Tag: Siti Nurhaliza

  • Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil langkah untuk ‘berguru’ dengan mentor usahawan terkenal, Datuk Dr. Azizan Osman bagi merangka transformasi serta memperkembangkan perniagaan SimplySiti yang diasaskannya sejak Mac 2010.

    Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau secara peribadi merasakan ilmunya masih kurang dan memerlukan bimbingan walaupun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang perniagaan.

    “Sepanjang dua hari saya berada dalam kelas Azizan, saya boleh rasakan yang saya perlukan beliau untuk lebih berkembang dalam dunia perniagaan. Jika dunia hiburan boleh dianggap sebagai ‘makanan’, namun dalam dunia perniagaan saya masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan.

    “Saya seronok dapat kembali menjadi pelajar. Dalam kelas ini, saya tak fikir yang saya seorang penyanyi atau selebriti sebaliknya merasa gembira kerana dapat sama-sama melakukan tugasan bersama ‘pelajar’ lain.

    “Sepanjang berada di sini, saya belajar memperbaiki diri. Saya sedar yang saya memiliki tanggungan di bawah iaitu individu yang bersama-sama memperjuangkan Simplysiti dan saya akan dapatkan ilmu itu bagi dikongsi bersama mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Keahlian Titanium Premier Partner (TPP) dan Watikah Penyedia Latihan Richwork di The Datai, Langkawi, Kedah, hari ini.

    Siti Nurhaliza merupakan individu pertama yang diterima untuk dibimbing dan menjadi rakan niaga strategik oleh Richworks sebagai TPP. Selain beliau, pasangan suami isteri, Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, Sabella turut menandatangani perjanjian sama.

    Dalam majlis itu juga Richworks turut mengumumkan pelantikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai rakan latihan bagi membimbing usahawan jutawan.

    Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menambah, Richworks dianggap sebagai universiti yang mampu mendidiknya untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.

    “Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam buku, keadaannya tidak sama di luar. Bukan senang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di luar dan saya dapati, Richworks memiliki kepakaran itu untuk membantu saya lebih berkembang.

    “Sebagai pemilik perniagaan, sudah tentu saya nak tembusi pasaran antarabangsa. Sebelum ini pun kita sudah masuk ke pasaran Indonesia namun terjejas akibat kedatangan pandemik Covid-19.

    “Dalam masa sama, saya mahu perkukuhkan dulu perniagaan ini sebelum mungkin menceburi perniagaan lain pula. Sebab itulah saya mahu kembali belajar bagi mendapatkan bimbingan di Richworks,” katanya.

    Dalam pada itu Azizan yang merupakan pengasas dan pengerusi Richworks berkata, beliau melihat empayar Simplysiti mampu melangkah lebih jauh memandangkan kekuatan yang ada pada Siti Nurhaliza sendiri selaku pengasas perniagaan tersebut.

    “Melalui perbincangan dijalankan, kita akan menstruktur dan merangka semula strategi untuk Simplysiti. Apa pun kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai esok pagi dan pastinya memerlukan masa.

    “Kita menetapkan untuk mencapai sasaran tertentu pada 2024, insya-Allah. Kita akan berusaha untuk memastikan perniagaan ini dapat dikembangkan ke luar negara termasuk di Indonesia yang memiliki pasaran cukup besar,” katanya.

  • Siti Nurhaliza bakal lancar single terbaharu kolaborasi bersama maestro Indonesia

    Siti Nurhaliza bakal lancar single terbaharu kolaborasi bersama maestro Indonesia

    PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal melancarkan ‘single’ terbaharu hasil kolaborasi bersama maestro muzik dari Indonesia dalam tempoh terdekat.

    Tanpa mendedahkan siapa pemuzik tersebut, beliau berkata single terbaharu itu adalah buah tangan buat peminat yang selama ini menyokong kariernya dan menggambarkan perjalanan Siti sepanjang tempoh 25 tahun dalam industri.

    “Kami dalam proses berbincang bersama beliau dan juga pihak Universal Music untuk projek istimewa ini sempena 25 tahun saya dalam industri.

    “Doakan supaya saya dapat lagu yang bagus dan ‘music arrangement’ yang hebat untuk hasilkan single yang terbaik,” katanya kepada media melalui sidang video selepas majlis sambutan ulangtahun kedua BeauSiti secara maya sebentar tadi.

    Siti juga mengesahkan bahawa DVD ‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ yang merupakan rakaman persembahan konsert jelajahnya di tiga buah negara pada tahun 2019 lalu juga bakal menemui peminat.

    Isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu setakat ini telah menghasilkan lebih daripada 20 buah album.

    Sementara itu, Siti berkata menerusi perniagaan BeauSiti, beliau mahu membantu mereka yang berminat menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup selain meningkatkan keyakinan diri berdepan dengan orang ramai dengan menyertai SitiZen.

    SitiZen adalah komuniti berdaftar yang menjalankan perniagaan bersama BeauSiti.

    “Selain menjadi usahawan berjaya, melalui SitiZen yang kini mencecah lebih dari 1,700 orang, saya juga mahu melahirkan lebih ramai jutawan. Impian saya agar perniagaan saya dapat berterusan sampai bila-bila dan dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

    Siti juga berkata syarikatnya dalam proses untuk berkerjasama dengan stesen-stesen minyak terpilih bagi memudahkan akses mendapatkan produk BeauSiti serta mengembangkan jenama tersebut ke pasaran Asia dan Timur Tengah menjelang 2026.

    Siti atau mesra disapa Tokti mengakui bukan mudah untuk mengekalkan momentum sebagai penyanyi dan usahawan apalagi di waktu pandemik ini, namun kesabaran yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental mendorong beliau untuk terus berusaha berada di tahap sekarang.

    “Jangan mengeluh dan selalu berbincang. Apapun keadaan, perlu ada jalan untuk menghadapi cabaran itu dengan cara yang positif. Bukan dengan rasa ‘give-up’ atau menyerah. Setiap masalah kita perlu tukar dengan penyelesaian secara yang terbaik,” katanya.

    Mengakui penjualan produk BeauSiti turut terjejas namun dijangka masih mencapai sasaran jualan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM10 juta bagi 2021.

    Sehingga September tahun ini, sebanyak 200,000 unit produk BeauSiti telah terjual dengan nilai penjualan mencecah RM7 juta. – Bernama