Tag: Shabudin Yahaya

  • Shabudin Yahaya umum tidak bertanding PRU-15

    Shabudin Yahaya umum tidak bertanding PRU-15

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memberi laluan kepada pemimpin muda daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang berkata, keputusan itu juga bersesuaian dengan pola atau trend politik semasa yang menyaksikan banyak parti politik semakin membuka ruang yang lebih luas kepada pemimpin daripada kalangan orang muda.

    Malah, beliau secara peribadi beranggapan ahli politik berusia 55 tahun ke atas sepatutnya bersara mengambil kira pelbagai faktor terutamanya aspek kemampuan fizikal.

    “Saya sekarang sudah berusia 57 tahun, memang orang kata dalam politik usia itu masih muda.

    ”Tetapi selepas usia 55, produktiviti kita sudah menurun, jadi berilah peluang kepada pelapis muda kerana mereka mempunyai lebih tenaga dan buah fikiran yang lebih segar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali ke sembilan dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di Bayan Baru hari ini.

    Dalam pada itu Shabudin yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkata, meskipun tidak akan bertanding dalam PRU-15, namun beliau akan tetap menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu Bersatu Pulau Pinang.

    ”Saya bercadang bersara daripada jawatan politik, tetapi masih mahu bergiat dalam politik cuma tidak lagi menjadi wakil rakyat.

    “Saya sudah empat penggal dalam politik, jadi sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan kepada ‘pucuk muda’ atau orang muda yang lebih bertenaga,” katanya.

    Shabudin sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan UMNO selama dua penggal iaitu bermula 2004 hingga 2008 sebelum menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket UMNO pada PRU-13 dan PRU-15.

    Bagaimanapun, beliau bersama-sama beberapa lagi wakil rakyat UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu pada Disember 2018 selepas tsunami politik pada PRU-14 dan menyertai Bersatu sehingga kini.

  • Shabudin dilantik Pengerusi AIM, ganti Allahyarham Lajim

    Shabudin dilantik Pengerusi AIM, ganti Allahyarham Lajim

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dilantik sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang baharu.

    Beliau menggantikan Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia bulan lalu.

    AIM berkata, Shabudin, 56, berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan pengurusan tertinggi sebagai hakim mahkamah syariah dan Pengerusi Felcra Berhad.

    Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang).

    “AIM percaya kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki Shabudin akan membantu AIM dan 356,024 Sahabat AIM kepada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang.

    “Terutamanya dalam meningkatkan lagi peranan dan fungsi AIM bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan serta meningkatkan taraf ekonomi isi rumah golongan yang berpendapatan rendah,” kata AIM dalam kenyataan media, hari ini.