Tag: Sik

  • 13 Proton Wira buat bising disita

    13 Proton Wira buat bising disita

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS menyita 13 buah kereta Proton Wira setelah tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, Sik yang mengeluarkan bunyi bising kenderaan masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata; operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

    Selain Proton Wira yang disita dalam Op Bersepadu dan Samseng Jalanan itu, polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

    Tindakan mereka itu juga mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan dan polis bertindak berdasarkan maklumat yang diterima.

    “Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ,” katanya.

    Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu pula seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

    “Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (2 kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (1 kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes),” katanya.

  • Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH kereta ditemukan terbakar dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Kampung Tala, Sik Kedah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Saga itu terbabas sendiri di selekoh.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadap kereta itu menemukan satu beg plastik terbakar yang disyaki berisi daun ketum seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.

    Tambahnya, pemandu kenderaan itu tidak berada di lokasi kejadian.

    “Setakat ini kami masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu jurucakap bomba memaklumkan, kemusnahan kereta itu akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 90 peratus.

    “Kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan terbakar. Pemandu tiada di lokasi dan nombor pendaftaran kereta tidak diperolehi.

    “Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki jentera. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 pagi,” katanya.

  • Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan ucapannya yang didakwa menyentuh kemampuan wanita sebagai wakil rakyat di buat dalam konteks Parlimen Sik.

    Beliau yang mempertahankan kenyataan itu berkata, Sik masih memerlukan seorang ahli Parlimen lelaki untuk berkhidmat kecuali di kawasan-kawasan tertentu lain.

    “Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya (dan) dalam konteks Sik dengan geografi, sosio-ekonomi, sosio-budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

    “Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) PN di Padang Sera, Jerlun.

    Dalam ucapannya sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, UMNO memilih calon ‘betina’ di Sik walaupun terdapat lebih ramai ‘jantan’ dalam parti itu.

    Menurutnya, wanita tidak mampu untuk melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen di situ kerana kawasan yang luas, berkedudukan luar bandar serta memiliki ramai orang susah menyebabkan wakil rakyatnya akan diperlukan setiap masa.

    Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, sebagai penduduk yang tinggal lama di Sik, beliau lebih memahami keperluan Parlimen itu untuk diwakili seorang lelaki berbanding wanita.

    “Saya duduk situ lama dah semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli Parlimen sebelum ini lelaki dan keperluan itu masih ada sampai sekarang.

    “Macam di Kuala Lumpur dan sesetengah kawasan bandar sesuai sangat perempuan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.

    Justeru, pihak yang mendesaknya untuk memohon maaf perlu memahami dialek Sik dan menyangkal tuduhan bahawa beliau memperlekeh golongan wanita.

    Malah, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan wanita lebih kehadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh jumlah kaum itu yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi berbanding lelaki.

    PN mengekalkan penyandang Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menampilkan calon wanita iaitu Maizatulakmam Othman dan Datuk Latifah Md. Yatim.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang menyatakan mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

    “Pemuda Pas itu pun dah minta maaf, dia terlanjur dia kata. Saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang yang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita ini dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang pemaaf,” katanya.

  • Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    REPLIKA sebuah pesawat Boeing 737 yang bertemakan bendera Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke sebuah kampung di Sik, Kedah.

    Lapor Free Malaysia Today, oleh kerana jumlah pengunjung yang ramai, penduduk terpaksa membantu mengawal lalu lintas dan menyediakan tempat letak kereta khas untuk pelawat yang datang ke Kampung Batu Besar, lokasi pesawat itu berada.

    Antara pengunjung yang hadir termasuklah, sekumpulan 35 penyokong Pas yang menunggang motosikal selama lima jam dari Gerik, Perak ke kampung itu.

    Ibrahim Ahmad, 46, dia dan kawan-kawannya memutuskan untuk berkonvoi menaiki motosikal ke Sik selepas melihat satu video di TikTok mengenai kapal terbang itu.

    Satu pondok kecil berhampiran turut menyediakan makanan percuma kepada pengunjung. Pelawat yang merakamkan gambar di replika pesawat itu turut menyumbang dalam tabung derma bagi membantu kempen pilihan raya Pas.

    Pelawat masuk ke dalam “kabin” pesawat itu yang dihiasi lukisan mural pada dinding.

    Replika pesawat itu sebenarnya dibina seorang penyokong Pas kira-kira empat tahun lalu dan dicat dengan warna parti itu. Ia sekali lagi menarik perhatian orang ramai selepas dicat dengan tema biru PN.

    Pelawat boleh masuk ke dalam kabin menggunakan tangga yang dilengkapi dengan kipas siling, lampu chandelier dan dialas dengan tikar mengkuang. Dindingnya pula dihiasi lukisan mural sungai dan hutan serta watak kartun.

    Penyokong Pas yang juga penyelia tapak, Mat Piah Hat, 51, berkata, replika itu dibina untuk kempen pilihan raya umum 2018. Penduduk kemudiannya mengecat replika itu bagi menandakan kerjasama parti itu dalam PN.

    “Kira-kira 10 orang mengecat pesawat ini. Kami mengambil masa lima hari dan lima malam untuk menyiapkannya. Ia adalah usaha komuniti ini,” katanya.

    Seorang ahli perniagaan membiayai kos membina replika pesawat itu dan beliau juga membenarkan ia ditempatkan di depan halaman rumahnya.

    Katanya, penyokong Pas sebelum ini pernah membina replika helikopter daripada buluh dan menghiasnya dengan simbol Pas.

    Mat berkata, pesawat itu melambangkan masa depan Pas, di mana parti itu suatu hari nanti akan melonjak lebih tinggi dan bakal memerintah kerajaan.

    Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Razif berkata, kampung itu kini menjadi “mercu tanda Sik” walaupun terletak 12km dari pusat bandar itu.

    “Apabila saya beritahu saya dari Sik, ramai yang garu kepala. Tetapi apabila saya cakap saya berasal dari kampung yang ada kapal terbang Pas, mereka semua tahu,” katanya.