Tag: solat Jumaat

  • Solat Jumaat: Saf kembali rapat, SOP kekal terpelihara

    Solat Jumaat: Saf kembali rapat, SOP kekal terpelihara

    IMAM solat di masjid-masjid di seluruh negara hari ini kembali kepada amalan biasa, mengingatkan para jemaah untuk merapatkan saf sebelum solat Jumaat bermula, susulan negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula hari ini.

    Umat Islam dibenar merapatkan saf setelah lebih dua tahun mereka menunaikan solat dengan jarak fizikal, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Bagaimanapun tinjauan Bernama di Masjid Khalid Bin Al-Walid di sini mendapati, masih terdapat jemaah yang menghampar sejadah sedikit jarak daripada jemaah lain, mungkin kerana terbiasa selepas dua tahun melalui susana penjarakkan fizikal ketika solat berjemaah.

    Para jemaah hanya benar-benar merapatkan saf masing-masing, apabila diingatkan imam masjid itu berkenaan untuk berbuat demikian, dengan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, bermula 1 April aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

    Di PUTRAJAYA, umat Islam yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan dan penduduk setempat mendirikan solat Jumaat berjemaah dengan saf dirapatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dengan diimamkan Ustaz Rodhi Abd Ghani.

    Para jemaah mula hadir di masjid berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat, dan turut kedengaran peringatan dibuat pihak pengurusan masjid kepada jemaah yang hadir untuk terus mematuhi SOP solat berjemaah secara berkala.

    Terdahulu ketika ditemui Bernama hari ini, Rodhi menyifatkan kebenaran rapat saf bagi solat berjemaah merupakan suatu berita yang dinanti-nantikan umat Islam negara ini.

    Di MELAKA, solat Jumaat di Masjid An-Naim, Durian Tunggal di Alor Gajah, ratusan jemaah mula hadir ke masjid berkenaan seawal pukul 12.30 tengah hari, dengan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka selain membawa sejadah sendiri disusuli dengan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal satu meter.

    Di KELANTAN, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Tengku Razaleigh, Gua Musang, hari ini.

    Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkata, masjid perlu diangkat sebagai sebuah institusi penting dalam masyarakat, kerana ia didirikan merentasi kefahaman dan ideologi pemikiran tertentu.

    “Pihak jawatankuasa masjid perlu merancang dan melaksanakan program yang boleh membantu meningkatkan semangat ukhwah islamiyah dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh kepada MAIK, di sini hari ini.

    Di TERENGGANU, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, M Rozi Bidin berkata, sejak semalam semua ahli jawatankuasa di 509 masjid dan 1,546 surau di negeri itu telah membuat persediaan untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu tanpa penjarakan fizikal.

    Seorang jemaah solat Jumaat Kamaruddin Azizan, 45, ketika ditemui Bernama di Masjid Seberang Takir di Kuala Nerus menzahirkan rasa syukur dan sebak kerana selepas dua tahun akhirnya dia dapat menunaikan solat dengan saf rapat.

    Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram mendapati jemaah menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal dengan mengikut SOP yang ditetapkan dan mereka melahirkan rasa syukur kerana lebih ramai dapat solat berjemaah bermula hari ini.

    Seorang jemaah, Mohd Jalil Abdul Rahman, 55, berkata kehadiran orang ramai untuk solat Jumaat hari ini lebih ramai berbanding sebelum ini, kerana jemaah tidak perlu lagi mengikut penjarakan fizikal dan boleh merapatkan saf.

    Di PERAK, sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat secara rapat saf di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini dan telah memenuhi segenap ruang di dalam dan luar masjid seawal waktu lagi, dalam suasana pematuhan SOP yang ditetapkan, selain imam masjid memesan jemaah merapatkan saf.

    Di PAHANG, Imam Masjid Tepian Putra, Kuantan Mohd Zulkarnain Shamsudin berkata jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat, selain mengenakan pelitup muka, meskipun kelonggaran merapatkan sejadah tanpa sentuhan fizikal telah diberikan.

    Di PERLIS, seorang jemaah di Masjid Nurul Naim Felcra Lubuk Sireh, di sini, Khairil Azrizal Bahari, 40, ketika ditemui berkata setelah dua tahun negara dilanda COVID-19, beliau kini berpeluang membawa anaknya ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat setelah anaknya Muhamad Nabil Akalil, 12, sering bertanyakan untuk solat Jumaat di masjid.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, kira-kira 1,500 jemaah membanjiri perkarangan masjid sejak pukul 12.30 tengah hari tadi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di Masjid Negeri, Seremban.

    Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri mendapati, umat Islam mula memenuhi masjid itu sekitar jam 12.30 bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah dengan saf dirapatkan hari ini.

    “Alhamdulillah bulan April kita mulakan dengan perkara yang baik. Sudah lama tidak merasa sembahyang dengan orang ramai memenuhi ruang masjid namun masih dalam SOP yang digariskan,” kata pesara kerajaan Samad Mahat, 70, ketika ditemui Bernama.

    Di KEDAH, seorang jemaah di Masjid Al Bukhary, Alor Setar, Hasanudin Ishak, 56, berkata, kebenaran merapatkan saf itu memberikan kelonggaran kepada jemaah, sekali gus menjadikan ruang solat yang lebih luas kepada jemaah yang hadir.

    Di SABAH, tinjauan di beberapa masjid negeri ini di Kota Kinabalu antaranya Masjid Negeri Sabah dan Masjid At-Taqwa, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini mendapati solat Jumaat dilaksanakan menerusi SOP terbaharu ditetapkan. – BERNAMA

  • Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan – Sultan Selangor

    Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.

    “Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

    “Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing, manakala masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Selangor, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Official hari ini.

    Mengikut statistik, sehingga 27 Okt 2021, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

    Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor ketika beribadat di dalam masjid.

    Dalam masa sama, bagunda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 ini.

    “Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala dan beta tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.

    Baginda menzahirkan bahawa rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi ‘lockdown’ seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

    Untuk itu, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT, agar negeri dan negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka. – BERNAMA

  • Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    Sehingga 1,000 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid Selangor

    SERAMAI 1,000 orang jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam manakala 500 jemaah lagi untuk masjid lain di Selangor semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

    Ketetapan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu edaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kemudian.

    Menurut JAIS, had jemaah baharu itu termasuk pentadbir masjid dibuat selepas mengambil kira penurunan kes Covid-19 yang konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap, kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang signifikan.

    Katanya, untuk Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi, masing-masing ditetapkan seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat serta 300 jemaah untuk solat lima waktu.

    Selain itu katanya, bagi masjid pengurusan pula, adalah ditetapkan seramai 400 jemaah bagi solat Jumaat dan 300 jemaah solat lima waktu, manakala 350 jemaah untuk masjid kariah bersolat Jumaat dan 200 jemaah dihadkan bagi solat lima waktu.

    “Surau kebenaran solat Jumaat pula 250 jemaah dibenar untuk solat Jumaat, manakala 200 jemaah untuk solat lima waktu, sementara surau kariah dan musolla pula dibolehkan 100 jemaah bagi solat lima waktu,” kata edaran itu hari ini.

    Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

    Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

    “Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” kata edaran itu lagi.

    Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

    Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan.

  • Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    MASJID Putra di Putrajaya sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Penjelasan itu diberi susulan rakaman video yang tular dalam media sosial mendakwa berlaku layanan berbeza terhadap jemaah tertentu dalam menentukan kuota solat Jumaat di masjid berkenaan.

    Kenyataan penuh masjid berkenaan adalah seperti berikut:

    Masjid Putra Putrajaya merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September 2021 di Masjid Putra.

    Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di masjid ini sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini telah ditetapkan seramai 300 orang.

    Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang dtetapkan.

    Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak pukul 11 pagi untuk menunaikan solat
    Jumaat.

    Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak
    dapat memasuki masjid.

    Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

    Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan
    khidmat yang diberi.

    Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra. Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini.