Tag: Shinzo Abe

  • Ketua Polis Jepun akui gagal lindungi Shinzo Abe

    Ketua Polis Jepun akui gagal lindungi Shinzo Abe

    KETUA Jabatan Polis Jepun, Itaru Nakamura, pada Rabu mengakui kegagalan pihaknya dalam menjalankan tugas melindungi bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, lapor Sputnik.

    “Kami kesal bahawa bekas Perdana Menteri telah ditembak mati. Anggota polis gagal melaksanakan tugas mereka untuk menjamin keselamatan. Sebagai seorang anggota polis, saya kesal.

    “Puncanya bukan sahaja membabitkan kegagalan pihak polis bertindak secara spontan sewaktu kejadian; tetapi tanggungjawab besar saya sebagai ketua jabatan, yang sepatutnya menguruskan tugasan semua anggota polis di wilayah itu,” kata Nakamura.

    Pada masa yang sama, Nakamura menyatakan hasratnya untuk terus memegang jawatan itu, untuk memastikan perkara sama “tidak berulang lagi.”

    Abe maut akibat ditembak pada pagi Jumaat di bandar Nara, Jepun ketika sedang berkempen untuk pilihan raya.

    Suspek, Tetsuya Yamagami, 41, menghampiri ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki).

    Polis memaklumkan ketika kejadian, Abe masih sedarkan diri, tetapi keadaannya menjadi semakin kritikal ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Hospital Universiti Perubatan Nara kemudiannya mengesahkan Abe meninggal dunia. – BERNAMA

  • Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas ditembak ketika beliau sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya.

    Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan serangan itu sebagai “biadab, berniat jahat” yang “tidak boleh diterima sama sekali”, menurut Agensi Anadolu.

    Abe berada di bandar raya Nara bagi meraih sokongan untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah, sempena pilihan raya Senat.

    Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah. Kejadian berlaku sejurus Abe mula berucap kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.

    Penyerang, Tetsuya Yamagami, 41, penduduk Nara, telah ditahan dan didakwa kerana cubaan membunuh. Senapang patah yang digunakan pelaku juga dirampas.

    Abe berundur daripada LDP pada musim gugur 2020 atas masalah kesihatan.

    Beliau adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun mengatasi rekod sebelum ini iaitu 2,798 hari yang dipegang bapa saudaranya, Eisaku Sato (1901-1975).

    ‘Politik menuntut hasil yang berkesan’

    Moto politik yang menjadi pegangan Abe ialah ‘politik yang memberikan hasil yang berkesan’.

    Abe, menjadi Perdana Menteri termuda Jepun semasa pertama kali memegang jawatan itu pada 2006. Ketika itu beliau berusia 52 tahun.

    Lahir daripada keluarga politik, datuknya, Kishi Nobusuke, berkhidmat di Jepun sebagai Perdana Menteri antara 1957 dan 1960.

    Alumni Universiti Seikei itu menamatkan pengajian pada 1977, sebelum bertugas seketika di Kobe Steel antara 1979 dan 1982 sebelum memasuki arena politik.

    Beliau kemudian menyertai bapanya, Shintaro Abe dengan memegang jawatan sebagai setiausaha.

    Berikutan kematian bapanya, Abe bertanding dalam pilihan raya pada 1993 dan berjaya dipilih ke Dewan Rakyat yang dikenali Diet.

    Bagaimanapun, karier politiknya mengalami kejutan apabila terpaksa melepaskan jawatan disebabkan penyakit ‘ulcerative colitis’ yang dihidapinya.

    Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2007 setahun selepas dilantik.

    Pada tahun sama parti pimpinannya juga menghadapi kekalahan memalukan dalam Diet.

    Kembali berkhidmat

    Abe kembali berkuasa pada September 2012 dan merampas semula tampuk kepimpinan LDP dan berjaya membawa parti itu menang dengan majoriti besar pada Disember tahun yang sama.

    Moto beliau mula menunjukkan hasil apabila program rangsangan monetari Bank of Japan berjaya sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat besar dan harga saham.

    Beliau dipilih semula dalam pilihan raya 2014 dan 2017. Bagaimanapun pentadbirannya gagal mencapai sasaran inflasi tahunan dua peratus.

    Semasa sidang akhbar terakhirnya sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2020, Abe turut bercakap mengenai keselamatan Jepun.

    “Korea Utara mempunyai banyak keupayaan dalam peluru berpandu balistik dan Jepun perlu meningkatkan kapasiti keselamatannya,” katanya.

    Ketika pentadbirannya hubungan dua hala Jepun dengan Korea Selatan berada pada tahap terendah ekoran isu eksploitasi seksual semasa perang.

    Penganjuran Sukan Olimpik 2020 juga memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Abe berikutan pandemik.

    Hubungan dengan komuniti Islam

    Seorang ahli perniagaan dari Osaka sebelum ini memberitahu Agensi Anadolu peristiwa tsunami Fukushima 2011 mengubah pandangan Abe terhadap komuniti Islam di negara itu.

    “Abe melawat banyak kem bantuan dan pusat operasi menyelamat, ramai yang beliau temui adalah orang Islam, terutama dari Pakistan,” kata ahli perniagaan itu yang enggan namanya disiarkan.

    Selepas Abe kembali sebagai Perdana Menteri pada 2012, “Pentadbirannya membina ruang solat di sepanjang kawasan rehat di lebuh raya dan di kebanyakan lapangan terbang.”

    “Abe sentiasa berhubung dengan masyarakat Islam,” katanya.

    Pentadbiran Abe juga memperuntukkan bilik khusus untuk komuniti Islam di Pusat Bahasa Jepun negara itu.

    “Di restoran utama, beliau meminta pemilik menyediakan makanan Halal,” kata ahli perniagaan itu. – BERNAMA

  • Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Oleh D ARUL RAJOO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan Jepun dan seluruh rakyatnya di atas pemergian mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

    “Saya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka berhubung insiden melibatkan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang baru saya temui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama,” katanya pada wartawan Malaysia di Ankara hari ini.

    Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye berkata, beliau berharap agar keluarga mendiang Abe dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

    Katanya, Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

    Abe, 67, “ditembak dari belakang” ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, dan penyerang beliau sudah ditahan.

    Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.

    Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat – pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia akibat ditembak

    [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia akibat ditembak

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan meninggal dunia selepas ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

    Media Jepun dan antarabangsa sebelum itu melaporkan beliau dalam keadaan kritikal akibat insiden tersebut.

    “Menurut pegawai kanan LDP (Parti Demokratik Liberal), bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan.

    “Beliau berusia 67 tahun,” kata NHK, memetik laporan BH.

    Terdahulu, mendiang dilaporkan mengalami masalah kegagalan jantung dan rakaman video NHK menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

    Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden yang berlaku ketika Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Senat Jepun yang berlangsung Ahad ini.

    Polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.

    Suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dikatakan seorang bekas anggota tentera laut Jepun.

    Dia dilaporkan melepaskan dua tembakan terhadap Abe dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu.

    Suspek lelaki itu dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dan dia merupakan bekas anggota Tentera Laut Jepun, lapor agensi berita tempatan Jepun.

    Dalam video yang dipaparkan agensi berita Jepun, NHK, sejurus melepaskan tembakan, lelaki berkenaan telah dirempuh dan dijatuhkan ke tanah oleh pihak keselamatan.

    Selain itu media tempatan melaporkan, suspek mengakui dia cuba membunuh Abe ekoran rasa ‘tidak puas hati’ terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu.

    Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

    Beliau bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.

  • [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

    Washington Times yang memetik NHK melaporkan, beliau mengalami masalah kegagalan jantung.

    Stesen televisyen NHK menayangkan rakaman menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

    Shinzo Abe dilihat menekap dadanya ketika rebah manakala bajunya berlumuran darah.

    Menurut NHK, beliau seterusnya dibawa ke hospital.

    Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden itu.

    Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Parlimen yang berlangsung Ahad ini.

    Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.