Agung UMNO itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahmad didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh beliau pada hari sama.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di Kuala Lumpur antara pukul 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

    Kes itu bagaimanapun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen.

    Mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutamanya dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

  • Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    Seleweng wang: SPRM tahan bekas pegawai Ahli Parlimen

    RIZQI ZABIDI

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai kepada Ahli Parlimen di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan wang berjumlah RM140,600.

    Menurut sumber, lelaki berusia 43 tahun itu dan pernah memegang jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

    “Lelaki itu ditahan susulan aduan dibuat terhadapnya yang mendakwa dia menggunakan tujuh invois palsu untuk menuntut bayaran bagi pelbagai kerja dan pembekalan.

    “Tuntutan dibuat itu bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000,” katanya.

    Tambah sumber itu lagi, wang yang diseleweng itu dipercayai merupakan peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri bagi kawasan Parlimen tersebut.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku antara Ogos 2019 hingga Januari 2020.

    “Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dilakukan pihaknya.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

  • SPRM: Jurutera, Penolong Jurutera antara lima ditahan kes rasuah

    SPRM: Jurutera, Penolong Jurutera antara lima ditahan kes rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.

    Sumber SPRM berkata dua lagi yang ditahan adalah penolong jurutera jabatan kerajaan, manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor, dan kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara pukul 1.30 tengah hari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Katanya sekitar tahun 2019 hingga tahun lepas, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

    “Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek itu, namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

    “Sementara itu seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan itu,” katanya.

    Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Semua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada pukul 9 pagi esok untuk permohonan reman.- BERNAMA

  • Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Menurut sumber, individu berusia 20 tahun itu telah memberi rasuah berjumlah RM2,500 kepada seorang anggota polis di sekatan jalan raya snap check, susur Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Jalan Bakar Batu di sini pada 5 Ogos lepas.

    “Individu itu ditahan selepas dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan, lelaki berkenaan memberikan wang rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan tangkapan ke atasnya yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

    Sehubungan itu, individu terbabit ditahan pada 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu. – BERNAMA

  • Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Oleh:Bernama

    SEORANG pemilik syarikat kontraktor dan seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan kelulusan kerja-kerja MBIP dengan nilai tuntutan lebih RM350,000.

    Menurut sumber, kelulusan kerja-kerja MBIP itu melibatkan kerja mengikis permukaan jalan dan menurap semula jalan serta mengecat semula petak meletak kenderaan sepanjang 2018 hingga 2020.

    “Kedua-dua individu lelaki dan perempuan berusia 36 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang, semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Hasil siasatan mendapati penolong jurutera berkenaan telah bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya dengan mengemukakan dokumen dan sijil palsu,” menurut sumber itu di sini hari.

    Sumber mendedahkan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan yang mengandungi butir matan palsu itu dikemukakan kepada MBIP bagi mendapatkan kelulusan kerja.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Sementara itu, Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan permohonan reman ke atas kedua-dua individu bermula hari ini sehingga 14 Ogos depan.- BERNAMA

  • Tiada keperluan untuk PRK DUN Melor – SPR

    Tiada keperluan untuk PRK DUN Melor – SPR

    PERKARA 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menyebut, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

    Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.

    Justeru, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berdasarkan undang-undang tersebut, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, susulan penyandangnya Dr. Md. Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April lepas.

    “Sehubungan itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Md. Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.
    Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

  • Dakwaan ditawar wang, jawatan:SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP

    Dakwaan ditawar wang, jawatan:SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil tiga ahli Parlimen DAP yang mendakwa ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan supaya mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    SPRM Putrajaya dalam satu kenyataan memberitahu, pihakanya memandang serisu dakwaan itu

    “Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

    “SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan.

    Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

  • Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU undang-undang khusus termasuk hukuman kepada penjawat awam bagi mengekang budaya rasuah di negara ini perlu diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini termasuk pendekatan baharu yang lebih dinamik perlu dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) melibatkan isu audit prestasi, selain melaksanakan audit rutin berkala.

    Beliau berkata, pihak JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut bagi setiap agensi, jabatan atau anak syarikat.

    “Kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lepas tertumpu kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan.

    “JAN perlu lebih peka dengan meningkatkan strategi audit dan mewujudkan pendekatan atau program lebih berkesan bagi membanteras tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Jais, rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap menjadi antara yang terpenting.

    “Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam tersebut dinaikkan pangkat atau memohon sesuatu anugerah.

    “Walaupun hanya tindakan tatatertib tetapi ia cukup untuk memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan perspektif lain, SPRM perlu meneliti semula peruntukan dan mengatasi isu-isu teknikal yang berlaku.

    “Kita tidak mahu setelah banyak masa, tenaga, usaha dan bilangan pegawai SPRM yang ramai digunakan, namun keefektifan dan produktiviti dalam menguatkuasakan peruntukan sedia ada dipersoalkan umum.

    “Jika ia adalah kesalahan di bawah Akta SPRM, maka akta ini perlu diperkemaskan segera dengan peruntukan yang lebih relevan.

    “Jika tiada peruntukan di bawah Akta SPRM, perlulah dilihat di bawah undang-undang jenayah Kanun Keseksaan yang berkemungkinan ada keterangan menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan di bawah kesalahan penjawat awam dan peraturan lain, tegasnya.