Tag: SOSMA

  • Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    TIMBALAN Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang membenarkan penahanan untuk tempoh lama tanpa bicara.

    Beliau berkata, kerajaan sebaliknya berhasrat menambah baik undang-undang itu dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

    “Ia tiada dalam perancangan. Tetapi kita sedang melihat penambahbaikan,” katanya menurut Malaysiakini.

    Timbalan menteri itu berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan Sosma.

  • Penahanan salah: Khairuddin terima ganti rugi RM300,000

    Penahanan salah: Khairuddin terima ganti rugi RM300,000

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan ganti rugi RM300,000 untuk pengkritik 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma pada 2015.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian, selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan dakwaan penahanannya menyalahi undang-undang terhadap kerajaan.

    Tetapi, Quay menolak dakwaan Khairuddin terhadap kerajaan atas pendakwaan berniat jahat.

    Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman terhadap pegawai Bukit Aman, Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Habibi Majinji; serta Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar untuk menuntut ganti rugi atas penahanan salah.

    Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Masri Daud, bekas peguam kanan persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas peguam negara, Apandi Ali dan kerajaan.

    Khairuddin berkata, beliau ditahan pada 18 Sept 2015 di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan terbabit aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

    Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula di bawah Sosma pada 23 Sept 2015 dan ditahan sebelum didakwa pada 12 Okt 2015 atas dakwaan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kewangan negara.

    Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mendakwa tindakan polis terhadapnya berniat jahat, mencabul hak kebebasannya dan mencemarkan nama baik serta imejnya sebagai ahli politik.

  • Dewan Negara lulus usul lanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA

    Dewan Negara lulus usul lanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA

    SIDANG Khas Dewan Negara hari ini meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

    Usul dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

    Ketika membentangkan usul itu, Hamzah berkata, Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

    Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

    Hamzah ketika menggulung perbahasan usul itu menafikan pelanjutan subseksyen itu membolehkan berlakunya penindasan mahupun kezaliman terhadap tahanan.

    Hamzah berkata, hak asasi individu, hak berjumpa peguam dan hak supaya waris dimaklumkan mengenai tangkapan berkenaan sudah sedia ada dalam akta itu.

    “Seksyen 5 SOSMA memperuntukkan hak kepada suspek untuk dimaklumkan sebab tangkapan. Kita tangkap dan kita maklumkan kepada dia sebab apa (ditangkap).

    “Kemudian, hak suspek untuk berjumpa peguam, ada dalam akta itu sendiri. Hak untuk dimaklumkan kepada waris kadim, juga ada. Selain itu, suspek juga diberikan hak untuk dibicarakan di mahkamah di bawah Seksyen 12 SOSMA,” katanya.

    Seramai 24 Senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul berkenaan.

    Semalam, usul itu diluluskan Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir. – BERNAMA

  • 31 MP kerajaan tak hadir undi usul subseksyen SOSMA, mereka pergi mana?

    31 MP kerajaan tak hadir undi usul subseksyen SOSMA, mereka pergi mana?

    MEMANG mengejutkan apabila usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

    Hanya perbezaan dua undi yang menyebabkan usul tersebut ditolak. Sebanyak 84 undi menyokong berbanding 86 undi tidak bersetuju.

    Lebih mengejutkan, seperti yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    Seperti yang dilaporkan Malaysiakini hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa, seramai 31 penyokong kerajaan tidak hadir ketika pengundian dijalankan.

    Tidak perlu kita persoalkan ke mana 19 lagi Ahli Parlimen kerana kemungkinan besar mereka ialah wakil pembangkang.

    Kalau hadir sekali pun, mereka hanya menambah bilangan Ahli Parlimen yang menolak usul tersebut.

    Yang patut dipersoalkan adalah mengapa begitu ramai penyokong kerajaan tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu memasuki proses undi belah bahagian?

    Mungkin ada yang mempunyai sebab kukuh seperti dijangkiti COVID-19 atau menjadi kontak rapat sehingga menyebabkan terpaksa menjalani kuarantin kendiri.

    Setelah ditolak penyokong kerajaan yang tidak hadir dengan alasan sedemikian, jumlahnya pasti mencukupi untuk memastikan usul tersebut dapat diluluskan dan seterusnya dibentangkan ke Dewan Negara pula.

    Andainya tiga penyokong kerajaan hadir dan mengundi untuk bersetuju dengan usul yang penting itu, pasti kisah-kisah susulan seperti kononnya Memorandum Persefahaman (Mou) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah terbubar tidak timbul.

    Kegagalan meluluskan usul lanjutan subseksyen SOSMA sekali gus menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa berdepan kekangan dalam usaha membanteras anasir yang mengancam keselamatan negara seperti kumpulan militan dan pengganas.

    Apa yang lebih membimbangkan, situasi sama bakal berulang dan dikhuatiri boleh mencetuskan krisis Perlembagaan sekiranya berlaku sebelum belanjawan negara diluluskan.

    Kepada penyokong-penyokong kerajaan yang tidak hadir tanpa sebab yang kukuh petang semalam, ingatlah bahawa elaun bulanan yang mereka nikmati dibayar dengan menggunakan wang rakyat.

    Kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen boleh dianggap sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

    Kerajaan sudah bayar elaun mereka dengan menggunakan wang rakyat, buatlah kerja betul-betul demi menghalalkan pendapatan yang diterima.

  • Dewan Rakyat tak lulus usul lanjut Subseksyen 4 (5) SOSMA

    Dewan Rakyat tak lulus usul lanjut Subseksyen 4 (5) SOSMA

    USUL lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

    Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

    Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

    “Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.

    Kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen itu disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

    Terdahulu, seramai 16 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu, dengan rata-rata blok pembangkang yang tidak bersetuju atas alasan khuatir pelanjutan subseksyen berkenaan disalah guna bagi tujuan politik.

    Menjawab perkara itu, Hamzah berkata, ia hanyalah persepsi negatif yang tidak benar, memandangkan Subseksyen 4 (3) akta itu dengan jelas menyatakan, tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen berkenaan, hanya kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

    “Maka tidak timbul tentang isu politik yang disalah guna PDRM. Pada hemat saya, saya tak percaya bahawa PDRM berpolitik dalam mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa SOSMA 2012 tidak akan dihapuskan, kerana ia amat baik demi menjaga keselamatan negara, sebaliknya hanya perlu ditambah baik.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA